Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “… (datanglah hudhud) lalu berkata, “Aku mengetahui sesuatu yang belum kamu ketahui. Aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa satu berita yang diyakini kebenarannya.”
(Surah al-Naml 27:22)
Tarikh 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional kerana pada tarikh tersebut pada tahun 1939, akhbar sulung Utusan Melayu diterbitkan.
Wartawan ialah petugas media yang berperanan menyampaikan maklumat dan menyebarkan berita. Maklumat yang disampaikan dan cara berita diolah akan mencanai pemikiran dan mempengaruhi tindakan pembaca. Lazimnya wartawan memenuhi tiga peranan utama, iaitu:
Pertama: Mendapat dan mengumpulkan maklumat.
Kedua: Mengolah berita secara yang mudah difahami oleh pembaca, pendengar dan penonton.
Ketiga: Menyampai dan menyebarkan maklumat secepat mungkin kepada masyarakat.
Tugas wartawan dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Ketika mengumpulkan maklumat, mereka berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan keadaan bahaya. Ada kalanya mereka terpaksa berjaga sepanjang malam, terdedah kepada perubahan cuaca, juga persekitaran yang tidak menentu; apatah lagi apabila mereka ditugaskan membuat liputan berita di kawasan yang dilanda bencana alam atau di kawasan yang terlibat dengan konflik dan peperangan. Ada dalam kalangan mereka yang menghadapi kecederaan, malah ada yang kehilangan nyawa. Dilaporkan dalam tahun 2022, lebih daripada 67 orang pengamal media di seluruh dunia terkorban semasa menjalankan tugas, iaitu catatan tertinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
Kewartawanan terawal yang dikesan adalah berbentuk lembaran berita yang mengandungi peristiwa harian penting, merangkumi ucapan awam semasa tamadun Rom Kuno; manakala akhbar harian pertama secara berkala diterbitkan di kota-kota Jerman pada awal abad ke-17. Oleh sebab itu, kewartawanan lazimnya disoroti berdasarkan sudut pandangan Barat. Maka itu, persoalan hak asasi dan kebebasan bersuara, serta adab kewartawanan secara umumnya, lebih berpandukan pandangan dunia Barat.
Pada hakikatnya, Islam yang bersifat syumul meliputi semua sudut kehidupan manusia, dan menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada semua persoalan. Oleh itu, kewartawanan memiliki kedudukan tersendiri menurut pandangan Islam. Melalui ayat 22 Surah al-Naml tersebut, Allah SWT menceritakan sikap benar yang ada pada burung hudhud ketika menyampaikan berita penting kepada Nabi Sulaiman a.s., tentang perihal sebuah kerajaan yang tidak beriman dengan Allah SWT. Lalu, dengan berita yang sahih, Nabi Sulaiman a.s. bertindak mengutus perutusan dakwah kepada Ratu Balqis. Dalam bahasa mudah, perbuatan menyampaikan berita yang dilakukan oleh burung hudhud tersebut menyamai peranan wartawan pada hari ini.
Berdasarkan peristiwa Burung hudhud dengan Nabi Sulaiman a.s. itu, tugas mencari, mendapatkan dan menghasilkan berita dalam apa-apa juga saluran, baik secara tulisan, pendengaran dan penglihatan, sama ada melalui akhbar, radio dan televisyen, mahupun melalui saluran media sosial yang semakin popular dan semakin berpengaruh, hendaklah berlandaskan kebenaran.
Sifat benar dan sifat jujur wajib diamalkan oleh para wartawan. Rasulullah SAW menekankan pentingnya diutamakan sifat jujur dan benar melalui hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Mas‘ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Hendaklah kamu selalu berlaku jujur kerana berlalu jujur membimbing kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan kejujuran, maka dia dicatat Allah sebagai sadik (orang jujur). Dan hindarilah olehmu akan dusta kerana sesungguhnya dusta itu mendorong kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dia dicatat oleh Allah SWT sebagai kazab (pendusta).”
(Hadis riwayat Muslim)
Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak. Perkara yang benar wajib dikatakan benar, dan perkara yang salah wajib dikatakan salah. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu den gan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah 2:42)
Oleh itu, para wartawan yang mahu mendapatkan keredaan Ilahi, wajib memahami, menghayati dan mengamalkan adab kewartawanan berlandaskan Islam ketika menyempurnakan tugas, terutama pada zaman yang serba mencabar ini. Jangan sama sekali harga diri digadaikan, lalu memilih bersifat menegakkan benang yang basah ketika menyampaikan berita, apabila kebenaran dikorbankan, sedang kesalahan dilindungi, kerana tarikan kebendaan dalam bentuk upah, sogokan, pangkat, jawatan dan gelaran.
Yang berikut merupakan beberapa peringatan kepada pengamal media dan juga kepada anggota masyarakat:
Pertama: Para wartawan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah. Penuhi tanggungjawab yang diamanahkan secara jujur dan ikhlas, berpandukan adab yang berlandaskan nilai Islam. Antaranya termasuklah bersikap terbuka, adil, saksama dan seimbang, serta tidak memfitnah, agar pekerjaan diterima sebagai ibadat yang insya-Allah dikurniakan ganjaran dunia dan ganjaran akhirat oleh Allah SWT.
Kedua: Menyaring maklumat yang diterima dengan maksud menyemak dan mengesahkan kesahihan maklumat, seperti yang diamalkan oleh para sarjana hadis ketika meriwayatkan sesuatu hadis dengan memastikan sumber dan kesahihannya. Sebelum disiarkan atau disebarkan atau diterima atau dipercayai sesuatu berita, jadikan pedoman peringatan Ilahi yang yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (tentangnya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat 49:6).
Ketiga: Menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi. Oleh itu, usah sama sekali menyalahgunakan bakat kurniaan Ilahi dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan.
Keempat: Mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu membangunkan sebuah negara yang aman lagi makmur, merdeka dan berdaulat, rakyatnya teguh bersatu – kukuh berpadu, hidup secara rukun dan damai dalam semangat muhibah, dan saling hormat-menghormati meskipun berlainan pegangan agama dan berlatar belakangkan pelbagai kaum.
Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Engkau berkati dan kurniai rahmat-Mu kepada para wartawan yang ikhlas, jujur lagi beramanah ketika melaksanakan tugas fardu kifayah. Limpahi perlindungan-Mu, dan limpahi semangat ketabahan kepada mereka yang bersedia menerima tanggungjawab bertugas di tempat-tempat yang dilanda bencana, begitu juga di kawasan yang menjadi medan pertempuran dan peperangan. Jadikanlah bidang kewartawanan ini sebagai satu daripada wasilah penyebaran dakwah dan amal kebaikan.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 26 Mei 2013, bertajuk “Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai Islam”, Jabatan Agama Islam Perak)