Oleh Firdaus Mul
1 Mac 2023, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu islamofobia yang melanda global telah lama bertapak dan sering ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya di negara Barat. Yang lebih memilukan, isu ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya tindakan diskriminasi terhadap orang Islam di negara Barat, lebih-lebih lagi yang menjadi penduduk minoriti di sesebuah negara.

Menyentuh perihal isu islamofobia, baru-baru ini dalam rancangan “Malaysia Petang Ini” anjuran Bernama TV menampilkan Dr. Ahmad El Muhammady yang juga merupakan Pakar Antikeganasan dan Penolong Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), bagi membicarakan topik “Bersatu Hati Bendung Prejudis Islamofobia”.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan mengupas agenda Malaysia Madani yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi isu islamofobia yang berlaku di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Beliau berkata, dalam ucapan YAB Dato’ Seri Anwar pada Persidangan Antarabangsa baru-baru ini memberikan satu hala tuju dan kerangka yang menggunakan pendekatan wacana “madani” untuk mendepani isu islamofobia dan ekstremisme.

Tegas beliau lagi,

Saya yakin bahawa pendekatan ataupun wacana madani ini boleh dijadikan sebagai instrumen ataupun pendekatan yang ampuh untuk mendepani islamofobia, ekstremisme dan radikalisasi yang berlaku di negara kita. Jika dilihat, konsep islamofobia merupakan persepsi yang salah tentang agama Islam, tentang umat Islam atau tentang apa-apa sahaja yang berkenaan dengan Islam. Oleh itu, mereka berasa takut dan risau apabila elemen tersebut ada dalam masyarakat. Persepsi ini merupakan persepsi yang dibina bukan berdasarkan fakta dan realiti.

Islamofobia ialah idea yang salah, jadi untuk melawan idea yang salah itu, kita perlu ada satu idea untuk menunjukkan bahawa itu bukan idea yang sebenarnya, yang sebenarnya ialah begini, iaitu konsep madani. Ini menjadi satu pendekatan yang boleh kita gunakan untuk menunjukkan bahawa persepsi yang ada dalam minda mereka itu tidak sebagaimana yang mereka fikirkan.

Dr. Ahmad melanjutkan lagi ruang bicaranya dengan mengupas perihal ketokohan dan karisma yang dimiliki oleh YAB Dato’ Seri Anwar berupaya memperjuangkan nasib ummah khususnya dalam memerangi isu islamofobia. Menurut beliau, YAB Perdana Menteri mempunyai satu kekuatan yang unik sama ada di peringkat negara ataupun antarabangsa. Sebagaimana ujar beliau, “Kalau kita lihat dari segi rangkaian yang dimiliki oleh Dato’ Seri Anwar, saya fikir amat luas. Perkara ini berlaku dalam kalangan negara Islam di Asia Barat, Afrika dan termasuk juga di negara Barat. Hubungan ini terbina sejak awal, sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan selepas itu hubungan tersebut dikekalkan hingga hari ini. Beliau mempunyai satu pengalaman pengalaman yang disebut humbling experience untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan di peringkat antarabangsa. Saya percaya, beliau boleh melakukannya, dan saya rasa kita sebagai rakyat perlu memberikan sokongan dan taat kepada pemipin.”

Pada akhir temu bual, Dr. Ahmad sempat mengutarakan cadangan dan harapan dalam usaha memerangi islamofobia. Beliau berkata, negara Islam di dunia perlu mempunyai suara yang jelas tentang isu islamofobia. Hal ini membawa maksud apabila berlakunya sesuatu insiden yang melibatkan agama dan umat Islam, mereka perlu bersatu padu dan menjelaskan kedudukan mereka dalam isu berkenaan. Kerjasama antara negara Islam untuk memerangi dan mendepani Isu islamofobia seharusnya wujud dan pada masa yang sama mewujudkan jalinan dengan negara Barat, hatta perlu berkongsi pengalaman bagaimana mereka boleh mengurus isu bersifat perkauman ini.

“Mungkin mereka boleh belajar daripada negara ini kerana Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Mereka mungkin tidak boleh mempelajarinya daripada negara Arab kerana negara Arab mempunyai penduduk yang majoritinya satu kaum sahaja. Malaysia mempunyai posisi strategik yang boleh digunakan untuk berkongsi pengalaman mengurus isu islamofobia, eksterimisme, radikalisasi dan sebagainya,” jelas Dr. Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.