Oleh Suria Janib
17 April 2023, 22:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Perjuangan umat Islam belum selesai selagi bulan Ramadan masih berbaki. Ketibaan Aidilfitri dalam bulan Syawal merupakan hari kemenangan dan hari kebesaran bagi umat Islam yang telah berusaha bersungguh-sungguh mendirikan amal ibadat pada bulan Ramadan.”

Demikian menurut juara program Da’i: Pendakwah Milinea musim pertama, Puan Nor Adibah Rozain dalam rancangan Sembang Tamu yang membicarakan tajuk “Syawal Manifestasi Kemenangan Umat Islam” menerusi studio siaran langsung media sosial DBP.

 

Menurutnya, kedatangan 1 Syawal merupakan anugerah atau hadiah atas usaha yang bersungguh-sungguh serta kepatuhan umat Islam terhadap suruhan dan larangan Allah SWT.

Beliau memetik ayat Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

“Hari raya disambut dengan penuh kegembiraan dan merafakkan kesyukuran kepada Allah selepas berjaya mengawal hawa nafsu pada bulan Ramadan.

“Bagi meraikan kemenangan, umat Islam perlu mengikuti sunah Rasulullah SAW seperti mandi sunat hari raya, mengenakan pakaian yang baharu dan bersih, serta menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid untuk mengerjakan solat sunat hari raya.”

Walaupun Ramadan sudah berlalu, jagalah hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah, serta tidak melupakan nasib orang yang kurang berkemampuan dengan memberikan bantuan supaya mereka dapat sama-sama merayakan hari kemenangan selain meninggalkan keinsafan.

“Sambutlah hari raya dengan bertahmid, mengeratkan silaturahim, menjaga aurat dan batas pergaulan, serta melakukan puasa sunat enam Syawal. Syawal menjadi nilai tambah untuk meneruskan amalan yang baik selepas Ramadan,” katanya.

Ahli panel kedua, iaitu Encik Mohamad Alif Fitri Abdul Halim pula menyeru umat Islam untuk sama-sama meniupkan roh perjuangan, di samping banyak membaca buku yang berbentuk sirah Rasulullah SAW, mengerjakan umrah serta menziarahi tempat kesan peninggalan sirah Rasulullah SAW untuk menghayati semangat perjuangan Baginda.

 

Pengalaman beliau, banyak menjejak sejarah yang masih belum diterokai oleh umat Islam termasuklah kegemilangan empayar kerajaan Sultan Muhammad al-Fateh yang mampu membangkitkan semangat perjuangan Islam.

“Bulan Syawal merupakan bulan perjuangan yang banyak menyorot sirah Rasulullah termasuklah siri peristiwa perang yag berlaku pada bulan Ramadan seperti Perang Khandak, Ahzab, Tabuk, Hunaian dan Perang Taif,” katanya.

Bahkan menurutnya, setiap peperangan yang berlaku meninggalkan kesan pengajaran yang besar terhadap umat Islam, antaranya mengajar umat Islam tentang pengkhianatan yang dilakukan oleh puak Yahudi, tidak mudah alpa dengan saranan Rasulullah SAW dan timbul idea strategi perang yang baharu yang membawa kemenangan kepada umat Islam.

“Inilah cabaran getir yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dalam bulan Syawal. Ibrah dapat diambil berdasarkan peristiwa tersebut dengan menghayati sirah perjuangan Rasulullah, menyemai minat, cinta, kasih dan mengenali Rasulullah SAW.

Selain itu, bacalah buku sirah Rasulullah SAW untuk penghayatan yang mendalam yang akhirnya akan menjelmakan inspirasi untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Rancangan Sembang Tamu ini dikendalikan oleh Puan Atiqah Hazman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.