Oleh Firdaus Mul
26 Februari 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengharaman riba disebut oleh para ulama sebagai antara pengharaman yang paling tegas dan jelas kerana Allah SWT mengisytiharkan perang bagi sesiapa yang terlibat dalam amalan tersebut. Imam Malik berkata, “Apabila aku membaca al-Quran, maka aku tidak mendapati satu larangan yang lebih dahsyat dan tegas daripada larangan riba kerana Allah mengisytiharkan perang.”

Demikian dijelaskan oleh Dr. Abdullaah Jalil yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini dalam rancangan “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV bagi membicarakan topik “Riba: Deklarasi Perang pada Yang Maha Kuasa”.

Tegas beliau, riba merupakan satu dosa besar yang mudaratnya melibatkan banyak pihak. Sebagai contoh, seseorang yang ingin mencipta produk, tetapi tidak mempunyai modal. Oleh itu, ada pihak memberikan modal dan mengenakan riba. Dari segi perakaunan, hal tersebut sudah menjadi financial cross. Kemudian financial cross tersebut akan dimasukkan dalam harga, dan harga ini akan dikenakan kepada semua orang. Sedangkan financial cross atau riba di situ dipanggil keuntungan yang sebenarnya tidak layak dan tidak berhak kerana semata-mata berdasarkan masa yang berlalu. Jelas beliau lagi,

Katakanlah kita membiarkan duit sebanyak RM100 di atas almari selama setahun. Selepas setahun, adakah duit itu akan bertambah? Tidak bertambah. Jadi, masa semata-mata tidak akan menambah sebarang produktiviti ataupun memberikan sebarang nilai tambah. Akan tetapi, masa diperlukan untuk nilai tambah, oleh sebab itu orang yang memberi pinjam secara berhutang, maka Allah SWT akan memberikan pahala. Namun begitu, masa tersebut tidak boleh dijadikan caj harta. Jika hendak dijadikan caj harta, perlu melakukan akad jual beli atau sewa-menyewa yang melibatkan manfaat, kekayaan dan risiko sebenar.

Pada masa yang sama, beliau turut mengupas perihal perbezaan antara riba dengan kaedah Islam dalam dunia perbankan. Beliau berkata,

Sebahagian orang agak keliru kerana dalam industri perbankan ini, terdapat perkara yang agak teknikal. Kita tidak dapat nafikan bahawa perbankan Islam pada masa ini juga berkembang atas kerangka perbankan, iaitu menggunakan konsep penciptaan kredit (credit creation), penciptaan wang (money creation) dan perbankan rizab sebahagian (fractional reserve banking). Cuma kaedah bank konvensional melakukan penciptaan kredit dan untung (create credit and profit) adalah melalui kontrak pinjam-meminjam yang ada caj riba.

“Dilaporkan Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai sistem perbankan Islam yang paling baik. Kita mempunyai jawatankuasa syariah pada peringkat bank negara dan peringkat perbankan. Setiap transaksi yang dilakukan wajib dinilai dan diaudit. Apabila didapati terdapat ketidakpatuhan syariah, maka kita akan membuat keputusan untuk membersihkan pendapatan yang tidak patuh syariah tersebut,” ujar beliau lagi.

Pada akhir temu bual, beliau sempat menjelaskan berkenaan dengan kaedah membersihkan harta daripada riba. Menurutnya, untuk bertaubat daripada dosa riba, sebaik-baiknya caj yang diambil dipulangkan kembali kepada pihak yang terlibat. Akan tetapi, jika pihak yang terlibat itu merupakan institusi riba, maka salurkanlah kepada baitulmal atau agihkan sendiri ke tempat sedekah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.