Oleh Mohd Nizam Sahad
8 Mei 2023, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Ramadan pada tahun ini sudah pergi meninggalkan kita. Hal ini bermakna tiada lagi pahala berganda yang dikhususkan amalannya pada bulan Ramadan yang dapat kita raih. Namun begitu, kita masih berpeluang untuk meraih takwa asalkan kita terus istiqamah dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap ibadat kita sebagai hamba-Nya. Sentiasalah berusaha untuk meningkatkan iman, keikhlasan diri, bermuhasabah dan sentiasa memohon keampunan atas segala dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini. Kembalikan diri kepada fitrah insani yang suci bersih daripada segala dosa dan noda.

Oleh itu, apakah pelan dan perancangan kita seterusnya selepas berlalunya Ramadan? Berikut merupakan beberapa saranan untuk kita terus mempertahankan semangat Ramadan dalam bulan Syawal dan bulan-bulan yang mendatang.

  1. Mempertahankan takwa

Sebagaimana yang kita maklum, objektif Ramadan adalah untuk manusia mendidik jiwa supaya mencapai darjat takwa. Darjat takwa di sisi Allah SWT amat berharga kerana ganjarannya akan beroleh rahmat dan syurga daripada-Nya.

Jadikan amalan pada bulan Ramadan sebagai pembakar semangat untuk kita menambah ketakwaan kepada Allah SWT.

Oleh hal yang demikian, bagi mereka yang merasakan ada perubahan positif pada diri, khususnya dalam aspek merasai kemanisan dan kenikmatan beribadat kepada Allah SWT, maka hendaklah dia mempertahankannya dan mensyukuri nikmat rasa pemberian itu. Usahakanlah diri dan nafsu untuk tunduk pada setiap perintah Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 

  1. Merindui Ramadan, mengharapkan Ramadan akan datang, dan berdoa supaya Allah menerima amalan Ramadan

Dalam kitab Lataif al-Ma‘arif, dikatakan bahawa golongan salaf al-salih ketika mengakhiri Ramadan setiap tahun mempunyai satu tabiat, iaitu mereka akan sentiasa berdoa selama enam bulan supaya amal yang mereka lakukan dalam bulan Ramadan pada tahun tersebut diterima oleh Allah SWT. Apabila masuk enam bulan berikutnya, mereka akan berdoa kepada Allah supaya mereka dipertemukan kembali dengan Ramadan yang berikutnya.

Sentiasalah berdoa agar amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadan pada tahun akan datang.

Begitulah juga Nabi Allah Ibrahim a.s. mengajar kita untuk berdoa selepas melaksanakan sesuatu kebaikan. Hal ini dapat dilihat melalui satu doa dalam Surah al-Baqarah, ayat  127 dan 128 yang dilafazkan oleh baginda selepas mendirikan binaan Kaabah. Firman Allah yang bermaksud, “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama-sama Ismail (seraya berdoa): ‘Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.  Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang.’”

Oleh hal yang demikian, antara saranan selepas berakhirnya bulan Ramadan termasuklah tidak jemu memohon dan meminta kepada Allah agar amalan kita diterima oleh-Nya dan kita dapat berjumpa lagi dengan Ramadan pada tahun berikutnya. Pupuklah kerinduan pada Ramadan pada sepanjang tahun.

 

  1. Mengekalkan amalan baik pada bulan Ramadan

Dalam bulan Ramadan, kita sentiasa berusaha meningkatkan amalan, dan pastinya dorongan yang hadir adalah daripada rahmat Allah jua. Kita membanyakkan solat tarawih, solat sunat yang lain, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya dengan penuh pengharapan agar beroleh ganjaran daripada-Nya. Amalan-amalan ini hendaklah kita teruskan secara konsisten.

Dengan erti kata lain, tetaplah istiqamah melakukan amalan yang baik di luar bulan Ramadan, di samping terus teguh, lurus dan menyempurnakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Orang yang sentiasa istiqamah menegakkan ajaran agama Islam akan diberikan ganjaran dengan kehadiran malaikat yang akan menenangkan mereka pada saat kematian dan memberikan berita gembira balasan baik di hari akhirat nanti.

Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka beristiqamah (meneguhkan pendirian mereka), maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: ‘Janganlah kamu takut dan janganlah berasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu.’”

 

  1. Pupuk sifat mahmudah dan jauhi sifat mazmumah

Selepas berlalunya bulan Ramadan, teruskanlah mendidik jiwa kita agar bersikap qanaah dan banyak bersabar dengan ujian kesenangan dan ujian kesusahan daripada Allah SWT. HAMKA dalam Tasawuf Moden mengungkapkan munajat dirinya berhubung dengan hari raya, setelah seorang temannya bertanya: “Besok bukankah hari raya? Mana pakaian yang telah engkau sediakan?” Katanya: “Pakaianku sangat indah, pemberian daripada kecintaanku. Dua helai baju, yakni kemiskinan dan kesabaran. Di dalamnya tersimpan hati yang telah disepuh, yang memandang bahawa keramaian hari raya itu bercahaya, lantaran di sana nyata wajah kecintaanku, biarpun orang lain tidak melihatnya. Pakaian apakah yang lebih indah dipakai pada hari raya daripada pakaian pemberian kekasih, yang dipakai dengan bersipu-sipu di hadapan-Nya? Tiada ertinya hari raya itu bagiku, ayuhai Kekasih, kalau cahaya-Mu tidak memberikan kumandang di sana. Dia akan sepi, tidak ada keramaian, tidak ada hari raya, apabila Engkau lepas daripada ingatanku. Patutkah aku disebut seorang yang setia, kalau ada wajah lain yang kulihat dalam keramaian, selain wajah-Mu jua? Lantaran cintaku kepada-Mu, aku sudi menerima keputusan apa-apa pun yang Engkau putuskan kepada diriku. Kadang-kadang putus harapanku daripada syurga-Mu, lantaran aku tahu kebebalan diriku. Akan tetapi, gementar segenap sendi tulangku, kalau aku ingat akan azab dan seksa-Mu. Sebab itu wahai kekasih-Ku. Adakah akan Tuhan bakar muka yang sentiasa basah memujimu? Adakah akan Tuhan seksa lidah yang sentiasa basah memuji-Mu? Adakah akan Tuhan patahkan hati yang sentiasa ingat akan-Mu?”

Munajat HAMKA ini menggambarkan perasaan hatinya, kecintaannya pada Ilahi dan pengharapannya kepada Allah supaya dikekalkan dalam kebaikan dan dijauhi daripada tidak mendapat keredaan Allah SWT.

 

  1. Tadabur al-Quran

Hendaklah kita semakin dekat dengan al-Quran sebagai kitab hidayah dan berteman dengannya sehari-harian. Tentukan masa untuk kita membaca beberapa potongan ayat, memahami maksudnya, dan membaca tafsirannya dengan penuh penghayatan. Amalkanlah apa-apa yang dibaca kerana itulah tujuan al-Quran diturunkan untuk kita praktikkan dalam kehidupan.

Teruskan amalan membaca dan mentadabur al-Quran walaupun selepas bulan Ramadan.

Yakinlah dengan janji Allah bahawa al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada kita pada hari akhirat. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik antara kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Jadikan semangat kita dengan al-Quran pada bulan Ramadan tetap teguh sepanjang tahun.

Demikianlah beberapa saranan supaya kita menjadikan latihan beramal mendidik jiwa pada bulan Ramadan kekal sepanjang zaman. Semoga tatkala dijemput oleh Allah ke alam barzakh nanti, kita dapat mengakhiri penghidupan kita dengan penuh istiqamah dengan amalan yang menguntungkan diri kita di sana.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.