11 Januari 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dilihat sebagai pakej lengkap dalam usaha mengatasi defisit sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Yang Berbahagia Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata program tersebut yang bukan sahaja dapat merapatkan jurang sosioekonomi, malahan dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam daripada aspek kepelbagaian kaum.

Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap inisiatif yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs dalam menyantuni rakyat yang memerlukan. Pada masa yang sama, baginda turut menggerakkan jentera yang terdiri daripada ketua- ketua jabatan ketika program kayuhan tersebut.

Menyifatkan pengalaman yang dialami tersebut sebagai sesuatu yang mahal dan tidak dapat diperolehi di tempat lain, Datuk Indera Noridah turut menyatakan hasrat beliau menjadikannya sebagai templat untuk disertakan dalam program anjuran pihak kementerian.

“Kayuhan MAIPs Peduli ini merupakan satu pakej besar yang dapat membantu menangani masalah defisit sosial yang menganggu-gugat perpaduan kita. Melalui kayuhan ini, banyak jurang yang dapat didekatkan. Sebagai contoh jurang antara pemimpin dengan rakyat, jurang ekonomi melalui bantuan yang disalurkan dan peluang rakyat pelbagai kaum untuk berkumpul bersama-sama.”

“Usaha Tuanku Raja Muda membawa masyarakat ke rumah ibadat yang berbeza dapat membantu kita lebih memahami tentang kepelbagaian agama sekali gus memperkukuh semangat saling menghormati antara satu sama lain. Inilah momen perpaduan yang perlu kita perbanyakkan.”

Menurut beliau lagi, pengalaman beliau dalam program selama dua jam yang disertai ini memperlihatkan usaha Tuanku Raja muda yang bukan sekadar menyantuni masyarakat tetapi turut menggerakkan jentera yang melibatkan ketua jabatan supaya dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh rakyat

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-3 bagi tahun 2023 mengiringi Tuanku Raja Muda dan turut disertai oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berbahagia Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim.

 

Dalam program yang sama, baginda yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut berkenan singgah ke rumah asnaf terpilih bagi menyampaikan sumbangan MAIPs. Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Tan Kim Bee, 55 dari Kampung Teluk Kacang, Kangar yang berketurunan Siam selain singgah bertanya khabar menerima taklimat di beberapa buah rumah ibadat masyarakat setempat, termasuklah Gereja Baptist Perlis, Gurudwara Sahib Kangar, Tokong Sayur Kangar dan juga Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam, Kangar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.