5 April 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-qadr (iaitu malam kemuliaan dan kebesaran). Tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr  97:1-3)

Ayat 1 hingga ayat 3 Surah al-Qadr menjelaskan tentang kemuliaan dan kelebihan malam al-qadr.  Amal ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia ini lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dilakukan pada seribu bulan yang lain. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membanyakkan amal ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana mengharapkan amalan Baginda, bertepatan dengan malam al-qadr yang berlaku pada satu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari malam al-qadr, maka carilah pada sepuluh malam terakhir yang ganjil.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Kesimpulannya, sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Aisyah r.a. meriwayatkan perlakuan Nabi Muhammad SAW apabila datangnya 10 hari terakhir Ramadan:

 

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW apabila masuk hari 10 terakhir Ramadan, Baginda mengetatkan kain (tidak menggauli isteri), menghidupkan malam tersebut, dan mengejutkan ahli keluarga (untuk turut menghidupkan malam).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, marilah kita bersungguh-sungguh memanfaatkan Ramadan yang masih berbaki ini dengan meningkatkan amal ibadat. Andai ditakdirkan Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir bagi kita, maka alangkah ruginya jika kita mensia-siakan peluang untuk mendapat ihsan keampunan Ilahi. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Amat rugilah orang yang memasuki bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu, sedangkan dia tidak mendapat pengampunan Allah.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Umat Islam digalakkan meningkatkan amal ibadat sunat sepanjang 10 terakhir Ramadan.

Selain meningkatkan amalan sunat, umat Islam diingatkan juga agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah ialah zakat yang diwajibkan ke atas diri setiap Muslim mengikut syarat yang ditetapkan. Bagi mengelakkan terjatuhnya hukum haram, kerana melangkau tempoh waktu wajib menunaikan zakat fitrah, umat Islam hendaklah menyegerakan pembayaran zakat fitrah agar dapat melancarkan urusan agihan untuk memenuhi keperluan golongan fakir miskin supaya mereka berpeluang membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Demi mendapat pahala dan keberkatan berganda daripada Allah SWT, afdal untuk membayar zakat harta pada bulan Ramadan, jika sudah sampai tempoh wajib membayarnya.

Kebanyakan umat Islam pada ketika ini telah membuat pelbagai persiapan, antaranya termasuklah membeli pakaian baharu, menyediakan pelbagai juadah istimewa, menggantikan langsir dan perabot, dan merancang perjalanan balik ke kampung. Persiapan menyambut hari lebaran mestilah dalam semangat berpandukan syariat, dibuat secara sederhana, dan paling utama menjauhi pembaziran. Jauhi diri daripada berniat untuk bermegah-megah, bersifat riak mahu menunjukkan kelebihan diri mengatasi insan lain, sama ada ketika berpakaian baharu, menghidangkan juadah istimewa, ataupun menghiasi rumah dengan perabot dan langsir baharu.

Umat Islam dianjurkan supaya merancang penyediaan juadah berkhasiat untuk kebaikan dan kesihatan tubuh badan. Mereka dinasihatkan untuk beristiqamah menjaga adab dan kesopanan ketika memperagakan pakaian dan perhiasan diri dengan mengamalkan sifat bersyukur lagi merendah diri, mengamalkan sifat insani, insaf kepada golongan yang kurang berkemampuan, lalu berusaha untuk membantu meriangkan mereka dengan menghulurkan bantuan berbentuk pakaian, makanan dan wang ringgit menjelang Aidilfitri.

Syawal hendaklah disambut dengan memperteguh amalan sunah Aidilfitri. Bermula dengan takbir pada malam 1 Syawal, diiringi mandi sunat Aidilfitri pagi paginya, menyarungkan pakaian baharu bagi yang mampu, namun jika tidak mampu membeli pakaian baharu, memilih pakaian terbaik yang sedia dimiliki untuk memenuhi sunah berhias pada hari raya. Hindarilah perbuatan berlebih-lebihan membeli pakaian baharu sehingga menjurus kepada pembaziran dan mengabaikan keperluan yang lebih asas.

Umat Islam disunatkan memilih laluan berbeza semasa pergi ke masjid dan pulang dari masjid untuk bertemu lebih banyak jiran dan rakan taulan.

Umat Islam juga disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat Aidilfitri, disunatkan memilih laluan yang berbeza bagi perjalanan pergi ke masjid dan pulang dari masjid, bertujuan untuk bertemu lebih banyak jiran dan rakan taulan untuk bersilaturahim. Rancanglah amalan ziarah bagi memuliakan ibu bapa, mentua, saudara-saudara tua, adik beradik dan sanak saudara, serta menggembirakan hati mereka dengan pemberian sedekah dan hadiah.

Sebagai peringatan, umat Islam diberikan pesanan yang berikut:

Pertama: Meniti hari-hari akhir Ramadan dengan beristiqamah, menjaga ibadat fardu seperti solat lima waktu secara berjemaah di masjid, serta menggandakan pelbagai amalan sunat seperti bersolat sunat, beriktikaf, membaca al-Quran, dan berusaha mengkhatamkannya sebelum berakhirnya Ramadan.

Kedua: Memohon keampunan Ilahi, membanyakkan istighfar dengan rasa insaf atas segala dosa yang pernah kita lakukan, memohon agar Allah SWT menjauhkan kita daripada mengulangi melakukan dosa yang lalu.

Ketiga: Menzahirkan tanda syukur akan nikmat rezeki kurniaan Ilahi dengan menunaikan zakat, wakaf, infak dan sedekah yang akan menambah keberkatan ke atas diri dan harta. Tingkatkan sedekah untuk menggembirakan ahli keluarga dan jiran tetangga yang dalam kesusahan, anak-anak yatim serta fakir miskin. Penerima sedekah yang paling afdal adalah dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang amat memerlukan bantuan.

Keempat: Memandu di jalan raya secara berhemah, bersabar dan bertimbang rasa, demi keselamatan diri, penumpang  dan demikian juga keselamatan pengguna lain di jalan raya.

Kelima: Memantau, mengawasi, malah mencegah anak-anak daripada bermain bahan api untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 5 April 2024, bertajuk “Akhir Ramadan Direbut – Awal Syawal Disambut”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.