18 Februari 2023, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Antara rahmat terbesar kurniaan Allah SWT kepada manusia ialah pengutusan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik. Pada susuk tubuh manusia yang sempurna dan tiada dosa itu, terzahir segala kecintaan dan ketaatan kepada Allah SWT. Kisah Baginda Rasulullah SAW ini perlu ditelusuri supaya hidup kita terdorong ke arah yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir, serta banyak berzikir kepada Allah.” (Surah al-Ahzab 33:21).

Sebagai seorang nabi, Rasulullah SAW telah dikurniakan mukjizat sebagai tanda kenabian Baginda. Mukjizat kedua terbesar selepas al-Quran ialah peristiwa yang wajib kita imani, iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa ini diabadikan pada tanggal 27 Rejab, sebagai peringatan kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar mengetahui jalan cerita, tetapi yang lebih penting ialah kita mengambil ibrah atau pengajaran untuk mencorakkan warna kehidupan kita yang singkat di dunia ini.

Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa di Baitulmuqaddis, Palestin. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, bumi yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’ 17:1).

Mikraj pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilaqsa ke Sidratulmuntaha melalui tujuh lapis langit. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuknya yang asal) pada waktu yang lain (iaitu Sidratulmuntaha). Berdekatannya terletak syurga (Jannah al-Ma’wa). (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratulmuntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhan-Nya yang paling besar.” (Surah al-Najm 53:13-18).

Sepintas lalu, kisah Israk Mikraj ini berlaku pada tahun kesedihan (‘am huzni) buat Rasulullah SAW, iaitu setelah kematian isteri tercinta, Sayidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda yang disayangi seperti ayah kandung, Abu Talib. Lebih menyedihkan apabila bapa saudara Baginda meninggal tanpa mengucap dua kalimah syahadah. Selain itu, tekanan pihak musyrikin Quraisy serta ujian yang hebat dan dahsyat dilalui oleh Rasulullah SAW dalam usaha menyebarkan kalimah tauhid pada ketika itu. Baginda berpindah ke Thaif seorang diri dengan harapan agar penduduk Thaif menerima dakwah Baginda dan memberikan perlindungan. Akan tetapi, penduduk Thaif menyambutnya dengan cemuhan dan membaling batu, namun Baginda tetap istiqamah tanpa berganjak sedikit pun. Kemudian, datang hiburan dan dorongan daripada Allah SWT untuk menggembirakan dan meneguhkan lagi hati Baginda.

Suatu malam, ketika Nabi Muhammad SAW sedang tidur, Baginda didatangi oleh Malaikat Jibril. Malaikat Jibril membawa berita gembira bahawa Nabi akan diperjalankan ke Baitulmuqaddis dan Sidratulmuntaha.

Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa di Baitulmuqaddis, Palestin.

Dalam perjalanan Mikraj, Rasulullah SAW telah bertemu dengan:

  1. Nabi Adam di langit pertama.
  2. Nabi Isa dan Nabi Yahya di langit kedua.
  3. Nabi Yusuf di langit ketiga.
  4. Nabi Idris di langit keempat.
  5. Nabi Harun di langit kelima.
  6. Nabi Musa di langit keenam.
  7. Nabi Ibrahim dan baitulmakmur di langit ketujuh.
  8. Menghadap Allah SWT di Sidratulmuntaha.

Pada waktu subuh keesokannya, Rasulullah SAW telah pun sampai ke Makkah semula dan Baginda meneruskan dakwahnya, serta menceritakan pengalaman perjalanan Baginda kepada orang ramai atas perintah Allah SWT tanpa mempedulikan kata-kata orang lain ke atas dirinya. Firman Allah yang bermaksud, “Hai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan, itu bererti kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu daripada gangguan manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang yang kafir.” (Surah al-Ma’idah 5:67).

Peristiwa agung ini memberikan ruang kepada pihak orientalis Barat dan orang kafir untuk menjatuhkan agama Islam dengan mempertikaikan banyak aspek dalam perjalanan semalaman Rasulullah SAW.

  1. Pihak orientalis tetap meletakkan peristiwa ini berlaku kerana kebijaksanaan Rasulullah SAW, bukan kerana mukjizat. Mereka mengehadkan pemikiran kepada logik akal sahaja, seterusnya menafikan ada unsur ketuhanan dalam peristiwa agung ini.
  2. Wajib percaya perjalanan Rasulullah SAW adalah bersama-sama jasadnya. Jika kita percaya bahawa perjalanan tersebut dengan roh seperti yang dikatakan oleh orang Barat, maka hal tersebut sama sahaja bagi keadaan Islam dan kafir kerana perjalanan roh ketika tidur tiada batasnya.

 

Pengajaran daripada Peristiwa Israk dan Mikraj

Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj dapat dipecahkan kepada tiga peringkat keadaan  yang berikut:

    A. Sebelum peristiwa Israk dan Mikraj

  1. Kita haruslah mencontohi sifat sabar yang sangat tebal dalam diri Rasulullah SAW. Walaupun sayap kiri dan kanan, iaitu isteri dan bapa saudara Baginda telah tiada, Baginda tetap meneruskan hidup dan berdakwah semampu yang boleh. Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup seorang Muslim. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah.” (Surah Yusuf 12:87).
  2. Berusaha mengubah nasib sendiri. Rasulullah SAW berhijrah ke Thaif setelah dakwahnya ditolak dengan ancaman dan tohmahan di Makkah. Baginda juga tidak mengetahui apakah hasil berpindah ke Thaif, tetapi meneruskan usaha Baginda untuk menyebarkan dakwah.
  3. Tidak buruk sangka terhadap Allah. Walaupun hidup kita mengalami ujian yang sangat berat, jangan menyangka hal tersebut kemurkaan Allah. Boleh jadi ujian tersebut untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah dan ada kesenangan di hadapan setelah kesusahan yang kita alami. Firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah berfirman, Aku selalu menurut persangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Apabila dia berprasangka baik, maka dia akan mendapatkan kebaikan. Adapun apabila dia berprasangka buruk kepada-Ku, maka dia akan mendapatkan keburukan.” (Hadis riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban).

 

   B. Ibrah daripada perjalanan

  1. Tiada yang mustahil dengan kuasa Allah SWT.
  2. Allah memilih waktu malam untuk memperjalankan hamba-Nya (Rasulullah SAW). Perkara ini menunjukkan bahawa malam merupakan waktu yang tepat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  3. Masjidilaqsa merupakan tempat suci bagi umat Islam. Kita harus mengambil tahu keadaan semasa di Palestin dan membantu saudara kita di sana semampu yang boleh.
  4. Nabi Muhammad SAW dipertemukan oleh Allah SWT dengan nabi-nabi lain sebagai memberikan semangat kepada Baginda dalam perjuangan menyebarkan dakwah Islam. Bertemu dengan orang yang sama perjuangan dan melalui keadaan yang sama seperti keadaan kita merupakan satu daripada cara untuk memujuk resah di hati. Selain itu, hal ini menunjukkan bahawa adanya kesinambungan dakwah nabi-nabi terdahulu dengan dakwah Rasulullah SAW, iaitu beriman kepada Allah yang Esa.
  5. Terlalu banyak perkara ghaib di luar pengetahuan kita yang melambangkan kita manusia lemah yang wajib beriman dan bertakwa kepada Pencipta.
  6. Solat disyariatkan ketika mukjizat agung ini membenarkan bahawa kepentingan solat sebagai tiang agama dan amalan pertama yang akan dihisab. Perintah ini adalah secara langsung tanpa perantaraan Jibril. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kepala urusan agama itu Islam, dan tiangnya ialah solat.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah).
  7. Seorang manusia boleh jadi lebih dekat kepada Allah dan lebih mulia daripada malaikat di sisi Allah jika benar-benar bertakwa. Hal ini ditunjukkan apabila dalam peristiwa Mikraj, Nabi Muhammad SAW boleh memasuki Sidratulmuntaha, bukti kemuliaan manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Ibadat solat disyariatkan selepas berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

 

    C. Selepas peristiwa Israk dan Mikraj

  1. Keyakinan yang tinggi untuk menegakkan kalimah dan janji Allah.
  2. Wajib untuk menyampaikan kebenaran tentang Islam kepada orang lain walaupun sepotong ayat. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
  3. Banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang tidak terbalas pengorbanannya untuk membawa kalimah Allah sehingga sampai kepada kita. Kita juga wajib menyebarkannya kepada orang lain.

Semoga kita mendapat manfaat sebanyaknya daripada mengamati peristiwa agung dalam sejarah Islam ini, seterusnya dapat meningkatkan kecintaan kita kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.