7 Mac 2023, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berangkat mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-69  bertitah, MKI membuka satu lembaran baharu dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia.

Dalam titahnya, baginda telah memperkenankan pengenalan peraturan baharu, iaitu Peraturan MKI 2022 sebagai usaha menambah baik dan memperjelas garis panduan berkenaan struktur dan keanggotaan MKI.

Hal ini susulan persetujuan Majlis Raja-Raja yang menzahirkan persetujuan memperkasakan semula peranan MKI sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab menasihatkan raja-raja Melayu dalam usaha menambah baik tadbir urus agama Islam pada peringkat Persekutuan.

“Usaha ini amat penting agar MKI mampu mengimbangi antara kuasa, hak dan peranan raja-raja Melayu dalam hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan serta menjaga hubungan baik dengan negeri-negeri selain memenuhi aspirasi umat Islam di Malaysia, terutamanya berkaitan dengan dasar bidang pengurusan, perundangan, pendidikan dan penyelarasan fatwa,” titah baginda semasa mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-69 semalam.

Baginda turut bertitah bahawa MKI juga berperanan memastikan peranan utama mentadbir institusi agama Islam diserahkan kepada golongan ulama dan profesional yang bebas daripada sebarang pengaruh parti politik, dan mampu melaksanakan tanggungjawab selari dengan tuntutan al-Quran dan sunah.

MKI juga diberikan mandat menubuhkan empat jawatankuasa untuk mengurus perkara berkaitan dengan fungsinya, dengan jawatankuasa pertama ialah Jawatankuasa Muzakarah MKI yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan; dianggotai mufti-mufti dan ulama seluruh negara. Kedua ialah Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan (dahulu dikenali Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI)) yang dianggotai wakil negeri masing-masing yang dilantik raja negeri itu.

Ketiga, Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan yang dianggotai wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan raja negeri itu, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, manakala keempat ialah Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan yang dianggotai ahli yang dilantik Majlis Raja-Raja yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang syarak dan juga undang-undang sivil.

“Selaras dengan pengenalan Peraturan baharu MKI 2022 itu juga,  Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) julung kalinya dilantik sebagai Setiausaha kepada MKI, manakala JAKIM pula secara rasmi bertindak sebagai urus setia kepada MKI,” tambah baginda.

Baginda turut berkenan melantik pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli bagi empat jawatankuasa itu setelah mendapatkan pandangan daripada pihak berkaitan bagi memastikan mereka yang dilantik terdiri dalam kalangan mereka berwibawa dan mempunyai kepakaran masing-masing.

Baginda juga meminta semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa raja-raja Melayu dan yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara raja-raja pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas Perlembagaan.

(Sumber: Facebook Selangor Royal Office)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.