Oleh Noorilham Ismail
22 April 2023, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umat Islam terdahulu perlu menempuh kegetiran di samping bermacam-macam pancaroba pada saat tibanya bulan Syawal yang mulia. Lipatan sejarah misalnya telah mengemukakan bukti dan menyaksikan dua peristiwa perang, iaitu Perang Khandaq semasa hayat Rasullah SAW serta perang untuk membebaskan tanah Andalusia sewaktu era pemerintahan Bani Umaiyah. Kedua-dua peristiwa yang pernah terjadi dalam bulan Syawal itu ternyata mengandungi ibrah dan memberikan iktibar dari segi mahalnya nilai pegangan akidah serta tingginya harga kemanusiaan.

Pada bulan Syawal tahun keempat kerasulan Nabi Muhammad SAW, umat Islam di Madinah telah diuji dengan serangan daripada kira-kira 10 ribu orang tentera musyrikin Makkah dalam Perang Khandaq. Peristiwa yang berlaku ini memberikan cabaran fizikal dan taktikal terhadap umat Islam pada waktu itu bagi mendepani jumlah bala tentera musuh dengan kapasiti yang lebih besar serta berkelengkapan.

Penerimaan idea daripada Salman al-Farisi supaya menggali parit besar di sekeliling kota Madinah telah menjadi asbab kemenangan pada waktu itu, selain kepimpinan Rasulullah SAW dan semangat jihad masyarakat Islam itu sendiri. Namun begitu, kesemua perkara tadi hanyalah cabaran dan pencapaian yang bersifat luaran untuk umat Islam kerana secara implisit, kejayaan yang diperoleh adalah lebih daripada itu.

Umat Islam bawah kepimpinan Rasulullah telah berjaya mempertahan kedaulatan kota dan penduduk Madinah, bahkan mereka juga dapat menegakkan kalimah Allah serta asas keteguhan akidah. Bayangkan, apakah yang akan terjadi jika umat Islam tewas? Bagaimanakah dengan keyakinan mereka terhadap Islam sedangkan pada tahun sebelumnya, mereka sudah kalah dalam Perang Uhud? Kemenangan dalam Perang Khandaq ini sekali gus menjadi pemangkin ikatan kesatuan ummah kepada umat Islam dan dari situ hadirnya pertolongan terus daripada Allah SWT untuk kemenangan dalam perang yang dilalui. Allah berfirman yang bermaksud,

Hai orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Ahzab 33:9)

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam sekali lagi menempuh cabaran dalam bulan Syawal sewaktu usaha membebaskan Andalusia daripada pemerintahan kerajaan Visigoth pada tahun 711 M. Perjuangan ini telah dipimpin oleh panglima perang, Tariq bin Ziyad bersama-sama angkatan tentera beliau yang diutuskan oleh Gabenor Kerajaan Umaiyah di Ifriqiyyah, Musa bin Nusair. Dalam peristiwa tersebut, barisan tentera Islam telah berhadapan dengan kekejaman kerajaan Visigoth yang menindas penduduk Andalusia sama ada dari segi cukai yang melampau, penindasan terhadap golongan wanita, perhambaan dan penguasaan terhadap pemilikan tanah.

Tanpa mengenal erti mengalah, perjuangan Tariq bin Ziyad bersama-sama barisan tenteranya turut melewati malam 1 Syawal sehinggalah kejayaan dicapai dengan tumbangnya pemerintahan Visigoth. Lebih positif apabila penduduk Andalusia turut menerima kehadiran tentera Islam bahkan mereka memberikan sokongan kepada tentera pimpinan Tariq untuk menewaskan pemerintah yang zalim.

Antara karya yang menceritakan tentang kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia.

Kejayaan pada bulan Syawal itu telah menjadi asas kepada lahirnya kerajaan Islam di Andalusia yang bertahan selama hampir 800 tahun. Hal ini turut diperakukan kegemilangannya oleh sarjana dari Barat, Henri Pirenne dalam bukunya, Mohammed and Charlemagne. Selain itu, kejayaan ini turut termuat dalam tulisan oleh sarjana Malaysia sendiri, Mahayudin Haji Yahaya melalui bukunya, Islam di Sepanyol dan Sicily.

Bibit-bibit kegemilangan itu terhasil dalam lapangan ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang astronomi, matematik, sains optik, geografi, perubatan dan pelbagai bentuk kesenian. Ternyata kesemua perkara ini lahir selepas umat Islam melalui satu tempoh getir pada bulan Syawal yang kemudiannya dinikmati oleh generasi yang terkemudian.

Bagaimanakah dua peristiwa perang itu dapat dijadikan tamsilan dalam senario dunia pada hari ini? Kesemuanya boleh diaplikasikan dengan cara kita mengambil pengajaran daripada kedua-dua sejarah yang dinyatakan sebelumnya. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW kini, tidak seharusnya kita menunggu serangan daripada musuh untuk membina pertahanan diri, tetapi kita boleh mengukuhkan ketahanan peribadi dengan ilmu pengetahuan dan asas keimanan. Penggemblengan perkara tersebut begitu sesuai untuk kita isikan dalam bulan Syawal yang secara asasnya dapat mendekatkan jarak serta mengeratkan hubungan dengan insan lain.

Dalam konteks umat Islam pada hari ini, perjuangan yang boleh diaplikasikan sewaktu tibanya Syawal adalah dari segi cara kita mengendalikan tuntutan kehendak daripada hawa nafsu. Tiga puluh hari yang ada pada bulan Ramadan seharusnya menjadi asas kepada keteguhan kekuatan diri dalam mengendalikan kehendak yang sentiasa bertambah dan sukar untuk dipenuhi.

Menjadi kelaziman masyarakat pada hari ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam bulan Syawal cenderung untuk dilakukan secara berlebih-lebihan dan menyebabkan pembaziran sama ada dari segi perhiasan peribadi, juadah hari raya dan sambutan rumah terbuka. Kita seharusnya sedar dan menginsafi golongan yang kurang bernasib baik serta tidak mampu untuk memperoleh kelengkapan secukupnya sebagai persiapan menyambut ketibaan 1 Syawal. Keinsafan yang hadir tidak cukup hanya untuk kita bersyukur dengan rezeki yang ada, tetapi perlu supaya kita membantu mereka agar keberkatan dan kemeriahan Syawal dapat dinikmati bersama-sama.

Kehadiran Syawal seharusnya dihayati dengan keinsafan dan nilai kemanusiaan terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

Dalam hal ini, perjuangan kita bukanlah untuk berhadapan dengan musuh fizikal seperti dalam Perang Khandaq, namun lebih kepada usaha memerangi tuntutan hawa nafsu dari dalam diri sendiri. Kita seharusnya memahami perkara ini selari dengan amaran oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk daripada Allah.” (Surah al-Qasas 28:50).

Pada masa yang sama, bulan Syawal yang hadir ini seharusnya kita hiasi dengan pelbagai keindahan melalui bantuan fizikal kepada insan yang kurang bernasib baik dari segi pakaian, keperluan asas serta tempat tinggal. Sekiranya perjuangan Tariq bin Ziyad dan tenteranya telah menjadi asas kepada permulaan kegemilangan tamadun Islam di Andalusia, apalah kiranya kita menjadikan bulan Syawal ini sebagai titik permulaan kepada kehidupan baharu buat golongan yang memerlukan dengan cara memberikan bantuan kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah akan selalu menolong hamba-hamba-Nya selagi hamba-hamba-Nya menolong saudaranya sesama Muslim.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2699).

Tiga puluh hari dalam bulan Syawal yang hadir pada kali ini seharusnya kita renungi dengan penuh rasa syukur kepada Tuhan di samping penghayatan rasa kemanusiaan. Melalui kesyukuran kepada Allah, kita dapat menghargai nikmat menjadi umat Islam yang dijanjikan dengan kemuliaan bahkan ketinggian darjat jika kita bertakwa.

Dalam soal kemanusiaan, kedatangan bulan penuh makna ini setidak-tidaknya dapat menjentik hati dan membuatkan kita lebih memahami keperitan hidup manusia lain lalu mendorong kita untuk membantu mereka. Dua peristiwa perang yang disentuh sebelumnya diharapkan mampu berfungsi sebagai cerminan pengajaran untuk kita pada hari ini serta hari-hari mendatang. Kehadiran Syawal bukan hanya untuk dirayakan dalam kemeriahan, tetapi seharusnya disertakan dengan rasa keinsanan agar kita benar-benar menghargai nikmat yang dimiliki.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.