Oleh Syaza Wardina
14 Mei 2023, 07:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ribuan warga kota memeriahkan Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama-sama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan serta rakan-rakan strategik, semalam.

Menurut JAWI, sebanyak lebih 120 masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menyediakan aneka juadah di Dataran Merdeka bagi menyantuni tetamu dan memberi makan secara percuma kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.

“Hal ini selaras dengan semangat muhibah masyarakat MADANI melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian,” jelas JAWI.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.

“Saya teruja dengan semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh para sukarelawan dalam menyediakan juadah kepada pengunjung yang hadir.

Semoga peranan institusi masjid dan surau sebagai wadah penyatu masyarakat akan terus menyumbang kepada semangat persaudaraan dan seterusnya memupuk sikap prihatin khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang berkemampuan,” ujar Dato’ Seri Anwar menerusi hantaran dalam media sosial beliau.

Sekitar sambutan Hari Raya Aidilfitri secara besar-besaran melalui Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka, semalam.

Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka merupakan kesinambungan program Aidilfitri @ Dataran Merdeka 2022 yang diadakan pada tahun lalu dan Street Raya 2019 yang telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai program rumah terbuka terbesar diadakan di negara ini.

Dengan menghimpunkan penyertaan sebanyak 124 gerai yang terdiri daripada 106 gerai masjid dan surau Jumaat di sekitar Wilayah Persekutuan serta 18 gerai rakan-rakan strategik, sambutan Hari Raya Aidilfitri secara besar-besaran ini mencetuskan perasaan cakna dan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan dan merasai pelbagai juadah makanan atas semangat muhibah dan perpaduan.

Pada masa yang sama, program ini menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan makanan tradisi Malaysia kepada pelancong yang turut sama hadir memeriahkan majlis.

Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka ini juga sebagai ruang dan peluang yang baik untuk memasyarakatkan dan mempromosikan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.