Oleh Suhaila Abdullah
23 Februari 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 6 Februari 2023, kejadian gempa bumi yang besar telah berlaku di Turkiye dan Syria, berukuran 7.8 skala Richter. Antara wilayah di Turkiye yang terlibat dalam kejadian gempa tersebut termasuklah Gaziantep, Sanliurfa, Kahramanmaras, Osmaniye, Malatya dan Diyarbakir. Sementara itu, di Syria pula, kawasan yang terlibat dilanda gempa bumi termasuklah bandar seperti Halab, Lattakia, Homs, Hama dan Tartus.

Dalam kejadian gempa bumi itu, ribuan nyawa terkorban dan cedera, begitu juga ribuan bangunan musnah dalam sekelip mata. Tidak kurang juga yang kehilangan ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga dan orang tersayang akibat daripada kejadian tersebut. Mangsa gempa bumi kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka runtuh dan musnah ditambah pula dengan ketibaan musim sejuk. Cuaca sejuk memberikan cabaran besar kepada mangsa kerana mereka tiada tempat berlindung, pemanas dan bekalan elektrik, apatah lagi bekalan makanan dan ubat-ubatan. Oleh hal yang demikian, ada mangsa yang mengalami trauma dan menerima kesan psikologi yang mendalam.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Orang yang mati syahid lima golongan, iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2829).

Berdasarkan hadis tersebut, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria dikategorikan dalam kalangan mati syahid akhirat. Di samping itu, mangsa gempa bumi yang masih hidup dan mengalami kecederaan, kehilangan ibu bapa atau ahli keluarga serta berdepan dengan kemusnahan harta benda juga pasti mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT sekiranya mereka bersabar dalam menerima ujian dan bermuhasabah diri, sentiasa memuji dan memohon ampun daripada-Nya.

Penduduk dunia bersatu hati memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Mendengar kejadian yang menimpa rakyat Turkiye dan Syria, banyak pihak dari seluruh dunia tampil untuk menghulurkan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan, khemah, pemanas, rawatan dan tempat tinggal sementara. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu jasad. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau berasakan demam.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2586).

Berdasarkan hadis ini, sebagai umat Islam, kita sudah pasti berasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi, apatah lagi insiden tersebut melibatkan negara umat Islam. Selain itu, ada juga pihak yang berusaha mendirikan solat jenazah untuk mangsa yang meninggal dunia dari kejauhan di negara masing-masing. Tindakan ini mempamerkan betapa eratnya kesatuan ummah antara umat Islam di seluruh dunia, malah bantuan dihulurkan kepada semua mangsa tanpa mengira agama dan bangsa.

Di samping itu, respons dan tindakan para sukarelawan dari seluruh penjuru dunia dan pelbagai negara, latar belakang agama dan bangsa yang turut sama berganding bahu  menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat turut memperlihatkan kesatuan  manusia atas dasar prihatin, kasih sayang dan perikemanusiaan.

 

Gempa bumi: Daripada al-Quran

Dalam kitab suci al-Quran al-Karim, terdapat beberapa ayat berkaitan dengan gempa bumi, antaranya termasuklah melalui firman Allah SWT yang bermaksud, “Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid 57:22).

Berdasarkan ayat ini, kita perlu menginsafi bahawa Allah SWT mentakdirkan segala sesuatu termasuklah apa-apa juga bentuk musibah dan bencana yang menimpa manusia di seluruh dunia seperti gempa bumi, kemarau, kebuluran, kemusnahan tanaman, kerugian harta benda dan kehilangan nyawa orang tersayang.

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya bertindak melulu dengan menilai mahupun mengatakan bahawa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria merupakan bala dan azab Allah SWT kepada mangsa yang terlibat kerana hal yang demikian merupakan urusan Allah SWT. Yang perlu kita fahami adalah bahawasanya rahmat Allah SWT juga Maha Luas buat seluruh manusia.

Kendatipun begitu, pendekatan ini tidak menafikan kekuasaan Allah SWT untuk menurunkan azab kerana Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa atas segala-galanya. Dalam al-Quran, terdapat ayat yang menyebut tentang gempa bumi yang ditimpakan ke atas kaum yang ingkar daripada beriman kepada Allah SWT dan melakukan kerosakan serta kemaksiatan secara besar-besaran. Antaranya termasuklah ayat al-Quran tentang kemusnahan yang dikenakan terhadap kaum di tempat bernama Sadum, Jordan, yang menolak ajaran Nabi Lut a.s. Mereka mensyirikkan Allah SWT dan melakukan kemungkaran homoseksual secara berleluasa. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.” (Surah Hud 11:82).

Oleh hal yang demikian, umat Islam khususnya, perlu sentiasa mengambil ibrah daripada ayat al-Quran tentang kejadian yang menimpa umat terdahulu sebagai akibat daripada keingkaran mereka untuk beriman dengan Alllah SWT dan melakukan kerosakan di atas muka bumi. Umat Islam juga seharusnya bukan sekadar mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, tetapi bertindak mencegah atau menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang melampaui batas, kemungkaran, kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Hal ini dikatakan demikian kerana azab daripada Allah SWT bukan hanya menimpa orang yang derhaka kepada Allah SWT, tetapi berlaku secara umum meliputi sesiapa sahaja dalam sesebuah masyarakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksa-Nya.

(Surah al-Anfal 8:25).

Kejadian gempa bumi yang berlaku mengakibatkan mangsa menghadapi kehilangan nyawa dan harta benda.

Sebagai umat Islam, sebarang musibah dan ujian yang melanda perlulah dijadikan ibrah untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita tidak sepatutnya mempersoalkan sebab musabab musibah ini diturunkan kerana Allah SWT sememangnya berhak terhadap segala sesuatu dan apa-apa juga yang berlaku sudah pasti mengandungi hikmah yang tersirat.

 

Iktibar daripada gempa bumi Turkiye dan Syria

Kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan di Turkiye, Syria dan juga beberapa kawasan lain sebelum ini memberikan beberapa ibrah yang boleh direnungkan, iaitu:

  • Dari segi akidah, umat Islam perlu meyakini bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT yang pasti mengandungi hikmah dan pengajaran kepada umat manusia.
  • Dari segi sifat perikemanusiaan, umat Islam dan manusia di seluruh pelosok dunia perlu menyedari bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam usaha untuk memastikan keharmonian hidup, dunia ini memerlukan manusia yang saling bekerjasama, bertoleransi, bertasamuh dan saling menghormati, serta berusaha mengelakkan persengketaan, prasangka dan sikap mendominasi.
  • Dari segi ibrah daripada peristiwa pula, seluruh umat Islam perlu mengambil pengajaran di sebalik kejadian gempa bumi yang berlaku. Kita perlu sentiasa bermuhasabah, perbaiki diri dan mempertingkat amal kebaikan. Kita perlu menginsafi bahawa kegoncangan yang bakal berlaku ketika hari kiamat sudah pasti lebih dahsyat. Dengan sebab itu, kita perlu memperbanyak doa agar sentiasa dilindungi dalam rahmat dan perlindungan-Nya.
  • Dari segi persiapan untuk masa akan datang, kita perlu meningkatkan ilmu, teknologi dan kaedah untuk menghadapi bencana. Walaupun ada kalanya sesuatu bencana alam tidak dapat dikesan lebih awal, namun sekurang-kurangnya kita mempersiapkan diri untuk menghadapinya bukan sekadar dengan persiapan fizikal dan ilmu, tetapi dengan persiapan amalan kebaikan, doa dan keimanan yang tinggi.
Kredit foto: Ahmed akacha dan cristalsimon/Canva

Profesor Madya Dr. Suhaila Abdullah ialah pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.