20 Februari 2023, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Para ulama memainkan peranan penting dalam sesebuah kerajaan yang dibentuk kerana golongan berkenaan menjadi pihak yang dirujuk sebelum sesuatu dasar dilaksanakan. Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan daripada golongan ulama mampu memastikan hala tuju yang ditentukan dalam dasar dirangka berpandukan al-Quran dan sunah.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Bersama Timbalan Perdana Menteri.

“Setiap dasar yang akan dilaksanakan mesti dirujuk dengan ulama agar segala usaha yang kita lakukan adalah atas nasihat dan doa ulama dan insya-Allah, matlamat menuju ke arah negara sejahtera akan tercapai,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Bersama Timbalan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Tambahnya, kombinasi jalinan kerjasama antara pemimpin dengan ulama dapat memastikan setiap permasalahan yang dihadapi oleh negara dapat diatasi berpandukan ajaran Islam. Menurut beliau, teguran dan nasihat daripada golongan ulama dialu-alukan bagi memastikan kepimpinan negara sentiasa mendapat keberkatan.

Ujar YAB Dato’ Dr. Seri Ahmad Zahid lagi,

Majlis agama Islam bersama-sama ulama menjadi platform penting untuk membantu kerajaan mencambahkan pelbagai idea ke arah memartabatkan Islam. Ulama merupakan obor kepada masyarakat dan berperanan memberikan pencerahan dari semua sudut kehidupan manusia berdasarkan al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan ulama agar tidak menyalahgunakan ayat al-Quran, hadis, ijmak dan qias untuk mencapai matlamat politik sebaliknya memanfaatkan ilmu berkenaan untuk memperkukuh serta menjaga kesucian Islam.

Beliau juga berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim diwujudkan bagi memastikan setiap lapisan rakyat negara pelbagai kaum dan agama di Malaysia bersatu padu serta saling menghormati walau dalam apa-apa juga situasi.

Program yang disertai oleh 200 orang peserta yang terdiri daripada ulama, ilmuwan, asatizah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan sesama ilmuwan Ahli Sunah Waljamaah di Malaysia serta menyediakan platform interaksi dan ramah mesra para ulama dan ilmuwan Islam bersama-sama Timbalan Perdana Menteri berkaitan dengan isu semasa.

Majlis Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Bersama Timbalan Perdana Menteri ini juga disiarkan secara langsung melalui Facebook Pertubuhan Nadwah Ulamak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.