22 April 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah, iaitu kejayaan manusia kembali kepada keadaan asal kejadiannya yang suci; laksana bayi yang baharu dilahirkan, bersih daripada dosa dan noda. Aidilfitri ialah masa untuk memperkukuh peribadi mulia yang kita berusaha membinanya ketika sebulan melalui tarbiah dalam “madrasah” Ramadan.

Peribadi mulia bermaksud sahsiah yang telah sebati dengan diri seseorang; watak yang memiliki akhlak terpuji. Ibadat puasa, solat tarawih, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah serta ibadat lain yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan secara ikhlas dengan penuh penghayatan, berperanan mempengaruhi fikiran dan mencorakkan jiwa kita untuk membentuk peribadi mulia.

Secara fitrahnya, manusia suka menyambut perayaan untuk diraikan dalam suasana riang dan gembira seperti yang tercatat dalam hadis daripada Anas r.a., beliau berkata yang bermaksud, “Rasulullah SAW tiba di Madinah dan Baginda mendapati penduduk Madinah menyambut dua perayaan; mereka bersuka ria meraikannya”. Lalu Baginda bertanya, “Apakah dua hari ini?” Mereka menjawab, “Kami bersuka ria pada dua hari tersebut ketika jahiliah.” Maka itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripada kedua-duanya, iaitu hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Aidilfitri merupakan anugerah kegembiraan daripada Ilahi kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Berpandukan hadis tersebut, Islam mengehendaki umatnya mempunyai jati diri sewaktu menyambut sesuatu perayaan. Dengan mensyariatkan Aidiladha dan Aidilfitri, umat Islam dituntut meninggalkan tradisi jahiliah, berhijrah kepada sahsiah sendiri dalam menyambut hari kebesaran berdasarkan syariat Allah.

Aidilfitri mengasuh kita membesarkan hanya Allah SWT, mengucapkan takbir, diulang-ulang dengan penuh penghayatan.

Unsur jati diri yang paling utama ialah keimanan kepada Allah dengan asas tauhid yang tulus lagi suci, serta bebas daripada unsur syirik. Aidilfitri mengasuh kita membesarkan hanya Allah SWT, mengucapkan takbir, diulang-ulang dengan penuh penghayatan. Pada hakikatnya, manusia difitrahkan dengan “rasa ketuhanan”, dan manusia telah membuat pengakuan ketika di alam roh, bersaksi bahawa Allah ialah Tuhan yang sebenarnya. Maka itu, Aidilfitri mengembalikan kita kepada fitrah ini seperti yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia menjadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan berfirman), ‘Bukankah Aku ini Tuhan kamu?’ Mereka menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ Yang demikianlah supaya pada hari kiamat kelak kamu tidak berkata, ‘Sesungguhnya kami orang yang lalai (tidak diberikan peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.’

(Surah al-A‘raf  7:172)

Lanjutan sahsiah berteraskan akidah yang tulus ke hadrat Allah SWT, pembinaan peribadi hendaklah diperkukuh dengan membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu yang sentiasa mempengaruhi manusia ke arah perkara keji dan mungkar. “Madrasah” Ramadan berperanan memperkukuh perisai dalaman manusia agar memiliki kekuatan mengawal dan menundukkan hawa nafsu selaras dengan hadis yang bermaksud, “… Dan puasa itu ialah perisai (yang membentengi hawa nafsu).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Aidilfitri yang kita raikan pada hari ini merupakan natijah daripada “madrasah” Ramadan yang kita tempuhi selama sebulan. Jika kita berjaya mengukuhkan iman dan takwa kepada Allah SWT, dan mendidik hawa nafsu agar sentiasa tunduk kepada syariat Allah, serta dapat menyuburkan sifat ihsan, kasih sayang dan mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam, maka kita layak bergembira kerana telah berjaya mencapai maksud Aidilfitri untuk membentuk peribadi mulia berteraskan fitrah.

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, umat Islam diingatkan dengan perkara yang berikut:

  • Pertama: Jadikan sambutan Aidilfitri sebagai ibadat, menyambutnya dengan sifat takwa dan bersyukur, memastikan acara sambutan mematuhi syarak, tanpa mengandungi maksiat, berunsur riak, serta hindari pembaziran.
  • Kedua: Menyantuni kedua-dua ibu bapa dan ceriakan saudara-mara yang lebih tua dengan menziarahi mereka; menggembirakan golongan miskin, anak yatim dan orang yang dalam kedaifan dan keuzuran; amalkan sifat pemurah dengan menghulurkan hadiah dan sedekah.
  • Ketiga: Suburkan semangat perpaduan dan saling menghormati sesama insan melalui rumah terbuka, beramah mesra dan bersedia menerima tetamu daripada pelbagai agama dan kaum agar mereka dapat memahami dan menghargai adab budaya, budi pekerti, dan sopan santun umat Islam yang mengutamakan perdamaian dan persaudaraan.
  • Keempat: Mengutamakan keselamatan supaya suasana riang Aidilfitri dijauhkan daripada malapetaka dan bencana. Oleh itu, berwaspada ketika berada di jalan raya, banyakkan berzikir agar jiwa menjadi tenang dan sabar, semoga terhindar daripada kemalangan; dan memantau secara rapi anak-anak yang bermain dengan bahan bakar dan bunga api.
  • Kelima: Berazam untuk memperlengkap keindahan Ramadan dengan menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal agar mendapat kurniaan ganjaran yang menyamai berpuasa sepanjang tahun berpandukan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seakan-akan dia berpuasa selama setahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam suasana kita bergembira, berpakaian cantik dan menikmati pelbagai juadah yang enak bersama-sama anggota keluarga, hargailah pengorbanan saudara kita yang pada ketika ini ditugaskan melaksanakan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah, antaranya termasuklah anggota tentera dan polis yang ketika ini bertugas untuk menjaga keselamatan negara dan memastikan ketenteraman awam, para petugas perubatan dan kesihatan, pengendali pengangkutan awam dan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan, begitu juga mereka yang bertugas dalam pelbagai industri perkhidmatan merangkumi hotel, tempat makan, stesen minyak dan komunikasi. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan ganjaran atas pengorbanan mereka, begitu juga kepada ahli keluarga mereka.

Ambillah peluang ketika Aidilfitri untuk mempererat hubungan sesama manusia.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin, terimalah  ibadat yang kami lakukan sepanjang Ramadan. Kurniai kami kesihatan dan kekuatan agar terus beristiqamah dan beribadat selama hayat dikandung badan.

Ya Allah! Ya Hafiz! Kami memohon perlindungan daripada sebarang bencana dan kemalangan ketika menyambut Aidilfitri. Kurniai kami keselamatan ketika kami dalam perjalanan menziarahi ibu bapa dan saudara-mara kami, juga limpahi perlindungan-Mu kepada para petugas yang melaksanakan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah sepanjang sambutan Aidilfitri.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Hari Raya Aidilfitri, 22 April 2023/1 Syawal 1444H, bertajuk “Aidilfitri Membentuk Peribadi Mulia Berteraskan Fitrah”.)

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.