6 Jun 2023, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia pada hari ini berdepan dengan ancaman globalisasi, pengaruh luar, dan budaya kuning akibat daripada ledakan kemajuan teknologi yang berlandaskan dunia tanpa sempadan. Tidak dinafikan, teknologi digital membawa kepada kebaikan tetapi jika disalahgunakan boleh membawa kepada bencana dan keburukan kepada manusia.

Generasi muda kini lebih suka meneroka pembaharuan atau mengikut arus kemodenan dari pelbagai aspek pemikiran, pertuturan, gaya hidup, pakaian dan personaliti. Hal ini dapat dilihat dengan jelas daripada penampilan generasi baharu yang lebih bergaya dan dipengaruhi oleh ideologi barat serta budaya songsang yang bertentangan dengan budaya timur atau agama Islam. Remaja dan belia kini seakan-akan hilang pedoman, hanyut dalam gelombang yang mengancam peradaban manusia.

Generasi muda dan pengaruh luar

Dari aspek pakaian, generasi baharu banyak dipengaruhi oleh anasir luar seperti bertindik hidung, berpakaian ketat, berseluar koyak dan senteng sehingga menyakitkan mata orang sekeliling yang memandang. Adakah ini yang dimaksudkan dengan kemodenan yang nyata boleh menjejaskan tamadun dan peradaban Islam?

Lazimnya, kita melihat kesibukan anak muda bersosial tanpa henti dalam laman media sosial yang popular seperti Facebook, Twitter, Instagram,TikTok, Telegram dan YouTube. Perbualan mereka dalam platform media sosial ada kalanya bebas dan kasar tanpa kawalan atau pemantauan, seolah-olah mencerminkan hilangnya iman, tanpa rasa malu dan tiada adab. Hal ini bertentangan dengan orang Melayu atau generasi dahulu yang terkenal dengan keluhuran, kelembutan, ketinggian adab, budi pekerti, bahasa sopan, dan tatasusilanya selaras dengan syariat Islam.

Dalam dunia siber pula, kita disajikan dengan aksi generasi muda atau belia Islam yang dipengaruhi dengan budaya hedonisme, seperti tarian yang melampau bahkan memuat naik gambar yang tidak sesuai dengan imej yang keterlaluan, berpakaian ringkas, nipis, jelek, mendedahkan aurat serta menampakkan susuk badan yang sememangya bertentangan dengan syariat Islam.

Mungkin, golongan ini berpendapat ingin mengikut trend aliran semasa sehingga membutakan hati dan akal fikiran. Tidak keterlaluan bagi yang bertudung menggayakan gaya yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Mudahnya, generasi baharu ini terperangkap dengan penjajahan budaya luar atau terjerat dengan budaya bebas, negatif yang membawa persoalan ke manakah hilangnya asuhan, perisai iman, adab dan tatasusila sebagai hamba Allah SWT?

Fenomena yang tidak sihat ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada golongan selebriti, pempengaruh sosial, remaja, mahupun belia yang semakin terhakis pegangan agama. Jelasnya, hal ini bertentangan dengan orang Melayu dahulu yang malu dan sopan mengenakan pakaian yang menutup aurat, selesa dipandang oleh mata sekeliling. Islam sendiri telah mencerminkan peraturan atau cara hidup Muslim yang disyariatkan oleh Allah SWT. Agama Islam tidak melarang manusia berfesyen tetapi perlu sesuai dengan konteks dan tuntutan syariat Islam.

Mendidik generasi baharu

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Anak ibarat kain putih (fitrah), ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Berpandukan hadis tersebut, amat penting bagi ibu bapa memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan baik berlandaskan akidah dan syariat Islam.

Ibu bapa berperanan mendidik anak dengan ilmu dan akhlak yang baik.

Ibu bapa diberikan amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menjaga serta mendidik anak agar berakhlak mulia serta mempunyai pegangan akidah dan berpegang kepada syariat Islam. Peranan ibu bapa amat penting dalam memantau pergerakan serta mengawal kelakuan atau tindak-tanduk anak dalam kehidupan. Pepatah ada mengatakan, melentur buluh biar daripada rebungnya agar tidak menyesal pada kemudian hari. Ibu bapa sewajarnya menegur anak mereka jika melanggar adab. Ingatlah adab, iman dan kesopanan adalah ibarat “pakaian jiwa” dan segala kelakuan atau sikap yang dipamerkan dan boleh menyinggung hati, perasaan atau jiwa orang lain akan berbalik kepada ibu bapa yang mengasuhnya.

Selain itu, guru dan golongan pendidik sama ada di peringkat sekolah atau universiti perlu memainkan peranan bukan sahaja menjadi contoh yang baik kepada pelajar tetapi mendidik dan bersikap rasional dalam memberikan nasihat atau teguran kepada anak murid yang didapati memakai pakaian menjolok mata atau bertutur dengan bahasa yang kasar. Hal ini bagi memastikan mereka tidak mengamalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT bersesuaian dengan tatacara amar makruf dan nahi mungkar yang bermaksud “mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”.

Ibu bapa atau guru boleh menghantar anak muda ke kem ibadat bagi memantapkan akhlak dan keperibadian generasi baharu agar lebih fokus, bertanggungjawab, matang dalam merencana kehidupan serta masa depan. Hal ini penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, permata sunah yang berakhlak serta melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri selaras dengan peradaban manusia dan tamadun Islam.

Tuntasnya, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil peranan yang penting dengan sentiasa peka, ingat-mengingati, serta memberikan teguran dalam memastikan generasi baharu terpelihara akidah, akhlak, prinsip kesopanan, kesusilaan dan pedoman bagi memelihara kemaslahatan institusi sosial dan ketamadunan manusia. Perkara ini juga membendung daripada terhakisnya akhlak, adab, iman, serta mengelakkan pupusnya nilai peradaban dan syariat Islam yang selama ini dipegang erat oleh orang Melayu Islam.

Jangan memaksa agama kepada keluarga anda. Tunjukkan kepada mereka keindahan agama melalui amalan anda sendiri. – Nouman Ali Khan

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.