Oleh Syaza Wardina
25 Februari 2023, 08:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kerajaan telah menyediakan peruntukan berkaitan dengan hal ehwal Islam berjumlah 1.5 bilion ringgit dan kita mahu institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.” Hal yang demikian disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, petang semalam.

YAB Perdana Menteri ketika berucap membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

“Pengurusan paling cekap harus dimulakan di sini, dan gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam,” ujar beliau.

Dengan tema “Membangun Malaysia Madani”, Belanjawan 2023 menyediakan peruntukan khusus bagi menghargai jasa dan keringat imam, bilal, guru serta pihak yang berperanan besar dalam mengimarahkan fungsi masjid. Peruntukan tersebut dinyatakan di bawah “Ikhtiar 11: Menjamin Keharmonian dan Perpaduan” yang memfokuskan keadilan sosial dan menyederhanakan kesenjangan, seperti yang berikut:

  • Menaikkan elaun bagi 35 ribu orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1100 dengan peruntukan tambahan sebanyak lebih RM40 juta; dan
  • Memberikan sumbangan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Sebanyak 70 ribu orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan sebanyak lebih RM40 juta.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta yang akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20 ribu naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia. Hal ini seiring dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 27 Januari 2023 yang lalu, apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskhah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.

 

Foto: Parlimen Malaysia/Ihsan RTM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.