10 Februari 2023, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang Maha Pemurah pasti akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang orang ramai terhadap mereka.”

(Surah Maryam 19:96)

Islam ialah agama yang berteraskan kasih sayang. Menurut Imam Hasan al-Banna dalam Risalah Ta’alim, kasih sayang ialah hati dan roh yang terikat dengan ikatan akidah Islam. Oleh itu, Islam menuntut agar umatnya menyemarakkan kasih sayang kerana Allah SWT sentiasa melimpahkan kepada makhluk-Nya segala kasih sayang dengan mengurniakan pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia ini. Bahkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Berdasarkan ayat 96 Surah Maryam, kasih sayang yang dituntut oleh Islam berpaksikan keimanan kepada Allah dan rukun iman, serta dibuktikan melalui amal soleh. Hal ini bermakna, kasih sayang kepada makhluk perlu disandarkan kepada kasih sayang Allah SWT dan bukan mengikut nafsu syahwat.

Sifat kasih sayang ialah fitrah semula jadi yang Allah SWT kurniakan dalam naluri insan. Naluri berkasih sayang ini diterjemahkan dalam berbagai-bagai ruang kehidupan manusia. Umpamanya dalam hubungan kekeluargaan, suami isteri yang saling berkasih sayang pastinya akan mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga. Adik-beradik yang saling berkasih sayang menyuburkan keluarga bahagia, manakala berkasih sayang antara saudara mara merapatkan lagi ukhuwah kekeluargaan. Begitu juga dalam hubungan kemasyarakatan, kasih sayang sesama jiran dan sahabat handai pastinya menyemai sifat saling menghormati dan saling membantu antara satu sama lain.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menganjurkan kita sentiasa memberikan ucapan salam kepada Muslim yang lain sebagai tanda kasih sayang; begitu juga memberikan hadiah atau buah tangan sebagai tanda kasih seseorang kepada saudaranya. Pastinya melalui amalan seperti ini, akan mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan rasa kepercayaan kepada saudaranya. Bahkan nilai berkasih sayang sesama manusia ini diikat serta diperkuat lagi dengan hadis Nabi SAW, maksudnya: “Barang siapa yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya naluri kasih sayang merupakan satu nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Melalui naluri kasih sayang inilah, lahirnya rasa keinsanan dan kemanusiaan, timbulnya rasa keadilan dan keihsanan, munculnya rasa belas dan rasa kasihan yang mendorong manusia untuk membantu, menolong dan meringankan penderitaan yang dialami oleh manusia lain. Tanpa naluri kasih sayang, manusia akan bersifat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesusahan orang lain. Begitu juga apabila hilangnya nilai kasih sayang, akan berakhirlah kebahagiaan rumah tangga, akan retak hubungan kekeluargaan, dan akan lenyap keharmonian hubungan anggota masyarakat.

Sesungguhnya begitu besar nikmat apabila kita saling berkasih sayang kerana Baginda SAW menyebutkan dalam hadis Baginda bahawa salah seorang yang dinaungi rahmat Allah pada hari kiamat ialah mereka yang saling berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT.

Sebagai agama yang sempurna, kasih sayang diatur berpandukan syariat dan batas-batas Islam. Walaupun berkasih sayang ini merupakan satu tuntutan Islam kepada hamba-Nya, serta memiliki makna yang luas, namun kasih sayang hendaklah berpaksikan keredaan Allah SWT. Kita hendaklah meletakkan keimanan sebagai asasnya, agar tidak melewati batas-batas ajaran Islam. Sebagai contoh, kasih sayang antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram, hendaklah dijalinkan berlandaskan hukum syarak, iaitu melalui pernikahan yang sah. Jika hubungan kasih sayang tidak berlandaskan hukum syarak, dikhuatiri akan mengundang perbuatan yang dilarang oleh Allah, bermula dengan pergaulan bebas yang boleh mendorong kepada berlakunya zina, yang mengundang kemurkaan Ilahi.

Kasih sayang dalam Islam hendaklah berpaksikan keredaan Allah SWT.

Apabila kita berjaya mewujudkan hubungan kasih sayang sesama insan berasaskan nilai-nilai murni Islam, insya-Allah hubungan tersebut akan diterima sebagai satu daripada amal ketakwaan kita kepada Allah SWT. Bagi memperoleh rasa kasih sayang sebenar yang selaras dengan ajaran Islam, kita perlu terlebih dahulu berikhtiar untuk mendapatkan kasih sayang dan cinta Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT amat kasih dan sayang akan hamba-Nya yang sentiasa berusaha memperbaiki amalannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ma’idah 5:93). Insya-Allah golongan yang mendapat rahmat limpahan kasih sayang Ilahi, akan terlindung daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh-Nya. Begitulah indahnya berkasih sayang dalam Islam dan sesungguhnya tiada hari tanpa kasih sayang dalam kehidupan orang beriman.

Kesimpulannya, umat Islam diingatkan dengan perkara yang berikut:

  • Pertama: Islam ialah agama yang berteraskan nilai kasih sayang yang perlu dipupuk dan disuburkan dalam masyarakat.
  • Kedua: Kasih sayang yang sebenar ialah berteraskan keredaan Allah SWT merangkumi seluruh hubungan sesama makhluk.
  • Ketiga: Tiada nilai kasih sayang di sisi Allah SWT sekiranya tidak berlandaskan syariat Islam.
  • Keempat: Kasih sayang berlandaskan syariat Islam memupuk sifat ihsan sesama manusia.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-’Alamin! Bimbinglah kami agar saling berkasih sayang kerana-Mu, Ya Allah, dan melaksanakannya mengikut keredaan-Mu. Hindarilah kami daripada bisikan syaitan lalu dipengaruhi nafsu, terlanjur melakukan dosa dan maksiat atas alasan sifat berkasih sayang.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

Kredit Foto: Canva

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 10 Februari 2023, bertajuk “Berkasih Sayang kerana Allah”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.