Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hubungan antara seorang ketua dengan pekerja bawahannya adalah ibarat ikatan persaudaraan yang saling membantu melakukan perkara kebaikan serta saling menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Demikian menurut Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Hafiz Salleh, ketika menyampaikan Ceramah Agama Khas bertajuk “Kerja Sepakat Organisasi Berkat” bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-67, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seorang Muslim itu bersaudara dengan Muslim yang lain. Oleh sebab itu, dia tidak berbuat zalim, membiarkan saudaranya dizalimi, berdusta dan menghina yang lain.”
Dalam hubungan persaudaraan, seseorang Muslim itu diingatkan supaya tidak saling mendengki, saling menyakiti, saling membenci, saling membelakangi (mendiamkan) dan saling menghina.
Tambah Dr. Muhammad Hafiz, “Antara pekerja dengan ketua perlu saling menolong untuk berbuat baik dan bertakwa, iaitu ketua sentiasa membantu pekerja untuk mendapat keredaan Allah di tempat kerja, dan pekerja yang baik pula perlu sentiasa reda dan bersangka baik serta tidak bersedih terhadap rezeki yang diterimanya.”
Dalam hal ini, beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah selalu menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya menolong saudaranya.”
Oleh sebab itu, untuk mencari rezeki yang berkat, setiap pekerja perlu bergantung pada Allah dan tidak berharap kepada manusia semata-mata kerana akhirnya mereka akan berasa kecewa jika tidak menerima apa-apa ganjaran yang diharapkan.
Dr. Muhammad Hafiz turut berpesan bahawa jika seseorang itu menginginkan sesuatu hajatnya ditunaikan, maka dia hendaklah saling membantu orang lain yang dalam kesusahan.
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang mengangkat kesusahan seseorang Mukmin daripada kesusahan dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesusahannya pada hari kiamat.”
Jelasnya lagi, “Tidak ada ruginya seseorang itu menolong dan meringankan beban orang lain, terutamanya ketika bekerja, kerana pada waktu bekerjalah kita paling banyak mendapat pahala kerana memudahkan urusan orang lain.”
Dalam hal ini, Allah SWT akan memberikan ganjaran dengan memudahkan urusan orang yang menolong orang lain, namun pertolongan tersebut hendaklah diberikan kepada orang yang betul-betul memerlukan dan mengikut kemampuan sendiri.
Selain itu, katanya, “Terdapat amalan baik yang sangat dituntut dalam Islam, iaitu amalan bersedekah dan menutup keaiban atau keburukan orang lain, dan manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling memberikan manfaat kepada manusia, membuat orang lain bahagia, mengangkat kesusahan orang lain, membayarkan hutangnýa atau menghilangkan rasa laparnya.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seandainya aku berjalan bersama-sama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada beriktikaf di masjid ini, iaitu Masjid Nabawi selama sebulan penuh.”
“Sekiranya kita ingin mengharapkan keberkatan daripada Allah, mestilah mendapatkan keberkatan pagi dengan mengutamakan perintah Allah, solat pada awal waktu, serta meninggalkan larangan Allah,” katanya.