5 April 2023, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejarah membuatkan kita bersangka baik dengan umat terdahulu, juga berwaspada dengan umat terkemudian. Orang yang hebat, akan menjunjung tinggi sejarah dan tradisinya. Dia juga sentiasa bersederhana dalam menilai budaya lain yang dirasakan jauh daripada tradisinya.

Ketika bulan Ramadan, banyak orang mengulas dari aspek hukum, fadilat dan pantang larangnya. Amat jarang sekali kupasan dibuat dari aspek tradisi sambutan Ramadan dalam masyarakat. Ada beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan supaya kita sedar bahawa ada sesetengah tradisi yang kita lakukan, bukanlah perkara yang baru diada-adakan, sebaliknya merupakan hasil kearifan ulama silam sama ada dalam dunia Islam secara umum mahupun di Nusantara secara khusus.

 

Tradisi mengejutkan orang untuk bersahur

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar dalam buku Fatawanya, apa-apa cara yang dibuat oleh orang Islam untuk mengejutkan orang bangun sahur dikira mendapat pahala kerana ada anjurannya daripada Nabi Muhammad SAW. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam Islam, terdapat dua azan pada waktu pagi. Satunya azan yang dilaungkan oleh Bilal r.a. untuk mengejutkan orang bangun sahur dan satu lagi azan daripada Abdullah ibn Ummi Maktum bagi menandakan masuk waktu solat Subuh. Azan Bilal ini merupakan sebahagian daripada contoh cara untuk mengiklankan atau menyeru orang lain untuk bangun sahur.

Pada sekitar tahun 238H, ketika Utbah bin Ishak, seorang gabenor pada zaman al-Muntasir Billah ke Mesir, beliau sendiri telah menghidupkan tradisi mengejutkan orang untuk bersahur dengan cara berjalan kaki dari kota Fustat ke Masjid Amru di kota lama Kaherah. Jarak antara kedua-duanya kira-kira dua kilometer. Di Mesir juga, ada kumpulan penggerak sahur yang digelar al-musahharati (tukang kejut sahur). Mereka memiliki lagu mereka sendiri yang disebut Fan al-Quma (seni mengejutkan tidur).

Cumanya, ketika penulis berada di Mesir dahulu, kebanyakan penggerak sahur ini tiada sebarang lagu. Mereka akan menunggang keldai dan memukul tong gas atau gendang sambil mengulang-ulang kalimah “sahur” sekuat-kuat hati. Kadang-kadang berselang seli dengan bunyi keldai mereka yang sangat membingitkan telinga. Apa-apa pun, semoga mereka beroleh ganjaran.

Di Makkah pula, pada zaman dahulu, ada seorang lelaki bergelar al-Zamzami yang akan mengelilingi bandar dengan kanak-kanak untuk mengajak orang bersahur. Mereka akan berjalan dengan pelita fannus atau tanglung Ramadan. Kemudian, mereka akan naik ke atas menara masjid di tempat azan sambil menyuruh kanak-kanak menjerit:

“يا نياما قوموا للسحور”

Wahai orang yang tidur, bangunlah untuk bersahur!

Di kota Baghdad pula, ada orang bernama Ibnu Nuqtah yang mempunyai satu tugas khas, iaitu sebagai tukang kejut sahur sultan. Tugasan ini kelihatan mudah. Akan tetapi, bagi penulis, mengejut sultan untuk bersahur merupakan tugas yang boleh dikatakan lebih bahaya daripada menyambung ekor beruang. Silap cara dan hari bulan, boleh hilang kepala daripada badan. Kesemua tradisi ini disebutkan oleh Syeikh Atiyyah Saqar dalam bukunya.

 

Sejarah pelita dan tanglung Ramadan

Pelita atau tanglung Ramadan digunakan sebagai petunjuk waktu sahur di sebahagian tempat di dunia.

Di sinilah dikatakan bermulanya tradisi tanglung Ramadan, iaitu pelita yang dibawa mengelilingi kampung dan diletakkan di tempat azan. Dikatakan, Ibn Battuta sendiri ketika dalam pelayarannya, melihat dua pelita di menara Makkah pada bulan Ramadan. Katanya:

“كانوا يعلقون قنديلين ليراهما من لم يسمع الاذان ليتسحروا”

Mereka menggantungkan dua pelita supaya orang yang tidak mendengar azan boleh nampak kedua-duanya untuk bersahur.

Pada hari ini, ada sesetengah orang menolak tradisi memasang pelita di rumah pada bulan Ramadan. Pada hakikatnya, apa-apa yang masyarakat kita amalkan ada sandarannya dalam sirah terdahulu. Apabila kita mengetahui hal sebegini membuatkan kita lebih menghargai tradisi dan budaya yang sedia ada serta tidak mudah-mudah menghukumkan sesat amalan yang kita tidak tahu. Di sinilah pentingnya ilmu, menjadikan kita lebih bersangka baik terhadap sesuatu perkara.

 

Sejarah meriam Ramadan

Syeikh Atiyyah Saqar juga pernah ditanya tentang asal usul tembakan meriam pada bulan Ramadan. Menurut beliau, tradisi membunyikan meriam ini berasal dari Kerajaan Mesir pada kurun ke-9 Hijrah. Seorang gabenor besar di Iskandariah bernama Khusqadam telah dihadiahkan sebuah meriam dan beliau telah mencubanya buat kali pertama ketika waktu maghrib 1 Ramadan.

Rakyat menyangka meriam itu dibunyikan bersempena dengan kedatangan Ramadan, lalu mereka datang ke istana untuk mengucapkan tahniah. Mereka menemui isteri gabenor, iaitu Hajah Fatimah dan mencadangkan agar dibunyikan meriam pada setiap hari Ramadan untuk menandakan waktu azan maghrib. Hajah Fatimah mengusulkannya kepada gabenor dan usul diterima. Meriam itu akhirnya dinamakan dengan nama Midfa’ (meriam) Hajah Fatimah bersempena dengan peristiwa tersebut.

Snouck Hugronje, seorang tokoh orientalis Belanda yang telah menziarahi Makkah pada zamannya memperakui bahawa tradisi menembak meriam ini juga ada di bumi Makkah ketika bulan Ramadan.

Tradisi menembak meriam pada bulan Ramadan wujud dalam sejarah sesetengah masyarakat Islam.

Di Malaysia pun kita amalkan tradisi bunyi meriam ini. Contohnya, pada setiap hari dalam bulan Ramadan, sebahagian daripada penduduk akan mendengar bunyi tembakan meriam di Bukit Puteri, Terengganu. Ketika zaman Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dahulu, sebelum tradisi meriam, mereka menggunakan genta atau loceng besar yang sekarang ini masih ada di atas Bukit Puteri. Begitu juga di tempat lain seperti di Bandar Diraja Pekan, Pahang.

 

Bilangan tembakan meriam di Bukit Puteri

Waktu Bilangan
Berbuka 1 kali
Sahur 2 kali
Pengisytiharan puasa 7 kali
Pengisytiharan raya 7 kali
Pagi raya 7 kali

Dr. Abdul Wahab Md. Ali ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Dungun, Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.