Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT, maksudnya:
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan pasangan untuk kamu daripada jenis kamu sendiri agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Rum 30:21).
Perkahwinan merupakan antara jalan kebahagiaan yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat manusia agar sentiasa hidup dalam kegembiraan dan ketenangan. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui perkahwinan, manusia dapat memenuhi keperluan fitrah kehidupan manusia yang mahukan hidup secara berpasangan.
Selain dikira sebagai ibadah, melalui perkahwinan juga Allah SWT mengangkat martabat manusia berbanding dengan makhluk-Nya yang lain. Oleh sebab itu, perkahwinan bukan hanya kenikmatan hidup berpasangan bahkan perkara yang paling penting adalah melalui perkahwinan, manusia memperoleh keberkatan serta menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Namun demikian, bukan semua pasangan memperoleh kehidupan yang bahagia. Antara faktor berlakunya masalah rumah tangga ialah kesilapan dalam pemilihan pasangan. Kadangkala pemilihan pasangan hanya dilakukan dengan melihat pada aspek kecantikan rupa dan memiliki harta, walhal kedua-dua aspek ini hanyalah kelebihan yang bersifat sementara dan tidak kekal selamanya.
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan keutamaan dalam pemilihan pasangan hidup, iaitu dengan memilih pasangan atas dasar agamanya. Dengan adanya ilmu agama secara tidak langsung dapat membentuk akidah, syariat dan akhlak yang sempurna, seterusnya dapat membentuk ciri pasangan suami isteri yang soleh dan solehah di samping membina keluarga rahmah.
Walau bagaimanapun, tidak sepatutnya wujud konflik rumah tangga seperti nusyuz (derhaka), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan), malah lebih dahsyat lagi berakhir dengan perceraian dalam perkahwinan. Setiap pasangan suami isteri seharusnya perlu menghayati dan menguasai sepenuhnya konsep perkahwinan menurut syarak yang sebenar dan tidak hanya mempertaruhkan cinta semata-mata tanpa ilmu agama sebagai asas dalam perkahwinan. Tidak dinafikan bahawa melalui cinta akan terbitnya kasih dan sayang antara pasangan, namun dengan adanya cinta sahaja tidak mencukupi untuk mempertahankan perhubungan perkahwinan kerana cinta itu bersifat sementara.
Oleh hal yang demikian, setiap ibu bapa dan keluarga sepatutnya memberikan didikan agama yang selayaknya kepada anak sebelum mereka menuju ke alam perkahwinan. Terutamanya wali perkahwinan, mereka perlu memastikan agar anak yang ingin mendirikan rumah tangga sudah bersedia dari aspek ilmu agama sekurang-kurangnya menguasai ilmu fardu ain. Hal ini dikatakan demikian kerana penguasaan ilmu fardu ain merupakan tuntutan kewajipan terhadap setiap individu Muslim yang perlu dijadikan keutamaan demi meraih kebahagiaan di samping mendapat keberkatan dalam perkahwinan.
Pada masa yang sama, setiap pasangan suami isteri perlu memahami dan memenuhi tuntutan hak masing-masing, seperti hak suami kepada isteri, hak isteri kepada suami, dan juga hak ibu bapa kepada anak-anak. Apabila pasangan suami isteri memahami dan memenuhi tuntutan hak masing-masing tentunya akan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara mungkar dalam perkahwinan. Dalam hal ini, perkahwinan bukanlah menjadikan suami sebagai diktator dan isteri pula sebagai hamba abdi. Sebaliknya, perkahwinan merupakan perjanjian persefahaman antara suami dengan isteri yang berperanan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Namun demikian, tidak dinafikan sesetengah perkahwinan bermula dengan perasaan cinta antara kedua-dua pasangan suami isteri. Oleh sebab itu, jadikanlah agama sebagai asas dan panduan dalam hubungan percintaan yang terjalin kerana dengan izin Allah SWT fitrah cinta tercipta dan dengan izin-Nya juga perkahwinan berlangsung. Hindarilah sikap suka mengikuti gaya hidup perkahwinan Barat yang jelas bertentangan dengan syarak, sedangkan gaya hidup perkahwinan Islam jelas lebih indah dan bahagia berlandaskan syarak. Jadikanlah kehidupan perkahwinan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh kehidupan perkahwinan yang penuh dengan berkat dan rahmat.
Sebagai kesimpulannya, sememangnya fitrah kehidupan manusia memerlukan pasangan dalam hidup sebagai pelengkap kitaran hidup manusia. Carilah pasangan hidup yang beragama dan berakhlak mulia sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam agar mendapat keberkatan dalam perkahwinan. Jadikanlah perkahwinan yang terbina sebagai perkahwinan yang diredai dan mendapat keberkatan Allah SWT. Semoga semua insan yang hendak mendirikan rumah tangga dan yang telah mendirikan rumah tangga tergolong dalam golongan perkahwinan yang mendapat keberkatan Allah SWT.