Oleh Firdaus Mul
16 Mac 2023, 22:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Model wakaf yang ada di Malaysia merupakan model tersendiri dan cukup baik, hatta model yang dilakukan mengikut acuan tempatan.

Dr. Haji Razali Othman

Hal ini ditegaskan oleh Mantan Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Majlis Profesor Negara, Dr. Haji Razali Othman, dalam siri rancangan “Pemikir Negara: Sistem Wakaf Bantu Pembangunan Ekonomi Negara” anjuran Bernama TV, baru-baru ini.

“Sebagai contoh, kita ada Wakaf Siti Aisyah di Pulau Pinang, Wakaf Menara Bank Islam, Wakaf Hotel dan sebagainya yang kita acuankan mengikut nilai-nilai tempatan,” jelas beliau.

Menurut Dr. Haji Razali juga, penting untuk difahami bahawa dalam konteks wakaf, mana-mana pihak tidak boleh membandingkan antara sesuatu wakaf dengan wakaf yang lain kerana pelaksanaan wakaf tersebut bergantung pada negara, pemerintah dan mazhab yang diamalkan di negara tersebut.

Sementara itu, beliau menjelaskan terdapat pelbagai platform yang boleh digunakan oleh masyarakat umum untuk berwakaf.

Katanya, “Di Malaysia kita telah jauh ke hadapan dalam konteks untuk memudahkan masyarakat menyertai aktivti-aktiviti berwakaf.”

“Pada hemat saya, untuk waktu ini, tumpuan wakaf harus diberikan di peringkat domestik atau peringkat dalam negara kerana di dalam negara kita masih lagi mempunyai masyarakat atau orang yang memerlukan bantuan,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa wakaf perlu dikembangkan dengan memerlukan kepakaran daripada universiti, korporat, syarikat bukan kerajaan dan sebagainya bagi mengkoordinasikan wakaf demi memperoleh pulangan yang besar dalam pelaburan.

“Wakaf di Malaysia belum lagi menjadi satu ekosistem. Kita dalam usaha memastikan supaya kefahaman wakaf dalam keseluruhan elemen; ataupun golongan yang terlibat dapat kita tingkatkan, supaya senang untuk kita uruskan nanti,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.