2 Jun 2023, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
“Dirgahayu Tuanku”, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bersempena dengan hari keputeraan baginda pada 5 Jun 2023.

 

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Kami jadikan antara mereka itu beberapa orang pemimpin yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami selagi mereka bersabar (dalam menjalankan tugas itu) dan mereka tetap meyakini ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah 32:24)

Bermula daripada pemilihan Sayidina Abu Bakar r.a. sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW, terdapat pelbagai kaedah yang diguna pakai oleh umat Islam untuk memilih atau melantik pemimpin tertinggi, membuktikan kaedah melantik pemimpin dalam kalangan umat Islam bersifat anjal dan terbuka asalkan tidak bercanggah dengan asas-asas ajaran Islam.

Apa-apa yang penting, Islam telah menggariskan kelayakan, tanggungjawab serta hak-hak pemerintah dan rakyat dalam sistem berkerajaan dan bernegara, bahkan Islam membolehkan umatnya mengambil manfaat daripada mana-mana sistem pemerintahan untuk diamalkan jika sistem tersebut boleh mendatangkan kebaikan dan kemakmuran kepada agama, bangsa dan negara.

Di negara kita, sistem pemerintahan beraja telah lama berakar, bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka yang mewariskan adab bernegeri dan budaya berkerajaan, berprinsipkan negeri beraja – rakyat bersultan.

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara baharu yang merdeka, disusuli penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Matlamat dan wawasan umum negara yang baharu merdeka pada ketika itu adalah untuk mencapai tahap perpaduan yang dilambangkan melalui seorang raja yang agung, yang berjaya menguasai kesetiaan setiap warga dengan memastikan terbangunnya sebuah negara merdeka yang berdaulat, makmur lagi stabil, dan warganya hidup dalam suasana aman, rukun dan damai, yang dinikmati melalui pemerintahan yang adil lagi saksama berpaksikan undang-undang.

Ketika merangka formula untuk membentuk kerajaan yang merdeka, institusi raja dan institusi rakyat digabungkan berlandaskan prinsip raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen. Raja berperlembagaan ialah kelangsungan pemerintahan beraja, yang mentakrifkan semula peranan raja seiring dengan keperluan semasa.

Tradisi beraja pada peringkat negeri bukan sahaja dikekalkan, malah dimaktubkan dalam Perlembagaan Merdeka, satu lagi lapisan pemerintahan beraja melalui pelantikan seorang raja pada peringkat persekutuan, berperanan sebagai kepala utama negara bergelar Yang di-Pertuan Agong. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong mengandungi kata-kata berikut:

Wallahi, wabillahi, watallahi, maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya, pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan negeri yang telah disahkan dan dimasyhurkan dan yang akan disahkan dan dimasyhurkan pada masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

Lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong didahului dengan tiga kalimah Allah – “wallahi, wabillahi, watallahi”, diiktiraf dalam Islam dari sudut kebertanggungjawaban. Sumpah jawatan yang dilafazkan berkembar dengan tanggungjawab yang sangat besar di sisi Allah SWT; sumpah yang dilafazkan meletakkan amanah besar kepada penyandang gelaran, yang akan diadili pada hari kebangkitan di padang mahsyar nanti, sama ada amanah telah disempurnakan seperti yang dilafazkan.

Nyatalah jawatan ketua utama negara bukan hanya berbentuk hiasan, di sebaliknya menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab besar memenuhi amanah. Terkandung lima pengakuan penting untuk disempurnakan dalam sumpah jawatan tersebut:

  • Pertama: Undang-undang;
  • Kedua: Perlembagaan negeri;
  • Ketiga: Agama Islam;
  • Keempat: Adil;
  • Kelima: Aman.

Sumpah yang dilafazkan merupakan pengakuan kepada Allah SWT akan ketaatsetiaan penyandang melaksanakan keadilan berlandaskan undang-undang dan perlembagaan, memelihara agama Islam dan berdiri atas pemerintahan yang adil dan aman.

Ibn Kathir mentafsirkan ayat 24 Surah al-Sajdah dengan menyatakan bahawa:

Ketika mereka sabar dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya, dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, mengajak kepada kebaikan, memerintah yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Ayat ini menjelaskan bahawa pemimpin yang menjalankan tanggungjawabnya menurut syariat, menjadi wasilah (perantara) memperoleh kebaikan kepada rakyat dan negara. Sebagai rakyat jelata pula, kita dituntut mentaati dan menghormati pemimpin yang dilantik selagi pemerintahannya berlandaskan syariat dan menegakkan keadilan.

Umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Berpandukan ajaran Islam, kedaulatan ialah milik mutlak Allah SWT, seseorang raja ialah pemegang amanah. Oleh itu, gelaran dan jawatan yang disandang merupakan tugas untuk memenuhi tanggungjawab fardu kifayah. Raja yang adil merupakan raja yang mengikut perintah Allah, dan akan mendapat payungan Ilahi kerana kesungguhan dan keikhlasan menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan.

Kedua: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua utama negara yang dipertanggungjawabkan dengan amanah besar untuk menjamin rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai fahaman agama berjaya disatukan sebagai warga kepada sebuah negara berdaulat, serta hidup secara aman dan muhibah dalam sebuah negara yang makmur.

Ketiga: Takhta tidak boleh berada dalam pengasingan, di sebaliknya amatlah penting untuk takhta memahami degup jantung dan degup nadi rakyat yang meletakkan harapan tinggi agar takhta berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama, demi memastikan kepentingan rakyat jelata senantiasa diutamakan dan dilindungi.

Keempat: Takhta berupaya mengembalikan dan membina keyakinan rakyat ketika rakyat dilambung krisis keyakinan dengan menyempurnakan peranan semak dan imbang secara bijaksana kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Dirgahayu Tuanku”, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan iringan doa semoga negara di bawah naungan pemerintahan Tuanku dilimpahi keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran.

 

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniakanlah hidayah dan petunjuk-Mu ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk melaksanakan pemerintahan secara adil dan saksama, bertiangkan al-Quran dan sunah, bersandarkan perlembagaan dan berlandaskan undang-undang. Bantulah dan berkati usaha baginda untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama, agar Malaysia kekal menjadi negara merdeka yang berdaulat, aman, makmur dan sejahtera.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhkan negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 2 Jun 2023, bertajuk “Institusi Beraja Tonggak Kestabilan Negara”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.