Oleh Firdaus Mul
7 Februari 2023, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebahagian yang dikecapi oleh pasangan suami isteri akan mula rapuh apabila wujud orang ketiga dalam ikatan perkahwinan tersebut. Sebagaimana kes perceraian yang acap kali berlaku, kehadiran orang ketiga dalam perhubungan suami isteri membawa pelbagai konflik sehingga tercetusnya pertengkaran dan perpisahan.

Profesor Madya Dr. Noraini Md Hashim, Pensyarah Kanan di Jabatan Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Begitu juga dengan kes poligami yang berlaku, kehadiran orang ketiga tanpa pengetahuan seseorang isteri pada akhirnya mengundang perbalahan, bukan sahaja di sisi pasangan suami isteri yang berkenaan, malah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat. Menyentuh perihal orang ketiga, baru-baru ini menerusi satu program temu bual, Pensyarah Kanan di Jabatan Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr. Noraini Md Hashim membicarakan topik “Orang Ketiga dalam Perhubungan: Definisi dan Hukumnya”.

Profesor Madya Dr. Noraini menjelaskan bahawa tidak ada definisi khusus mengenai orang ketiga dalam sesuatu perhubungan. Beliau berkata, “Sesiapa sahaja boleh jadi orang ketiga dalam rumah tangga orang lain, umumnya kita mengetahui orang ketiga ialah orang yang akan mengeruhkan, menganggu serta meruntuhkan sebuah institusi rumah tangga.”

Terdapat hadis yang menyatakan tentang perihal orang ketiga. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasullulah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan perbuatan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami”. Takhbib merujuk perbuatan orang ketiga yang akan mengeruhkan keadaan rumah tangga orang lain dan sampai peringkat boleh menyebabkan perceraian.

Dalam hadis tersebut menyatakan tentang seorang lelaki yang akan melarikan seorang perempuan. Lelaki yang memujuk dan kemudian melarikan isteri tersebut, dan kita lihat dalam konteks pada hari ini, hal yang demikian juga berlaku kepada perempuan yang menggoda, kemudian mempengaruhi sehingga menyebabkan seorang lelaki mengabaikan tanggungjawab dan mungkin akan menyebabkan perpecahan rumah tangga.

“Para ulama menyatakan bahawa perbuatan takhbib orang ketiga ini hukumnya haram kerana dalam keadaan rumah tangga itu harmoni bersama-sama pasangan dan anak-anak, tiba-tiba hadir orang ketiga ini yang memperdaya, menggoda, merosakkan hubungan rumah tangga sedia ada,” jelas Profesor Madya Dr. Noraini.

Kehadiran orang ketiga ada kalanya ibarat racun yang menjadi perosak kebahagiaan suami dan isteri.

Siapakah orang ketiga dalam perkahwinan?

Orang ketiga tidak dikhususkan kepada individu tertentu sahaja, tetapi melibatkan individu yang dikenali ataupun tidak dikenali. Antara golongan yang menjadi orang ketiga termasuklah:

  1. Ahli keluarga sendiri, seperti ibu bapa, mentua, adik-beradik, ipar duai, sepupu sepapat, anak kandung, anak tiri dan sebagainya.
  2. Bekas kekasih, suami atau isteri.
  3. Kekasih gelap, suami atau isteri.
  4. Orang luar; jiran, rakan sekerja, alumni sekolah, majikan, warga siber dan sebagainya.

Undang-undang berkaitan dengan orang ketiga

Berdasarkan undang-undang Malaysia, siapa-siapa sahaja yang terlibat mengganggu rumah tangga pihak lain boleh dikenakan tindakan undang-undang. Profesor Madya Dr. Noraini berkata, “kita ada peruntukan undang-undang, kalau sebelum ini gangguan orang ketiga dan kemudian membawa kepada poligami, terdapat Akta Undang-Undang Keluarga Islam, contohnya di Wilayah Persekutuan, Seksyen 133, percubaan dan subahat. Kita juga ada Akta Kesalahan Jenayah Syariah ataupun Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri. Ada tiga peruntukan utama yang memelihara keharmonian rumah tangga daripada perpecahan dan sebagai peringatan kepada orang ketiga.”

Tiga peruntukan utama di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) ialah:

  1. Seksyen 36 − Memujuk lari perempuan bersuami; mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan. Apabila disabitkan kesalahan, seseorang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 ataupun dipenjarakan tidak lebih dari tiga tahun, atau kedua-duanya; dan isteri itu diarah kembali kepada suami.
  2. Seksyen 37 − Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri; mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda tidak lebih RM2000, atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali.
  3. Seksyen 38 − Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan (orang ketiga lelaki atau orang ketiga perempuan); mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000, atau dipenjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jelaslah bahawa kesalahan orang ketiga ini ialah kesalahan jenayah syariah, justeru sebarang aduan mengenai pencerobohan dalam rumah tangga  boleh dikemukakan di Jabatan Agama Islam di negeri tempat bermastautin demi mencapai keadilan dan mengelakkan penindasan dalam kehidupan berumah tangga.

Mengakhiri sesi temu bual tersebut, Profesor Madya Dr. Noraini berkata, “Kita perlu kembali kepada matlamat perkahwinan, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Rum ayat 21 bahawa kita mahu mencapai ketenteraman (sakinah), rasa sayang (mawaddah) dan kasih (rahmah).” Suami dan isteri seharusnya sedar akan tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang tercatat melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 34, yang bermaksud:

Kaum lelaki (suami) itu ialah pemimpin bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya. Maka itu, perempuan-perempuan yang solehah ialah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ketiadaan (suaminya), kerana Allah telah menjaga (mereka) ….

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.