21 April 2023, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari ini ialah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan 1444 Hijrah. Setelah tekun dan nekad melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan, kini tiba masanya Allah SWT mengurniakan kita nikmat kegembiraan menyambut hari kemenangan, 1 Syawal, sebaik-baik terbenamnya matahari pada Maghrib nanti. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan yang sewajibnya disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

Maksudnya: “… Dan hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, dan semoga kamu bersyukur.”

Menjelang ketibaan Syawal, kita perlu memperingatkan diri agar meraikan Aidilfitri dengan memahami semangat yang tersirat di sebalik amalan dan tradisi meraikannya, berpandukan sunah Nabi Muhammad SAW. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersifat tidak lengkap tanpa amalan tradisi yang telah dilakukan sejak zaman-berzaman.

Tuntutan menghidupkan Aidilfitri bermula pada malam hari raya. Kita dituntut untuk menghidupkan malam raya dengan memperbanyak takbir, tahmid dan bersolat sunat, serta memberi makanan, hadiah dan sedekah. Alhamdulillah, amalan bertakbir pada malam raya, kekal dihidupkan, bahkan kemeriahan pada malam raya amat dirasakan melalui amalan bertakbir dari rumah ke rumah.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa malam raya harus dihidupkan dengan perkara ketaatan dan ibadat. Diriwayatkan daripada Ubadah bin Samit, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari hati manusia lain mati.” (Hadis riwayat al-Tabarani).

Ziarah-menziarahi adalah antara amalan yang sangat dianjurkan. Syawal ialah hari untuk melupakan segala persengketaan dalam semangat bermaafan. Selaras dengan seruan Nabi SAW, hari raya ialah waktu untuk mengeratkan silaturahim; hari kita dianjurkan berusaha bertemu dengan sebanyak mungkin orang. Dalam hasrat mahu bertemu dan bersalaman dengan sebanyak mungkin orang, Baginda SAW memilih jalan yang berlainan sewaktu pergi dan balik masjid ketika menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir bin Abdillah yang bermaksud, “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Amalan kunjung-mengunjung lebih indah apabila dilengkapi dengan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Wasilah al-Asqo’, katanya, “Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda, ‘taqabbalallahu minna wa minkum’ [semoga Allah menerima (ibadat) daripada kami dan daripada kamu], lalu Baginda menjawab: ‘Ya, taqabbalallahu minna wa minkum’ [semoga Allah menerima (ibadat) daripada kami dan daripada kamu].’”

Kitalah yang menghidupkan suasana hari raya. Suasana hari raya hendaklah dihidupkan dengan perkara yang dapat meningkatkan silaturahim dan hubungan persaudaraan. Ziarahi kaum keluarga, terutama golongan yang lebih tua daripada kita. Raikan para tetamu yang berkunjung di rumah kita, termasuk menerima tetamu yang berlainan kaum dan berlainan agama dengan hati terbuka. Rumah terbuka Aidilfitri hendaklah dijadikan ruang untuk membolehkan tetamu yang berlainan kaum dan berlainan agama dapat memahami adab budaya, budi bahasa dan sopan santun umat Islam yang mengutamakan semangat persaudaraan dan suasana perdamaian.

Indahkan Aidilfitri dengan memberikan keriangan kepada golongan miskin dan anak yatim, serta mereka yang daif dan uzur. Hidangkan kepada mereka juadah yang istimewa, hulurkan sedekah dan hadiah untuk menggembirakan mereka. Hiasi Aidilfitri dengan amalan berunsur ibadat dan jauhi Aidilfitri daripada dicemari dengan pesta berfoya-foya yang bercanggah dengan syarak.

Dalam kalangan ummah yang berkemampuan, digalakkan memakai pakaian baharu pada pagi hari raya; malah dalam kalangan yang dikurniakan rezeki yang mewah, dianjurkan agar menginfakkan pakaian baharu kepada orang susah sebelum menjelangnya Syawal, agar orang yang susah turut berpeluang bergembira dengan pakaian baharu.

Hal ini selaras untuk menyahut sunah yang menggalakkan dan menghidupkan amalan berhias dengan pakaian yang cantik. Menurut Abu al-Hasan al-Sindi, berhias pada hari raya termasuk kebiasaan yang sudah lama wujud dalam kalangan para sahabat, malah Nabi SAW juga turut melakukannya. Namun begitu, Aidilfitri disambut bukan semata-mata dengan berpakaian baharu. Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan,

Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baharu, tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.

Untuk memastikan agar Syawal yang bakal kita rayakan lebih bermakna, umat Islam dinasihatkan dengan perkara yang berikut:

Pertama: Membuktikan rasa syukur seorang hamba dengan memuliakan kebesaran Ilahi secara memperbanyak takbir dan tahmid sepanjang malam sebaik-baik diumumkan Syawal sehingga dimulakan Solat Sunat Aidilfitri.

Kedua: Merayakan Syawal dengan amalan bersifat ibadat, berlandaskan syariat dan sunah Nabi SAW, bermula dengan Mandi Sunat Aidilfitri, mengenakan pakaian baharu, menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, menunaikan Solat Sunat Aidilfitri secara berjemaah, bersedekah dan ziarah-menziarahi.

Ketiga: Menghidupkan amalan yang boleh mengeratkan silaturahim dan meningkatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.

Syawal ialah hari untuk melupakan segala persengketaan dalam semangat bermaafan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Terimalah ibadat puasa dan segala ibadat yang kami abadikan kepada-Mu sepanjang Ramadan. Kurniai kami keinsafan dan teguhkan iman kami untuk meningkatkan ibadat dan ketaatan kepada-Mu. Ya Allah, kurniai kami peluang menyambut Syawal dalam suasana riang dan gembira, serta hindari kami daripada ditimpa sebarang bencana dan malapetaka.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 21 April 2023, bertajuk “Mengembalikan Tradisi Memperteguh Sunah Aidilfitri”.)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.