8 Jun 2023, 20:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Edisi ke-40 baru sahaja melabuhkan tirainya. Berdasarkan penelitian penulis, tumpuan pengunjung terhadap buku yang berasaskan keislaman jelas ketara. Keadaan ini barangkali mempunyai kaitan dengan senarai pempamer apabila 34 peratus daripadanya merupakan penerbit buku Islamik yang menerbitkan buku dalam pelbagai kategori misalnya al-Quran, hadis, motivasi, syariah, sejarah, falsafah, tasawuf dan novel fiksyen sejarah.

Senario ini bukanlah aneh memandangkan minat pembaca terhadap buku bercorak islamik semakin meningkat dari masa ke masa. Faktor seperti isu semasa yang berkaitan dengan perkembangan dan kemajuan umat Islam dan dorongan untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang agama memberikan pengaruh yang besar kepada pembaca untuk memilih buku yang bercorak sedemikian.

Dengan suasana persekitaran yang semakin mencabar ditambah dengan tekanan kerja atau pembelajaran, buku yang mengetengahkan pendekatan motivasi islamik selalunya cepat menarik perhatian pembaca. Buku sebegini dianggap penting kerana membantu menaikkan semangat bagi meneruskan kehidupan dan memberikan ilham untuk menghasilkan wawasan.

Dengan kemampuan berfikir, otak manusia akan menggerakkan tubuh kepada perkara yang positif yang pastinya mempengaruhi keperibadian, sikap dan cara berfikir yang dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain. Individu yang memiliki wawasan yang luas cenderung akan lebih luwes dan terbuka untuk menerima pendapat orang lain. Keluwesan dan keterbukaan ini sudah tentu akan menyenangkan orang lain dan pada akhirnya keuntungan itu berbalik pada diri sendiri.

Buku bercorak motivasi islamik juga mendorong pembaca untuk memperbaiki kehidupan dengan cara mendapat inspirasi daripada perjalanan hidup tokoh yang hebat yang sentiasa berfikiran positif dalam mencari keberkatan dan keredaan Tuhan. Termasuk dalam usaha memperbaiki kehidupan adalah dengan mencari teman yang baik dan ikhlas agar dapat memberikan pengaruh kebaikan kepada diri.

Selain memberikan inspirasi, buku bercorak motivasi juga dapat melorongkan jalan untuk mendisiplinkan diri, misalnya dengan cara membina garis masa, meletakkan sasaran yang hendak dicapai dan melatih diri agar bersifat aktif dan produktif. Disiplin juga dapat membantu seseorang menjadi lebih fokus dan tekun dalam mengusahakan sesuatu perkara.

Perkara yang paling dititikberatkan dalam mana-mana buku motivasi ialah keinginan untuk terus belajar. Dalam kisah orang yang hebat, lazimnya diceritakan bahawa satu daripada faktor utama kejayaan mereka adalah dengan memiliki keazaman untuk menambahkan pengetahuan. Hanya dengan cara sedemikian, barulah seseorang dapat keluar daripada belenggu kejahilan dan penjajahan minda kerana akal dapat berfikir secara rasional dan merancang untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Selanjutnya, faktor yang paling banyak mempengaruhi pembaca memilih buku motivasi islamik ialah keinginan untuk mengetahui cara menjaga emosi ketika menjalankan aktiviti harian tidak kira sama ada dalam urusan menyara kehidupan ataupun dalam menimba ilmu di institusi pendidikan. Buku sedemikian disukai ramai kerana lazimnya kandungannya menghidangkan pendekatan atau petua yang dapat membantu seseorang menenangkan fikiran, merawat perasaan dan mengalihkan perhatian kepada sesuatu perkara yang membahagiakan agar produktiviti kerja atau tugas tidak terjejas.

Kecenderungan terhadap genre buku tertentu dipengaruhi oleh banyak faktor seperti kesan persekitaran dan budaya hidup.

Di luar negara khususnya di negara Arab yang majoritinya ialah orang Islam, sambutan terhadap acara perbukuan seumpama PBAKL sentiasa mendapat respons yang hangat daripada pengunjung. Sebagai contoh, Pesta Buku Antarabangsa Kaherah atau ringkasnya CIBF yang merupakan acara tahunan perbukuan di Kaherah, Mesir, menarik lebih ramai pengunjung berbanding dengan Pesta Buku Frankfurt (FBF) yang dianggap sebagai acara pesta buku terbesar di dunia. Jumlah pengunjung yang hadir ke acara perbukuan terbesar di dunia Arab itu tidak pernah kurang dari 2.0 juta setiap kali acara tersebut diadakan. Pada tahun 2020, jumlah pengunjung yang direkodkan adalah sebanyak 3.5 juta sebagaimana menurut laporan Mark Williams dalam The New Publishing Standard yang tersiar pada 7 Februari 2020.

Pada tahun 2023, bilangan pengunjung yang hadir ke CIBF yang berlangsung selama 12 hari dari 25 Januari hingga 6 Februari 2023 adalah yang paling tinggi setakat ini, iaitu sebanyak 3.6 juta berdasarkan kepada kenyataan rasmi Menteri Kebudayaan negara tersebut dalam laporan akhbar Egypt Today pada 6 Februari 2023. Dalam acara tersebut, sebanyak 1047 penerbit buku telah mengambil bahagian yang memperlihatkan sebanyak 707 daripadanya merupakan penerbit domestik dan selebihnya ialah penerbit luar negara yang melibatkan penyertaan dari 53 buah negara.

Begitu juga dengan acara perbukuan di negara Arab yang lain yang tidak pernah gagal mencatatkan kehadiran pengunjung sekurang-kurangnya sejuta orang, misalnya Pesta Buku Antarabangsa Sharjah (SIBF) yang diadakan di Emiriah Arab Bersatu pernah mencatatkan bilangan pengunjung terbanyak, iaitu sebanyak 2.52 juta orang pada tahun 2019, dan Pesta Buku Antarabangsa Algiers (AIBF) yang diadakan di Algeria merekodkan kehadiran sebanyak 1.1 juta pengunjung, juga pada tahun yang sama.

Tempat lain yang mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung yang mencecah sejuta orang pada tahun 2019 adalah seperti Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) yang berlangsung di Arab Saudi, Pesta Buku Antarabangsa Muscat (MIBF) yang berlangsung di Oman, dan Pesta Buku Antarabangsa Baghdad (BIBF) yang berlangsung di Iraq. Pada tahun itu juga, Pesta Buku Antarabangsa Doha yang diadakan di Qatar walaupun tidak mencatatkan kehadiran pengunjung sebanyak acara perbukuan yang dinyatakan di atas, iaitu hanya sebanyak 320 000 orang, namun bilangan buku yang terjual sangat memberangsangkan, iaitu hampir suku juta unit.

CIBF yang berpusat di Mesir sangat dipengaruhi oleh industri perbukuan yang memiliki budaya dan identiti tersendiri dalam kalangan masyarakat Arab. Faktor utama yang mempengaruhi pertumbuhan pasaran buku di Mesir ialah pembaca dan peminat buku Mesir mempunyai kecenderungan meningkatkan perbelanjaan mereka untuk memperoleh buku apabila disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi dan inovasi untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman membaca.

Selain itu, komitmen untuk membangunkan potensi diri tanpa rasa ragu-ragu dan berbelah bagi untuk berbelanja bagi mendapatkan buku mendorong permintaan yang tinggi untuk penerbitan dan perkhidmatan buku. Faktor-faktor ini telah membawa kepada momentum yang lebih besar untuk pertumbuhan pasaran di Mesir. Dengan lonjakan kuasa beli, pengguna lebih bersedia berbelanja untuk genre dan perkhidmatan yang berbeza-beza yang memacu hobi dan minat mereka. Maka itu, tidak hairanlah saiz pasaran perkhidmatan buku Mesir bernilai USD201.52 juta pada tahun 2020 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 1.9 peratus dari tahun 2021 hingga 2028 sebagaimana menurut laporan pasaran yang dikeluarkan oleh Grand View Research bagi tahun 2020.

Minat membaca dalam kalangan penduduk Mesir tidak hanya terhad kepada bahan bercetak dalam bentuk fizikal tetapi juga dalam bentuk digital. Kenaikan harga bahan bercetak yang disebabkan oleh berlakunya kenaikan kos kertas, kos mesin cetak dan kos penyelenggaraan percetakan juga menjadi faktor sebahagian daripada pengguna atau pembaca beralih kepada sumber bacaan digital.

Terdapat juga beberapa penyedia kandungan digital yang mengambil inisiatif dengan memuat naik bahan bacaan ke Internet untuk keperluan pengguna. Sebagai contoh dalam bulan Mac 2020, penyedia Bibliotheca Alexandrina memuat naik sebanyak 200 000 buku elektronik secara percuma di laman web Dar yang bertujuan untuk meningkatkan lagi ketersediaan pengetahuan melalui dunia digital. Kebetulan pada ketika itu, COVID-19 merebak ke seluruh dunia, maka dengan pantasnya laman web tersebut menjadi tumpuan pengguna mendapatkan bahan bacaan seumpama pengguna yang datang memilih buku di perpustakaan tetapi secara maya.

Ternyata minat membaca dalam kalangan orang Islam tidak pernah berkurangan walaupun terdapat kecenderungan terhadap genre tertentu yang berkemungkinan besar dipengaruhi oleh kesan persekitaran dan budaya hidup. Pada masa yang sama, kesedaran untuk mengembangkan pengetahuan yang sejajar dengan tuntutan agama menjadi faktor utama meningkatnya minat membaca dalam kalangan umat Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.