Oleh Suria Janib
8 Februari 2023, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam sesi ceramah agama khas bertajuk “Pekerja Hebat Gaji Berkat”, yang disampaikan oleh juara Mimbar Pencetus Ummah (PU) musim pertama 2013/2014, Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, umat Islam diingatkan supaya memikirkan semula tujuan manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Apabila kita memahami tujuan kita diciptakan, kita akan melaksanakan kerja dengan amanah dan ikhlas,” kata PU Hafiz Haneefa kepada kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, pagi tadi.

Beliau memetik doa Iftitah yang dibacakan sebelum bacaan al-Fatihah dalam permulaan solat yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (Bacaan ini juga berasal daripada Surah al-An‘am ayat 162). Ayat ini perlu diperhalus maknanya supaya tugas harian yang dilaksanakan memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan agama, bahasa dan tulisan Jawi. Penggunaan bahasa dan penghasilan bahan penerbitan DBP yang berkualiti secara tidak langsung membantu mengembangkan agama.

Menurut PU Hafiz, pekerja Islam perlu menghayati perjuangan junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang melaksanakan tugas mereka mengikut sunah dan perintah agama. Misalnya, Sayidina Uthman bin Affan dan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sanggup mengorbankan hartanya demi agama dan ummah. Kedua-dua sahabat Rasulullah SAW ini mewakafkan harta peninggalan mereka sehingga dapat dimanfaatkan oleh umat Islam hingga hari ini.

Beliau turut berkongsi maklumat tentang buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History: Revise and Updated yang ditulis oleh Michael H. Hart yang meletakkan nama Nabi Muhammad SAW di kedudukan orang yang pertama paling berpengaruh dalam sejarah. Baginda satu-satunya tokoh yang berjaya melaksanakan tugasnya dalam kedua-dua hidang, iaitu agama dan sekular (berkaitan dengan kehidupan harian). Baginda berjaya mengangkat darjat wanita yang selama ini dipandang hina oleh masyarakat jahiliah, menyatukan puak-puak kabilah yang berpecah-belah serta mengurus ekonomi sehingga terbentuknya Piagam Madinah yang memberikan keadilan ekonomi kepada semua pihak.

Bagi melahirkan pekerja yang hebat, PU Hafiz menggariskan dua jenis ibadat yang perlu diimplikasikan untuk mendapatkan gaji yang berkat, termasuklah melaksanakan ibadat khusus, iaitu perkara yang wajib dilakukan oleh orang Islam sebagai cara mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan perintah yang diwajibkan sebagaimana yang terkandung dalam rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah al-Quran dan zikir.

Selain itu, pekerja juga melakukan ibadat umum yang meliputi segala perkara atau amalan selain kumpulan ibadah khusus, iaitu ibadat ini dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT. Hal ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan harian.

“Bagi mendapatkan keberkatan dalam bekerja dan menerima gaji yang tiada unsur syubhah, niatkanlah bekerja secara ikhlas, melakukan kerja yang halal tanpa culas atau sambil lewa. Sebelum keluar bekerja, peluklah pasangan masing-masing selama sepuluh saat supaya dapat mengikhlaskan hati agar bekerja untuk menyara keluarga dan mendapat keredaan Allah,” ujar PU Hafiz.

Katanya lagi, “Rezeki yang berkat tidak diberikan kepada pendosa, malah cahaya Allah tidak diberikan kepada mereka yang melakukan maksiat di bumi Allah ini. Bagi menghasilkan produktiviti yang tinggi, seseorang pekerja itu perlulah mengubah pemikirannya kepada minda positif dan tetapkan berusaha dengan lebih gigih dan bertawakal.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.