Oleh Syaza Wardina
22 Mac 2023, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengekalkan bayaran zakat fitrah di negeri ini dengan kadar RM7.

Dalam satu kenyataan, MAIPs menjelaskan kadar tersebut diperkenankan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah mendapat nasihat daripada Persidangan Mesyuarat MAIPs yang memperakukan Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berdasarkan harga beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat melancarkan kadar zakat fitrah Pelis di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri, hari ini.

“Selain bayaran tunai melalui amil MAIPs, umat Islam yang ingin menunaikan zakat fitrah dengan beras, boleh mengeluarkannya sebanyak satu gantang Nabawi bagi setiap seorang yang bersamaan dengan berat 2.6 kilogram,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs, yang berkenan berangkat melancarkan kadar berkenaan di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa setiap orang Islam yang tinggal di Perlis wajib mengeluarkan fitrah sepertimana yang ditetapkan bagi dirinya, anak, isteri, serta setiap tanggungannya.

“Umat Islam boleh mengeluarkan zakat fitrah melalui amil kariah di seluruh negeri Perlis atau secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs,” jelas beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.