Oleh Nur Saadah Khair
18 Januari 2023, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berada pada bulan pertama bagi tahun 2023, kita digalakkan untuk memulakannya dengan niat baharu yang positif. Satu daripada aspek yang perlu diberikan perhatian serius adalah tentang kepentingan masa dan tanggungjawab untuk menetapi masa.

Terdapat banyak pepatah yang menekankan tentang kepentingan masa. Antaranya termasuklah “masa ibarat emas”; “masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, masa akan memotong kita”; dan “masa ialah jurucerita yang hebat”. Namun begitu, kepentingan masa masih dianggap remeh bagi sesetengah pihak.

Budaya Jepun adalah antara budaya terbaik dalam hal menetapi masa kerana masa dalam kalangan rakyat Jepun tidak diterapkan kepada individu semata-mata, malah servis dan perkhidmatan yang disediakan sangat mematuhi masa. Namun demikian, budaya menepati masa masih lemah khasnya dalam kalangan masyarakat Muslim.

Sebagai Muslim, masa merupakan antara kurniaan Tuhan yang tidak boleh dipandang remeh kerana Allah SWT telah bersumpah dengan masa melalui firman-Nya yang bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan tentang kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-‘Asr 103:1-3).

Masa merupakan petunjuk penting dalam kitaran alam semesta untuk beribadat kepada Tuhan, terutamanya dalam hal pelaksanaan solat yang merupakan satu-satunya amalan yang diwajibkan kepada orang beriman yang telah ditetapkan waktunya pada setiap hari. Masa juga penting bagi amal ibadat yang lain seperti puasa, zakat dan haji kerana ada waktu bermula dan berakhir bagi melaksanakan ibadat tersebut.

Beberapa teori dan konsep masa telah dibincangkan secara meluas dari aspek agama, falsafah dan sains yang membuktikan bahawa masa mempunyai nilai ekonomi, kepentingan sosial dan peribadi, dan juga nilai politik. Hal ini dikatakan demikian kerana masa merupakan amanah yang harus dititikberatkan dalam setiap aspek kehidupan walaupun dalam sekecil-kecil perkara.

Contohi Rasulullah SAW dalam pengurusan masa

Rasulullah SAW merupakan contoh dan teladan terbaik untuk semua manusia dalam pengurusan masa, khususnya untuk umat Islam di seluruh dunia. Baginda menyentuh tentang kepentingan masa sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam tutur bicara serta perlakuan Baginda.

Menceritakan tentang pengurusan masa Rasulullah SAW, Ali bin Abu Talib berkata, “Apabila Baginda pulang, Baginda membahagikan masanya kepada tiga bahagian; satu untuk Allah, satu untuk keluarganya, dan satu untuk dirinya sendiri, dan Baginda membahagi-bahagikan bahagiannya sendiri antara dirinya dengan manusia.” (al-Syamail al-Muhammadiyyah).

Rasulullah SAW juga menyentuh tentang masa dengan menggambarkan perbezaan waktu pagi, tengah hari, petang dan malam untuk dipenuhi dengan perkara yang bersesuaian pada waktu tersebut. Sebagai contoh, beberapa hadis menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menitikberatkan keberkatan waktu pagi kerana Baginda sentiasa menuntut agar kerja dimulakan pada awal pagi. Baginda secara khususnya memohon doa yang bermaksud, “Ya Allah, berikanlah kerberkatan kepada umatku pada pagi hari mereka.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Hal ini menunjukkan bahawa waktu pagi itu mempunyai nilai tersendiri kerana merupakan permulaan hari untuk mendapat rahmat Allah SWT.

Pada waktu tengah hari, apabila matahari tidak lagi berada di puncaknya, azan akan diseru kali kedua untuk menunaikan solat zuhur. Tengah hari juga merupakan masa untuk berehat sebentar sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat. Anas r.a. berkata, “Para sahabat nabi akan menunaikan solat Jumaat dahulu dan kemudian tidur siang (qailulah).” Faedah qailulah telah terbukti kerana ahli psikologi berpendapat bahawa tidur pada waktu tengah hari dalam tempoh yang ringkas didapati bermanfaat dari segi fisiologi dan psikologi yang boleh membantu menyegarkan minda, meningkatkan kewaspadaan dan meningkatkan mood dan produktiviti, kerana boleh memberikan manfaat kepada fungsi jantung. Walau bagaimanapun, tujuan tidur tengah hari tidak boleh disalahgunakan kerana qailulah digalakkan bagi tujuan ibadat. Qailulah mampu memulihkan tenaga dan bersedia untuk bangun lewat malam dan mencari masa yang sempurna dengan Allah SWT.

Pada waktu malam pula, Allah menjadikan waktu tersebut untuk berehat. Sebagai nabi dan rasul, Baginda juga berehat dan tidur pada waktu malam. Aisyah melaporkan bahawa, “Rasulullah SAW tidur awal malam, dan bangun pada akhir malam untuk solat, kemudian kembali ke tempat tidurnya. Apabila muazzin mengumandangkan azan, Baginda akan bangun … .” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Selain itu, Rasulullah SAW sentiasa meluangkan masa bersama-sama isteri, anak dan ahli keluarganya walaupun sibuk dengan aktiviti dakwah. Baginda juga membantu melaksanakan kerja rumah dan sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih. Baginda bermain dan bergelak ketawa bersama-sama cucunya kerana sangat sayang akan anak-anak kecil. Baginda juga sabar melayan para sahabat yang berlainan latar belakang. Baginda mengelak daripada perasaan marah dengan para musuh yang sangat membenci Baginda. Dengan kata lain, orang di sekelilingnya tidak pernah mengeluh kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk meluangkan masa bersama-sama Rasulullah SAW.

Setiap detik yang berlalu akan dinilai dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.Menetapi dan menghormati masa

Banyak manusia yang celik akan kepentingan masa, tetapi buta tentang cara menggunakannya. Banyak juga yang mementingkan masa sendiri, tetapi alpa untuk menghormati masa orang lain. Masa menjadi satu perkara yang sering diabaikan oleh manusia, seperti yang dinyatakan dalam hadis daripada Ibn Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan masa yang lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Untuk mengikuti sunah Rasulullah SAW, umat Islam harus menghargai masa kerana setiap detik yang berlalu akan dinilai dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Kegagalan mengurus masa lebih berbahaya daripada kegagalan mengurus harta, kerana harta yang hilang boleh digantikan dengan harta yang baharu, tetapi masa tidak boleh diganti. Oleh itu, setiap Muslim perlu mengurus dan mentadbir masa dengan lebih baik bersesuaian dengan ajaran Rasulullah SAW.

Pengurusan masa bukan berkaitan dengan diri sendiri semata-mata, tetapi juga menentukan hubungan baik sesama manusia. Jika berjanji temu dengan Allah melalui solat perlu akan kepatuhan, tepat pada awal waktu, dan menjadi suatu perkara yang dituntut, begitu juga apabila berjanji dengan sesama manusia yang menuntut untuk menetapi masa dan menghormati masa orang lain. Hal ini juga berkaitan rapat dengan soal janji yang telah dipersetujui oleh semua pihak untuk memulakan sesuatu perkara pada masa yang ditetapkan. Sekiranya masa yang dipersetujui tidak dipatuhi, lalu menyebabkan berlakunya penangguhan akibat kelewatan dan sikap tidak menepati masa, keadaan ini menyerupai satu daripada tanda seorang yang munafik. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mengingkari, dan jika diberikan amanah dia khianati.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Pengurusan masa semestinya bukan perkara yang boleh dianggap remeh. Lebih-lebih lagi pada zaman ini yang semakin pesat dan membangun dengan kemajuan sains dan teknologi, masa menjadi sesuatu yang sangat berharga untuk dibazirkan begitu sahaja. Setiap detik mampu menjana kewangan dan keuntungan, malah setiap detik juga boleh menyebabkan kerugian jika berlakunya pembaziran masa.

Semakin maju sesebuah tamadun dan bangsa, maka semakin manusia perlu mengurus masa dengan baik dan bijak. Jika tidak, kehidupan akan berlalu dengan sia-sia dan tidak mustahil menjadi faktor kemunduran sesebuah bangsa. Al-Syahid Hassan al-Banna menyentuh hubungan erat antara masa dengan kehidupan dengan berkata, “Masa ialah sebuah kehidupan, dan kehidupan itu ialah masa yang dihabiskan bermula pada saat kelahiran hingga saat kematiannya.”

 

Kredit foto: STILLFX from Getty Images/Canva

Dr. Nur Saadah Khair ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan EXCO Kajian Islam dan Hadis (WAFIQ).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.