9 Jun 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia diciptakan berbekalkan fitrah berpasangan. Syariat Islam menetapkan bahawa nikah menghalalkan kehidupan berpasangan lelaki dan perempuan. Nikah juga merangkaikan rasa kasih dan sayang serta belas kasihan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Rum ayat 21:

Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, Dia menciptakan untukmu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri, agar kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu (suami isteri) rasa kasih dan sayang serta belas kasihan … .”

Perceraian lawan kepada nikah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 229:

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk semula) itu ada dua kali. Setelah itu, (suami) boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik … .”

Nikah menyatukan pasangan lelaki dan perempuan, tetapi cerai memisahkan mereka. Nikah amat digalakkan oleh syarak, sedangkan cerai tanpa sebab yang munasabah, sangat tidak digalakkan kerana perceraian memberikan banyak kesan tidak baik kepada pasangan, ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.

Pasangan yang mahu berkahwin hendaklah memahami tanggungjawab setelah bergelar suami dan isteri, dan kemudiannya menjadi bapa dan ibu.

Perceraian boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pertama, cerai yang tidak wajar dilakukan atau tidak digalakkan; dan kedua, cerai yang wajar kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan. Cerai tanpa sebab yang munasabah dihukum makruh, bahkan haram jika menyebabkan penganiayaan terhadap pasangan. Namun begitu, cerai dihukum sunat bagi yang sudah tiada persefahaman, apatah lagi yang boleh menyebabkan kemudaratan jika tidak bercerai. Kadangkala cerai dihukum wajib, sebagai contoh apabila pasangan tersalah bernikah dengan mahramnya (iaitu orang yang haram dikahwini).

Di Perak, sebanyak 3065 kes penceraian direkodkan berlaku dalam tahun 2020; 2865 kes berlaku dalam tahun 2021; dan 3210 kes berlaku dalam tahun 2022. Secara purata, berlaku sekitar 3000 perceraian setahun di Perak sejak tiga tahun kebelakangan ini. Hal ini meletakkan angka perceraian sekitar 23 peratus daripada angka purata 13 000 pernikahan setahun.

Angka perceraian yang semakin meningkat harus membimbangkan kita kerana angka tersebut membayangkan keadaan rumah tangga dan institusi keluarga yang semakin rapuh. Rumah tangga dan keluarga yang bersifat rapuh boleh menjadi penyebab berangkai kepada berlakunya pelbagai masalah yang lebih besar dalam masyarakat, seperti kemurungan, tekanan perasaan, sakit jiwa dan sakit mental, keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah, sumbang mahram dan anak-anak yang terbiar.

Perceraian juga membawa kesan perselisihan yang berpanjangan, terutama untuk menyelesaikan tuntutan selepas perceraian. Antara nafkah yang wajib ditunaikan oleh suami selepas berlaku penceraian termasuklah nafkah idah, iaitu makan minum, pakaian, kesihatan dan tempat tinggal kepada bekas isteri sehingga tamat idah. Hal ini tidak termasuk nafkah mutaah, iaitu sagu hati perkahwinan, dan isu hak penjagaan anak serta nafkah anak.

Suami isteri juga berhak menuntut harta sepencarian, iaitu harta yang dibeli secara bersama semasa dalam perkahwinan. Semua tuntutan ini pada kebiasaannya memakan masa yang lama sebelum dapat diselesaikan kerana banyak yang memilih untuk mengabaikan tanggungjawab, ada kalanya dipengaruhi oleh perasaan mahu membalas dendam, lanjutan daripada pertelingkahan yang berlaku.

Ibu bapa yang sering bergaduh dan berakhir dengan perceraian akan menyebabkan emosi anak-anak terganggu.

Terdapat beberapa langkah yang wajar diberikan perhatian untuk menjamin kerukunan rumah tangga demi mengelakkan berlakunya penceraian, iaitu;

  • Pertama: Membetulkan niat berkahwin bukan didorong oleh keseronokan semata-mata, tetapi wajib memahami bahawa perkahwinan ialah sunah serta ibadat yang menjadi asas untuk membina keluarga. Oleh itu, pasangan yang mahu berkahwin hendaklah memahami tanggungjawab setelah bergelar suami dan isteri, dan kemudiannya menjadi bapa dan ibu. Pasangan perlu memiliki kematangan, kebijaksanaan dan kesabaran mengurus rumah tangga.
  • Kedua: Pemilihan calon isteri, begitu juga suami hendaklah mengikut saranan Nabi Muhammad SAW, iaitu memilih pasangan yang “beragama” dengan maksud, orang yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya serta berakhlak baik.
  • Ketiga: Selepas berkahwin, kehidupan berkeluarga dilandaskan kepada nilai-nilai Islam bersandarkan syarak, iaitu mengamalkan gaya hidup yang sederhana, berbelanja mengikut kemampuan dan pendapatan supaya tidak banyak berhutang, kerana berhutang boleh menyebabkan berlakunya tekanan hidup yang mengundang berlakunya pertengkaran dan perselisihan.
  • Keempat: Suami hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menyediakan nafkah makan, minum, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, termasuk nafkah batin, berupa pergaulan yang baik, kasih sayang dan belas ihsan kepada pasangan. Suami hendaklah memahami keletihan isteri yang turut bekerja untuk menambahkan rezeki keluarga, oleh itu hendaklah bersama-sama mengambil tanggungjawab melakukan kerja rumah serta menjaga anak-anak.
  • Kelima: Ketaatan isteri dan ketaatan suami merupakan kunci penting sebuah keluarga bahagia.
  • Keenam: Saling menghormati ibu bapa, mentua, keluarga dan ipar. Ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua berperanan sebagai pendamai untuk membantu mengharmonikan hubungan antara suami dengan isteri.
  • Ketujuh: Mengutamakan kebajikan dan perasaan anak-anak terutama yang masih kecil yang akan menghadapi gangguan fikiran dan tekanan emosi jika ibu bapa sering bertelagah, apatah lagi jika berakhir dengan penceraian.

Jangan terlalu mudah melafazkan perkataan cerai mengikut kehendak hati dan perasaan. Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak menetapkan bahawa setiap perceraian hendaklah melalui proses permohonan di Mahkamah Syariah. Kegagalan mematuhinya dengan bercerai tanpa permohonan ke mahkamah, merupakan kesalahan dan boleh dihukum denda sebanyak RM3000, atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Permohonan cerai di mahkamah akan memberikan keputusan yang adil dan memungkinkan hubungan rumah tangga dapat diselamatkan.

Peraturan dan undang-undang yang digubal bertujuan untuk menyelamatkan perkahwinan dan mengurangkan berlakunya cerai, terutama perceraian tidak wajar yang berlaku atas alasan yang remeh ataupun yang tidak munasabah mengikut syarak.  Permohonan cerai di mahkamah membolehkan usaha perdamaian atau sulh dirintis, di samping membolehkan hakim memberikan ruang kepada pasangan untuk menyuarakan sebab-sebab memohon penceraian, dan hakim akan berusaha memberikan keputusan yang adil setelah diyakinkan bahawa sudah tidak ada jalan lain melainkan penceraian untuk mengatasi masalah yang telah melanda rumah tangga.

Umat Islam diingatkan agar bertenang, meredakan perasaan marah, dan menghilangkan tekanan fikiran sebelum melafazkan “cerai” dan terlebih dahulu memikirkan saluran “menyelamat” yang disediakan di pejabat agama mahupun di Mahkamah Syariah. Perceraian yang dilakukan secara gopoh dan terburu-buru tanpa pertimbangan yang wajar akan menyebabkan penyesalan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kami dalam melayari bahtera perkahwinan sebagaimana yang diredai oleh-Mu, dalam suasana kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi serta mengamalkan belas ihsan. Hindari keluarga kami daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada teks Khutbah Jumaat 9 Jun 2023 bertajuk, “Elakkan Perceraian”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.