31 Mei 2023, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fiqh al-Hadis Syarah Bulugh al-Maram mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana menghuraikan hadis hukum secara mendalam dan terperinci.

Menurut penulis buku tersebut, Profesor Madya Dr. Mohd Muhiden Abd Rahman, kitab asalnya ialah Bulugh al-Maram min Adillat al-Ahkam tulisan al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, seorang ulama besar Mazhab Syafii.

“Walaupun al-Hafiz Imam Ibn Hajar bermazhab Syafii, tetapi kitab Bulugh al-Maram menjadi tumpuan semua ulama dan merentasi mazhab, iaitu Mazhab Maliki, Hanbali, Hanafi dan Syafii, serta dijadikan teks pengajaran bukan sahaja di negara yang bermazhab Syafii,” katanya.

Ujar beliau, “Hadis yang dipilih oleh Imam Ibn Hajar merupakan hadis yang paling sahih kerana lebih 50 peratus hadis yang dikumpul terdiri daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.”

Beliau berkata demikian dalam Program Diskusi Buku Fiqh al-Hadith Syarah Bulugh al-Maram di Reruai DBP, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), tengah hari tadi.

Profesor Madya Dr. Mohd Muhiden Abd Rahman.

Menurut beliau, setakat ini terdapat lebih kurang 20 orang ulama yang telah mensyarahkan kitab tersebut dalam bahasa Arab, tetapi belum terdapat kitab yang disyarah dalam bahasa Melayu, termasuk bahasa Indonesia.

“Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kitab ini sehingga digelar sebagai qamus al-sunnah.

“Kitab tersebut mempunyai lebih kurang 1500 hadis yang mencakupi hampir kesemua disiplin ilmu dalam Islam, seperti ibadat, muamalat, jinayat, hudud dan juga akhlak, kecuali akidah,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan kitab tersebut berbanding dengan kitab hadis hukum yang lain telah menarik perhatian beliau untuk mensyarahnya mengikut pecahan bab menjadi 12 jilid, dan telah diterbitkan sebanyak enam jilid.

Menurut Dr. Muhiden, penulisan buku tersebut menggunakan metode fiqh dan metode hadis, walaupun syarah kitab tersebut dalam bahasa Arab lebih kepada huraian hadis dari segi hukum tanpa melihat dari aspek hadis.

Buku Fiqh al-Hadith Syarah Bulugh al-Maram yang telah diterbitkan sebanyak enam jilid.

“Oleh itu, buku ini tidak memfokuskan persoalan hukum semata-mata, tetapi pada masa yang sama memfokuskan persoalan hadis dengan lebih terperinci, iaitu melibatkan sanad, matan dan kosa kata hadis bagi perkataan yang memerlukan penjelasan.

“Dalam kitab asal, Imam Ibn Hajar tidak menyatakan kesemua status hadis, tetapi dalam buku ini semua hadis ditakhrij dan dinyatakan semua statusnya sama ada sahih atau hasan, dan jika daif dinyatakan sebabnya berdasarkan penilaian yang dibuat oleh para ulama.

“Buku ini menghuraikan hadis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan pendekatan semasa, serta sesuai untuk semua golongan,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.