10 Mac 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wanita Tunjang Pembangunan Ummah

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan apabila seseorang daripada mereka diberikan khabar berita tentang (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya (kerana menanggung dukacita) dan dia menahan marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai (berasa malu) disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan, sambil dia berfikir), adakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa-apa yang ditetapkan oleh mereka itu.” (Surah al-Nahl 16:58-59).

Begitu hinanya kedudukan wanita ketika zaman jahiliah, dan demikian penindasan yang dilalui oleh wanita sebelum kedatangan Islam. Islam ialah agama rahmat li al-‘alamin, membawa maksud kedamaian, keamanan dan perlindungan. Oleh itu, sejak kedatangan Islam, wanita telah dimuliakan dan darjat mereka diangkat. Pengiktirafan Islam terhadap wanita tertera berdasarkan satu daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan Surah al-Nisa’, iaitu surah berkaitan dengan wanita.

Saban tahun, tarikh 8 Mac disambut sebagai Hari Wanita Sedunia. Hari Wanita merupakan hari menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh wanita. Sejarah Hari Wanita Sedunia bermula pada 28 Februari 1908, dengan perarakan 15 ribu orang wanita di kota raya New York, bertujuan untuk menuntut tiga perkara utama:

Pertama: Taraf wanita sebagai pekerja dan warganegara.

Kedua: Waktu bekerja yang lebih singkat.

Ketiga: Hak wanita boleh mengundi.

Amerika Syarikat hari ini dipandang sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin. Meskipun Amerika Syarikat memperkenalkan sistem pilihan raya memilih presiden pada tahun 1788, namun wanita hanya diberikan hak mengundi yang setaraf dengan lelaki pada tahun 1920, iaitu 132 tahun selepas pilihan raya diperkenalkan. Begitu juga negara Inggeris yang memperkenalkan pilihan raya pada tahun 1695, namun wanita hanya mendapat hak mengundi yang setaraf dengan lelaki pada tahun 1928, iaitu 233 tahun selepas pilihan raya diperkenalkan. Di Perancis, wanita hanya mendapat hak mengundi yang sama pada tahun 1944, iaitu 153 tahun selepas pilihan raya diperkenalkan; dan Greece yang memperkenalkan pilihan raya pada tahun 1843, tetapi wanita di negara tersebut hanya mendapat hak mengundi 109 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1952. Alhamdulillah di negara kita, hak wanita untuk mengundi tidak dinafikan sebaik pilihan raya umum pertama diperkenalkan pada tahun 1955.

Lazimnya, di sisi kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang berperanan sebagai tunjangnya. Sayidatina Khadijah telah mengamanahkan kepercayaan dan membina keyakinan Nabi Muhammad SAW sehingga menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Ketika Baginda menggigil ketakutan, susulan pertemuan pertama dengan Malaikat Jibril a.s., Sayidatina Khadijah memberikan Baginda ketenangan, selanjutnya mengukuhkan pegangan Baginda untuk menyebarkan ajaran Islam dengan menjadi penganut pertama ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Sayidatina Fatimah al-Zahra, Sayidatina Aisyah binti Abu Bakar dan Sayidatina Hafsah binti Umar adalah antara wanita yang tercatat dalam sejarah, berperanan penting pada era Islam mula diperkenal dan dikembangkan. Di serata dunia, wanita tercatat dalam sejarah berperanan besar membantu pelbagai usaha membangunkan ummah. Universiti pertama dan tertua di dunia, iaitu Universiti al-Qarawiyyin di Morocco telah diasaskan penubuhannya melalui cetusan pemikiran seorang wanita yang berwawasan jauh bernama Fatimah al-Fihri.

Disebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang berperanan sebagai tunjangnya.

Wanita merupakan 47.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 32.4 juta orang penduduk di Malaysia, meletakkan nisbah jantina bagi penduduk Malaysia, 110 orang lelaki berbanding 100 wanita. Namun begitu, wanita semakin berpengaruh dan semakin ketara peranannya. Dilaporkan bahawa pelajar wanita di sekolah dan di universiti semakin menunjukkan pencapaian peperiksaan yang lebih cemerlang daripada pencapaian pelajar lelaki, malah bilangan pelajar perempuan semakin banyak di universiti berbanding dengan pelajar lelaki. Wanita semakin diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih besar dan penting dalam perkhidmatan awam, sektor swasta, akademik, badan beruniform, perkhidmatan guaman dan kehakiman dan bidang politik; begitu juga dalam bidang profesional sebagai saintis, jurutera, jurubina, juruterbang dan doktor. Terkini, beberapa orang wanita muda Islam di negara kita mencatatkan kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa; antaranya:

Pertama: Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim, iaitu rakyat Malaysia pertama yang melancarkan pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) ke angkasa lepas.

Kedua: Dr. Amalina Che Bakri secara nekad telah membawa bayi berusia sembilan bulan, Ainul Mardhiah ke Hospital Kanak-kanak London pada tahun 2019 untuk menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di bahagian mulut.

Ketiga: Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, pasangan adik-beradik yang dikenali dengan kerja-kerja amal misi kemanusiaan di dalam dan di luar negara, mereka turun ke lapangan, memberanikan diri berada di kawasan pertempuran peperangan untuk menghulurkan bantuan di Syria dan Gaza. Semangat srikandi wanita sejati yang mereka jiwai, sewajarnya menjadi contoh teladan.

Islam meletakkan wanita sebagai makhluk yang mulia. Allah SWT menciptakan wanita berserta keindahannya dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Keindahan itu bukan hanya dinilai secara zahir, tetapi juga secara hati dan fikiran. Selayaknya keindahan itu haruslah dijaga dengan baik. Sesungguhnya wanita dicipta oleh Allah SWT dengan memiliki banyak keistimewaan. Berikut disenaraikan empat keistimewaan yang dimiliki oleh wanita:

Pertama: Wanita memiliki kudrat untuk mengandung janin di dalam rahimnya, mempunyai kekuatan menanggung berat kandungan selama lebih sembilan bulan sehingga dilahirkan bayi, dan memiliki kecekalan mengalami sakit pada saat melahirkan bayi.

Kedua: Sebaik bayi dilahirkan, tubuh wanita dilengkapi dengan susu untuk menjadi sumber makanan bayi.

Ketiga: Sifat keibuan yang tinggi; sesibuk dan sepenat mana pun seorang wanita, tanggungjawab sebagai ibu tetap diutamakan dan tidak pernah disisihkan, untuk mengasuh dan membesarkan anak-anak dengan limpahan kasih sayang yang tidak mengenal hujung.

Keempat: Memiliki sifat sabar yang tinggi dan sedia berkorban untuk kebahagiaan suami, anak-anak dan keluarga.

Sesibuk dan sepenat mana pun seorang wanita, tanggungjawab sebagai ibu tetap diutamakan.

Para suami diseru menunjukkan simpati dan ihsan dengan meringankan beban kerja isteri di rumah. Begitu juga dengan anak-anak, hendaklah menunjukkan kasih sayang terhadap ibu dengan membantu melakukan kerja rumah, bermula dengan membasuh sebiji pinggan dan sebutir cawan, menyidai kain di ampaian atau memasukkan kain ke dalam mesin basuhan, membersihkan bilik air sambil mandi dan membersihkan rumah di hujung minggu, agar beban tanggungjawab isteri dan ibu dapat diringankan, membolehkan mereka mempunyai lebih masa untuk berehat.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Banyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jadikan wanita kami dalam kalangan hamba-Mu yang beriman, seterusnya melahirkan generasi yang terbaik. Bimbing kami mendidik anak-anak perempuan kami menjadi insan yang berguna untuk masyarakat dan permata buat negara.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 10 Mac 2023 bertajuk “Wanita Tunjang Pembangunan Ummah”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.