Oleh Firdaus Mul
3 Februari 2023, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program KL Gema al-Quran yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, pada 7 hingga 9 Februari 2023, akan melibatkan sebanyak 2000 orang pelajar dari sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur, dan 1000 orang pelajar JAWI. Kemudian, pelajar tersebut akan dibimbing oleh 200 orang fasilitator guru selama tiga hari bagi menguasai bacaan al-Quran.

Pengarah Pendidikan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Hajah Norhayati Haji Ab. Wahab.

Menurut Puan Hajah Norhayati Haji Ab Wahab, yang merupakan Pengarah Pendidikan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam temu bual “Selamat Pagi Malaysia” anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini,

Program Kuala Lumpur Gema al-Quran merupakan program yang dirancang oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan anak-anak kita menguasai Al-Quran, iaitu melalui program Pendidikan Islam, Program J-qaf. Anak-anak kita akan bersiaran, dan menggemakan bacaan al-Quran dengan penghayatan dan memahami bacaan tersebut.

“Program ini merupakan jalinan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selari dengan program “1 Murid 1 al-Quran”. Kami akan adakan program ini pada 7 hingga 9 Februari 2023 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, yang akan melibatkan sebanyak lebih kurang 3000 orang murid − 2000 orang murid dari sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur, dan 1000 orang murid JAWI yang melibatkan sebanyak 200 orang fasilitator,” jelas beliau.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah, Puan Fatimah Zahra Zulkafli.

Sementara itu, menurut Puan Fatimah Zahra Zulkafli, yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU), “Tanggungjawab PIKU jelas adalah sebagai badan bukan kerajaan yang sama-sama membantu dan menyokong program KL Gema al-Quran melalui pengumpulan sinergi kerjasama antara Jabatan Pendidikan dengan pihak lain seperti UTM, badan korporat, badan kebajikan Islam, dan masyarakat ke arah satu matlamat yang besar untuk membina sebuah kesatuan yang berkongsi matlamat ke arah memperkasakan pendidikan al-Quran. Masing-masing berkongsi kepakaran dan sumbangan”. Beliau juga merupakan seorang daripada tetamu undangan yang hadir dalam temu bual tersebut.

Dalam program bual bicara tersebut, Profesor Madya IR Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki Shaikh Salim juga berkongsi mengenai peranan UTM dalam Program KL Gema al-Quran. Beliau berkata, “Peranan UTM adalah dengan mencetak naskah al-Quran. Kita telah melancarkan program Infaq al-Quran melalui fundraising UTM, dengan mengalukan-alukan masyarakat setempat dan komuniti untuk bersama-sama menyumbang bagi menjayakan program KL Gema al-Quran. UTM bukanlah sekadar tempat untuk menimba ilmu dan menjalankan penyelidikan bertaraf dunia, tetapi pada masa yang sama, UTM sangat peka terhadap program komuniti, dengan sasaran dapat menyumbang kepada komuniti.”

Pada akhir temu bual, ketiga-tiga tetamu undangan sempat menyatakan harapan yang mewakili pihak masing-masing. Bagi Puan Hajah Nurhayati, beliau berharap program ini bukan sekadar dapat memperkasakan pendidikan al-Quran dalam kalangan pelajar, malah juga berupaya melahirkan pelajar sekolah yang menjadi insan mulia, yang baik lagi cerdik dan akhirnya menjadi sebuah masyarakat Madani sebagaimana yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Bagi Puan Fatimah Zahra pula, “Mewakili PIKU, kami menyeru masyarakat dan badan korporat untuk bersama-sama menyokong hasrat ini, mudah-mudahan dengan kebersamaan kesepaduan kita dapat menjemput barakah dan reda Allah SWT kepada kita semua.”

Pengarah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya IR Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki Shaikh Salim.

Menurut Profesor Madya IR Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki, “UTM rasa berbangga kerana dapat bersama-sama mengorganisasikan dan merealisasikan program “1 Pelajar 1 Al-Quran”, kemudian pintu kebaikan ini dapat dibuka seluas-luasnya kepada komuniti untuk bersama-sama menyumbang kepada program yang memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya kepada umat Islam supaya celik al-Quran.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.