Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan baik; dan dibesarkannya dengan didikan yang baik serta diserahkannya kepada Zakaria untuk dipelihara.”
(Surah Ali ‘Imran 3:37).
Sudah berlalunya seminggu daripada cuti penggal akhir persekolahan yang akan berakhir pada 19 Mac 2023. Tempoh cuti selama satu bulan tidak ke sekolah merupakan tempoh yang lama. Anak yang pada kebiasaannya berada di bilik darjah di bawah pengawasan guru, serta diberikan pelbagai kerja sekolah dan kerja rumah, tiba-tiba berada bersendirian, memiliki masa lapang yang banyak. Anak yang kedua-dua ibu bapa atau penjaganya bekerja, akan tinggal bersendirian; atau sesama adik-beradik, yang paling tinggi diawasi oleh kakak atau abang yang lebih tua sedikit atau pembantu rumah. Dalam keadaan demikian, anak akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan juga menghadapi pelbagai risiko ancaman dan bahaya.
Oleh itu, ibu bapa atau penjaga hendaklah memikirkan dan merancang kegiatan yang berfaedah untuk mengisi masa anak ketika melalui cuti yang panjang. Sepanjang musim cuti sekolah, masa lapang anak sebaik-baiknya diisi dengan kegiatan bermanfaat yang berupaya membina minda, jasmani dan sahsiah yang sihat, pada masa anak mengecap kegembiraan dan nikmat cuti.
Ayat 37 Surah Ali ‘Imran menceritakan perihal Maryam yang dibesarkan dengan didikan dan asuhan ibu bapanya, kemudiannya dipelihara oleh Nabi Zakaria a.s. Sebagai natijahnya, Maryam menjadi seorang perempuan yang taat kepada Tuhannya serta bijak lagi berakhlak mulia. Daripada Maryam pula lahirnya seorang anak yang merupakan antara sebaik-baik manusia, iaitu Nabi Isa a.s., yang diangkat sebagai rasul. Begitulah kaedah pendidikan yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa yang soleh.
Anak tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia. Anak ialah anugerah Ilahi, melalui hubungan kasih sayang ibu dan bapa. Mendidik anak ialah amanah yang wajib disempurnakan oleh ibu bapa. Jangan menyandarkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru di sekolah atau pengasuh di rumah. Anak lebih perlu mendapat sentuhan asuhan dan bimbingan ibu bapa, terutamanya dalam urusan membina kekuatan iman, rohani, emosi dan jasmani. Watak dan keperibadian anak amat dipengaruhi oleh contoh teladan dan hubungan yang terjalin antara ibu bapa dengan anak, bermula dari saat mereka dilahirkan sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud,
Tidaklah setiap anak itu kecuali dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.
(Hadis riwayat al-Bukhari).
Anak perlu difahamkan bahawa cuti sekolah tidak bermakna mereka berhenti daripada terus mengamalkan budaya belajar dan memisahkan diri dengan dunia ilmu. Anak perlu dibimbing untuk terus berminat kepada alam pengetahuan. Alam pengetahuan itu lebih luas daripada bilik darjah di sekolah. Cuti sekolah tidak seharusnya menjadi permulaan untuk anak mengamalkan budaya tidak sihat, seperti tidur dan bangun lewat, melepak dan berpelesiran hingga awal pagi, menjelajah tempat hiburan yang kurang sihat sehingga terdedah kepada kegiatan yang tidak bermoral, dadah dan jenayah. Cuti sekolah tidak seharusnya menjadi punca anak hilang minat belajar dan selepas ini bersikap malas untuk hadir ke sekolah. Anak harus dijadualkan dengan kegiatan yang membuatkan mereka berasa rindu untuk kembali ke sekolah.
Kegiatan yang dirancang mestilah sentiasa mempunyai ciri mendidik. Kegiatan yang berikut boleh meningkatkan minat dan tidak memadamkan kecenderungan anak untuk belajar dan kembali ke sekolah.
Anak juga hendaklah diperkenalkan dan dididik dengan tanggungjawab terhadap rumah seperti membersihkan rumah, peralatan rumah, laman dan kenderaan. Juga semasa cuti, anak dibimbing mengenali tugasan ringan seperti membersihkan barangan yang dibeli dari pasar, menanak nasi, menyediakan minuman, menghidangkan makanan, membasuh pakaian ringan atau pakaian dalam, menyidai dan melipat kain.
Di samping itu, masa lapang anak sebaik-baiknya digunakan untuk memperkukuh diri anak dengan perkara berikut:
Ketika mendidik dan mengasuh anak, ibu bapa hendaklah menjadi sebaik-baik contoh teladan. Bimbinglah anak dengan ihsan dan belaian kasih sayang. Belajar menjadi pendengar yang sabar untuk memahami keperluan anak. Ibu bapa hendaklah meletakkan diri mereka sebagai insan yang paling dipercayai oleh anak.
Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbinglah kami dalam urusan mendidik dan mengasuh anak-anak. Jadikan mereka penyejuk mata bagi kami dan asbab kami dipermudah jalan ke syurga-Mu. Lindungi anak-anak kami daripada terpengaruh dengan godaan iblis dan syaitan.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhkan negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 24 Februari 2023, bertajuk “Cuti Sekolah: Manfaatkannya dengan Pengisian Berfaedah”)