22 Jun 2023, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada lumrahnya, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Namun begitu, wanita mempunyai batasan aurat yang tidak boleh diperlihatkan kepada orang lain terutamanya lelaki ajnabi. Islam amat menuntut penganutnya untuk menutup aurat, dan perkara ini yang telah diperintahkan dalam al-Quran sejak zaman Nabi Adam a.s. lagi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A‘raf 7:26). Jelas bahawa Islam amat menekankan hal penjagaan aurat wanita supaya mereka terhindar daripada sesuatu perkara yang tidak baik.

Tujuan seseorang wanita perlu menjaga dan menutup batasan aurat adalah untuk memelihara maruah mereka daripada sesuatu kejahatan atau keburukan. Umum mengetahui bahawa maruah seseorang wanita sangat berharga kerana kedudukannya yang tinggi dalam Islam. Sebelum kedatangan Islam, maruah kaum wanita sering dipijak-pijak dan menjadi tempat pemuas nafsu kaum lelaki. Namun begitu, kedatangan Islam telah membuka mata kaum wanita untuk menjaga maruah diri mereka, iaitu kehormatan diri atau harga diri daripada pandangan lelaki ajnabi. Hal ini merujuk sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Hendakkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta seorang lelaki ialah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberikan arahan, wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 1664).

Wanita yang menjaga aurat dengan sempurna akan dapat melindungi kehormatan diri daripada sesuatu kejahatan yang boleh mencemarkan martabat diri mereka, dan sekali gus mendapat keredaan daripada Allah SWT. Islam menetapkan hukum menutup aurat bagi wanita kerana fitrah manusia, terutamanya kaum lelaki memiliki nafsu yang kuat untuk melihat aurat seseorang wanita. Hal tersebut boleh mendatangkan sesuatu yang lebih buruk sekiranya wanita tidak melindungi aurat dan kehormatan diri mereka. Menurut Syed Muhammad Adib Termizi Ahmad al-Jafari (2021), “… tujuan dilarang kaum wanita melembutkan bicaranya dengan lelaki adalah supaya maruah mereka terjaga dengan memutuskan niat jahat yang terdapat dalam diri lelaki akibat tertarik dengan suara lunaknya.”

Wanita yang menjaga auratnya dengan sempurna akan terselamat daripada perkara yang mencemar maruah diri mereka.

Menutup aurat juga dapat mengurangkan kadar jenayah yang melibatkan kaum wanita. Jenayah yang berlaku dalam negara sering kali melibatkan kaum wanita yang menjadi mangsa utama kaum lelaki seperti jenayah rogol, penculikan dan perlecehan. Hal ini dapat dikaitkan dengan penampilan wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan menarik perhatian orang lain ketika berada di luar rumah. Menurut Nur Izzah Jainudin dan A ‘Dawiyah Ismail (2018), “Batas aurat dan pergaulan adalah sebagai panduan dalam kehidupan, terutamanya apabila turun dalam lapangan masyarakat.” Wanita yang mendedahkan aurat mereka kepada lelaki ajnabi dengan berpenampilan yang mencolok mata akan membawa kepada berlakunya kes jenayah yang bahaya. Allah SWT juga telah memerintahkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud, “Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab 33:59).

Hal ini dikatakan demikian kerana wanita yang berpakaian mencolok mata akan membuatkan kaum lelaki tertarik untuk melihat bentuk tubuh badan mereka dan menimbulkan keinginan syahwat. Kesannya, lelaki yang tidak dapat mengawal nafsu akan berniat jahat untuk bertindak melakukan jenayah untuk memuaskan nafsu mereka. Oleh itu, wanita perlu menutup aurat supaya tidak berlaku sesuatu kejadian yang boleh membahayakan diri mereka.

Tanpa kita sedar, menjaga dan menutup aurat juga dapat menghindari diri daripada fitnah dan pandangan negatif masyarakat. Wanita yang mendedahkan auratnya secara terang-terangan boleh mengundang pelbagai perspektif negatif daripada orang sekeliling tentang diri mereka dan juga orang lain. Mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya tentang hal ini. Mengapa seseorang wanita yang tidak menutup aurat boleh mengundang fitnah? Jawapannya adalah kerana penampilan seseorang wanita mampu memberikan gambaran tentang baik atau buruknya keperibadian dan personaliti diri mereka kepada masyarakat sekeliling.

Sebagai contoh, seseorang wanita yang berpenampilan keterlaluan dan tidak menjaga kehormatan diri akan dianggap tidak bermaruah, pelacur dan wanita murahan. Sebaliknya wanita yang menutup auratnya dengan sempurna akan menimbulkan perspektif yang positif dalam masyarakat. Tanpa kita sedari, menutup aurat juga dapat melindungi aib dan keburukan diri daripada dihina oleh orang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana hikmah daripada menutup aurat juga kita dapat menutup segala kekurangan seperti kecacatan dan penyakit kulit yang boleh menjadi bahan ejekan dan fitnah orang lain.

Maruah seseorang wanita sangat berharga kerana kedudukannya yang tinggi dalam Islam.

Seterusnya, wanita yang tidak menjaga aurat juga boleh membawa fitnah yang dahsyat kepada kaum lelaki. Allah SWT telah menciptakan wanita dengan penuh keindahan, dan apabila dilihat oleh kaum lelaki akan menyebabkan timbulnya nafsu syahwat. Contoh fitnah yang ada pada wanita adalah seperti fitnah suara, rupa paras, dan pergerakan. Kesannya, wanita yang memakai pakaian yang tidak mematuhi syariat Islam akan menyebabkan lelaki mudah tergoda. Hal ini juga disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israel adalah pada wanita.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2742). Jelaslah bahawa wanita yang menutup aurat akan terhindar daripada segala fitnah dan pandangan serong masyarakat yang boleh mencemarkan maruah diri, keluarga, masyarakat dan juga agama.

Seterusnya, seseorang wanita yang menutup aurat juga dapat mencegah diri daripada melakukan dosa atau kejahatan. Menjaga dan menutup aurat dapat mendidik manusia ke arah kebaikan. Wanita yang menjaga auratnya dengan sempurna dapat mengawal dirinya daripada melakukan dosa besar. Mereka juga akan terlindung daripada perbuatan maksiat yang disebabkan oleh keghairahan yang boleh membawa kepada perbuatan zina. Dalam al-Quran telah dinyatakan kepada wanita beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita Islam, atau hamba yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah al-Nur 24:31).

Tambahan pula, seseorang wanita yang menutup aurat dengan sempurna akan menimbulkan rasa malu pada diri mereka. Sifat malu merupakan satu ciri kemuliaan bagi seseorang wanita. Wanita yang menutup aurat akan berasa malu dan tidak mempunyai keberanian untuk melakukan sesuatu maksiat atau kejahatan. Sebaliknya, wanita yang tidak menjaga auratnya akan mudah terjerumus ke dalam kejahatan kerana penampilan mereka yang keterlaluan. Contohnya, perempuan yang berpakaian mencolok mata berkemungkinan besar akan terlibat dengan gejala negatif seperti pergaulan bebas dan pelacuran. Oleh itu, seseorang wanita wajiblah menjaga aurat dengan sempurna agar tidak melakukan dosa yang boleh membawa kemurkaan Allah.

Kesimpulannya, setiap wanita Islam yang beriman dan berpegang teguh dengan ajaran agama wajiblah taat dengan semua perintah Allah, dan satu daripadanya adalah dengan menutup aurat secara sempurna sebagaimana yang telah disarankan dalam al-Quran. Allah SWT sangat menyayangi hamba-Nya yang menutup aurat daripada pandangan orang lain, terutamanya lelaki ajnabi. Janganlah menjadi wanita akhir zaman yang sanggup mendedahkan aurat demi mengejar dunia yang tidak kekal. Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita solehah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.