Oleh Nur Arif Jasmin
2 April 2023, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Autisme merupakan gangguan dalam perkembangan mental kanak-kanak yang menyebabkan mereka mengalami masalah pertuturan, komunikasi, interaksi sosial, pemikiran, perilaku emosi, tindakan berulang dan tingkah laku yang ganjil.

Anak autisme akan kelihatan berulang-ulang mengambil wuduk dan menunjukkan perilaku tidak normal apabila berada di tempat awam seperti di masjid, surau, dan pasar raya. Mereka tidak betah untuk duduk diam dan sangat kurang selesa dengan tempat yang tidak biasa dikunjungi berbanding ketika berada di rumah. Ada juga yang berwuduk beberapa kali sehingga kebasahan dan mengangkat takbir berkali-kali, menyebabkan makmum di sebelah turut terganggu.

Dalam hukum syarak, Muslim autisme termasuk dalam golongan al-‘atah, iaitu golongan yang sedikit kefahamannya, mempunyai pertuturan yang bercampur aduk dan pengurusan yang tidak efisien secara semula jadi. Hal ini dinyatakan berdasarkan laporan eksekutif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hasil penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Zuliza Mohd Kusrin dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka ini terlepas daripada bebanan taklif seperti solat dan sebagainya.

Sementara itu, ilmuwan Islam, iaitu Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya, Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh pada tahun 2009 menyatakan bahawa al-‘atah sebagai gangguan dalam otak yang menyebabkan seseorang tidak mampu berfikir dan mengurus sesuatu dengan baik seperti orang biasa yang lain. Menurut Dr. Abdul Karim juga,

Golongan al-‘atah terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama, tidak boleh membezakan antara baik dengan buruk, mereka ini hukumnya sama seperti orang tidak berakal, tidak diwajibkan solat dan ibadat lain ke atas mereka dan tidak sah juga apabila mereka menunaikannya. Adapun bagi golongan kedua, mereka ini masih boleh membezakan antara baik dengan buruk. Maka itu, hukum mereka sama seperti kanak-kanak yang mumaiyiz, tidak diwajibkan solat dan ibadat lain ke atas mereka, tetapi sah jika mereka menunaikannya.

Pada tahun 2019, seorang pensyarah syariah dari Universiti Jordan, iaitu Dr. Ibrahim Muhammad menyatakan bahawa autisme kategori berat termasuk dalam golongan tidak sempurna akal, manakala autisme kategori sederhana dan ringan termasuk dalam golongan kanak-kanak. Sungguhpun begitu, ibu bapa dan penjaga sangat digalakkan untuk mengajar anak autisme mengerjakan solat kerana solat yang dikerjakan adalah sah dan diterima.

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. 1423 dan Ahmad, no. 956).

Menyantuni anak autisme di masjid

Terdapat hadis sahih yang merakamkan peristiwa menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasullullah SAW terhadap umat manusia. Meskipun di dalam masjid, Baginda tetap menunjukkan suri teladan yang baik terhadap seorang tua Badwi yang membuang air kecil di dalam masjid. Sedangkan seperti kita ketahui, anak autisme bukanlah bertindak sedemikian di dalam masjid, cuma perilaku mereka tidak sama dengan orang lain.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, maksudnya, “Ketika kami berada di masjid bersama-sama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Sahabat Rasulullah menggertaknya, tetapi Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.’ Mereka (sahabat) membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Nabi Muhammad memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini secara asasnya menerangkan bab bersuci dan menjaga masjid daripada kekotoran, tetapi juga menunjukkan hikmah dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam usaha menyantuni orang yang kurang memahami situasi dalam sesuatu tempat, seperti juga anak autisme. Oleh itu, setiap pihak termasuk ibu bapa dan pihak masjid bertanggungjawab perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan kebajikan serta keperluan anak autisme dapat ditunaikan dengan amanah dan saksama.

Setiap masjid perlu mewujudkan persekitaran mesra autisme dengan menganjurkan ceramah atau program berkaitan dengan Islam dan autisme supaya ahli kariah masjid lebih cakna terhadap golongan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana paras rupa antara individu biasa dengan individu autisme nampak normal sama seperti orang lain tetapi berbeza dari segi tingkah laku.

Anak autisme seharusnya didekatkan dengan masjid kerana mereka juga berhak mendapatkan peluang untuk belajar agama mengikut kaedah tertentu.

Di Malaysia, satu daripada masjid yang boleh dijadikan sebagai contoh yang baik dalam menyantuni golongan autisme ialah Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya. Sejak tahun 2017, Masjid Kampung Tunku menubuhkan Kumpulan Anak Autisme Masjid (KAMI) Playgroup dalam usaha menyediakan ruang bagi kanak-kanak autisme melakukan aktiviti sekali gus membantu pemulihan golongan istimewa itu. Antara tujuan KAMI Playgroup ditubuhkan adalah untuk memberi layanan yang sama rata kepada semua anggota masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama.

Yang menariknya, KAMI Playgroup bukan sahaja mengalu-alukan anak-anak autisme yang beragama Islam malah turut menerima kedatangan pengunjung bukan Islam, yang datang mencari tempat yang selamat dan mesra autisme untuk anak mereka. Penyediaan ruang yang selamat dan selesa untuk anak autisme bermain di masjid tersebut secara tidak langsung meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi, kognitif, kematangan emosi serta keyakinan diri anak autisme dalam menangani situasi semasa.

Selain itu, ahli kariah boleh membantu individu autisme sekadar mampu, tetapi usahlah diherdik jika tidak dapat membantu kerana hal itu akan membuatkan mereka takut untuk ke masjid lagi sedangkan pada hakikatnya, masyarakat berperanan besar untuk mendekatkan anak autisme dengan masjid. Sebagai contoh, membantu mereka untuk mengambil wuduk sehingga selesai jika mereka tidak mampu berwuduk sendiri. Sikap dan layanan yang baik oleh ahli kariah akan membuatkan anak autisme berasa selesa dan gemar untuk datang ke masjid.

Pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah membawa anak autisme supaya mendekati masjid, bukan menjauhkan apatah lagi menyisihkan mereka. Meskipum autisme mengalami gangguan neurologi sepanjang hayat, mereka perlu dididik supaya dekat dengan Allah SWT sebagai terapi untuk diri mereka sendiri. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam bukunya, Fiqh Ibadat Orang Kelainan Upaya yang diterbitkan pada 2015 mengatakan bahawa berdasarkan kajian Pusat Penyelidikan al-Quran, Universiti Malaya, dengan kerjasama Yayasan FAQEH, setiap anak istimewa mempunyai bakat dan ketentuan tertentu dan mereka juga berhak untuk mendapatkan peluang dan ruang untuk belajar agama mengikut kaedah tertentu.

Bagaimanakah cara berinteraksi dengan individu autisme?

Individu autisme mengalami masalah pertuturan, komunikasi, interaksi sosial, pemikiran, perilaku emosi, tindakan berulang dan tingkah laku yang ganjil.

Terdapat juga beberapa lagi hadis yang boleh dijadikan panduan bagi melayani atau berinteraksi dengan golongan autisme, seperti perintah Rasulullah SAW supaya selalu berkata baik atau diam. Anak autisme pada kebiasaannya dikaitkan dengan ekolalia, iaitu pengulangan akhir suku kata yang didengar. Sebagai contoh, jika seseorang itu bercakap kepada anak autisme seperti, “Ali, tolong kemas baju”, lalu Ali akan mengajuk dan mengulangi perkataan baju berkali-kali. Berdasarkan simptom ini, dapat difahami bahawa anak autisme akan mengulangi perkataan yang didengari mereka tanpa memahami makna sebenar penggunaan perkataan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Barang siapa yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, orang sekeliling perlu sentiasa cakna dengan bercakap perkataan yang baik atau berzikir supaya dapat diikuti oleh individu autisme. Jika seseorang menyebut perkataan yang buruk, anak autisme akan mengikut tanpa mengetahui perbezaan antara baik dengan buruk itu. Hal ini dikatakan demikian kerana anak autisme tidak boleh membezakan antara perkataan baik dengan buruk secara semula jadi. Mereka boleh dilatih dan diajar untuk tidak bercakap buruk, tetapi mereka tidak memahami sepenuhnya bahawa perkataan itu buruk melainkan mereka hanya memahaminya kerana ada orang yang mengajar supaya tidak menyebutnya.

Sikap anak autisme yang tegar dan mempunyai minat yang terhad menyebabkan mereka tidak mampu untuk bersosial seperti orang lain. Adapun jika mereka bercampur dengan orang, tingkah laku mereka akan dilihat ganjil dan pelik serta tidak boleh diterima dalam norma masyarakat kerana cara anak autisme memproses maklumat tidak sama dengan orang normal yang lain hingga boleh menyebabkan salah sangka antara orang awam.

Sebagai contoh, sifat anak autisme yang lurus itu akan berkata apa-apa sahaja yang mereka lihat tanpa memikirkan perasaan orang lain atau keadaan sekeliling. Pada akhirnya, mereka akan lebih selesa mengasingkan diri kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang lain.

Masyarakat perlu menerima individu autisme seadanya dan tidak menghukum atau memarahi mereka kerana mereka tidak ada niat dalam setiap tindak-tanduk mereka. Jika menegur dan menasihat, ikutlah cara Rasulullah SAW yang penuh lembut dan santun.

 

Kredit foto: Canva

SELAMAT HARI AUTISME SEDUNIA

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.