22 Jun 2023, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, semalam.

Titah Sultan Mizan, kesultanan Terengganu sejak dahulu lagi amat sinonim dan tersohor dalam menaungi aktiviti penghasilan mushaf, dan bukan sekadar penulisan.

“Penghasilan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin adalah yang terbaharu selepas penulisan terakhir oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III pada 1890, iaitu kira-kira 120 tahun lepas.

“Susunan tulisan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin lebih kemas dan mewah dengan perada emas selain kaya dengan lorekan seni bina rumah Terengganu yang bermotifkan bunga-bungaan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin.

Titah Sultan Mizan lagi, “Mushaf ini juga menggambarkan nilai tatatertib kehidupan dan budaya bangsa Melayu Terengganu dan menjadi identiti penting Terengganu di Nusantara.”

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika bertitah pada Majlis Perasmian Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mushaf yang menerapkan seni hiasan beridentitikan Terengganu itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan oleh sebuah pasukan khas yang terdiri daripada lima penulis khat anak tempatan dan seni hiasan yang dilantik.

Pasukan khas penghasilan Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin itu diketuai oleh Ahmad Zafuan Dato’ Embong sebagai penulis mushaf, bersama-sama empat lagi individu yang terdiri daripada penulis, pereka seni hiasan dan pewarna seni hiasan.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Menteri Besar, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, selain dihadiri qari antarabangsa, Dr. Ahmed Nuaina yang mengalunkan bacaan al-Quran.

Majlis perasmian tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), https://www.facebook.com/upditerengganu/videos/825457721928051.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.