20 Disember 2022, 23:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada era ini, pendidikan merupakan aspek yang sangat dititikberatkan oleh setiap individu. Bahkan ketika pandemik COVID-19 melanda Malaysia, seluruh masyarakat, khususnya para pelajar tidak terlepas daripada menuntut ilmu meskipun pembelajaran harus dijalankan secara dalam talian. Hal ini membuktikan bahawa menuntut ilmu amat dituntut bagi setiap individu walau dalam pelbagai cara sekalipun terutama bagi mereka yang beragama Islam.

Ketika pandemik COVID-19, para pelajar tidak terlepas mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ilmu ditakrifkan sebagai pengetahuan dalam  perkara dunia, akhirat, batin dan lain-lain. Menurut konteks Islam, definisi ilmu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu ilmu sebagai sesuatu yang berasal daripada Allah dan sebagai sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Ibn Majah). Dalam hadis tersebut, dapat ditafsirkan bahawa setiap Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita diwajibkan untuk menambah ilmu pengetahuan. Imam Syafii juga pernah berpesan, “Belajarlah kerana tidak ada yang lahir dalam keadaan berilmu.” Perkara ini turut disokong oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis riwayat Muslim). Hal ini jelas menunjukkan bahawa pentingnya ilmu dalam diri seseorang individu tersebut sehingga dijanjikan syurga bagi mereka yang mencarinya.

Namun begitu, pada masa ini isu berkenaan ilmu pengetahuan sering dihubungkaitkan bersama dengan adab dalam kalangan pelajar kerana dalam media sosial terdapat banyak isu yang berkaitan dengan pelajar yang tidak beradab. Misalnya, terdapat sebuah rakaman video yang tular berkaitan tindakan seorang pelajar sekolah yang membuang buku ke dalam sungai sempena meraikan tamatnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menerusi rakaman video, pelajar itu dilabelkan sebagai tidak beradab kerana tidak menghormati ilmu yang telah dipelajarinya.

Selain itu, terdapat juga berita yang memaparkan seorang graduan universiti yang bersikap kurang beradab ketika berlangsungnya sidang konvokesyen di sebuah universiti awam di Malaysia. Hal ini sekali gus telah menunjukkan bahawa adab dalam diri pelajar merupakan suatu isu yang perlu diberikan perhatian lantaran masih terdapat sesetengah individu yang menganggap pelajar yang berilmu sudah tentu mempunyai adab yang baik. Namun begitu, pada hakikatnya masih ramai individu yang kaya dengan ilmu pengetahuan tetapi masih kurang dari segi adab.

Kamus Dewan Edisi Keempat menerangkan bahawa adab secara umumnya dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku serta tutur kata yang halus, iaitu sopan, budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Dalam konteks agama Islam pula, adab dikatakan berasal daripada dua sumber, iaitu al-Quran dan sunah. Kedua-dua sumber ini merupakan panduan bagi setiap umat Islam dalam menjalani kehidupan agar menjadi individu yang lebih beriman dan berakhlak. Tambahan pula, adab sering dikaitkan dengan ilmu pengetahuan. Perkara ini selaras dengan pesanan daripada Yusuf bin al-Husain yang bermaksud, “Dengan mempelajari adab, maka engkau jadi mudah memahami ilmu.” Kata-kata tersebut jelas menunjukkan bahawa ilmu dan adab saling berkaitan antara satu sama lain dan harus diseimbangkan dalam diri seseorang individu terutama dalam diri pelajar.

Terdapat dua kepentingan utama yang dapat dilihat apabila seseorang pelajar menyeimbangkan antara ilmu dengan adab. Pertama, pelajar tersebut akan mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Keberkatan ilmu yang dibahaskan ini berkaitan rapat dengan sikap beradab yang ditunjukkan oleh pelajar tidak kira terhadap guru-guru yang telah mendidik mereka atau terhadap ilmu yang telah dipelajari oleh mereka. Sebagaimana yang diketahui, dalam menuntut ilmu sikap beradab seperti menghormati guru merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut konteks Islam, keberkatan ilmu dan keredaan Allah akan diperoleh pelajar apabila beradab dengan guru atau para pendidik mereka.

Sikap menghormati guru ini telah dipamerkan oleh para fuqaha sejak dahulu lagi. Misalnya melalui satu kisah Imam Syafii yang menghormati gurunya, iaitu Imam Malik sewaktu menuntut ilmu bersama-sama beliau. Kisah tersebut menceritakan berkenaan Imam Syafii yang dikatakan tidak berani untuk menyelak helaian kitabnya kerana dikhuatiri akan mengganggu pengajaran gurunya. Perkara ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Belajarlah kamu semua, dan mengajarlah kamu semua, dan hormatilah guru-gurumu, serta berlaku baiklah terhadap orang yang mengajarkanmu.” (Hadis riwayat al-Tabarani). Melalui hadis ini, dapat dilihat bahawa sikap menghormati guru merupakan keutamaan untuk mendapat keberkatan ilmu.

Seseorang pelajar yang menyeimbangkan ilmu dan adab akan mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.

Sikap beradab terhadap ilmu pula dapat dilihat apabila pelajar mengamalkan ilmu yang mereka pelajari. Apabila seseorang pelajar itu mengamalkan ilmu yang dipelajari, maka sikap yang baik dalam diri mereka akan dapat dibentuk. Hal ini disebabkan dengan mengamalkan ilmu, sikap berbangga diri akan dapat dicegah. Menurut Malik bin Dinar dalam kitab Hilyah al-Auliya’, “Jika seseorang hamba mempelajari suatu ilmu dengan tujuan untuk diamalkan, maka ilmu itu akan membuatkannya semakin merunduk. Namun begitu, jika seseorang mempelajari ilmu bukan untuk diamalkan, maka perbuatan itu hanya akan membuatkannya semakin sombong.”

Selain itu, pelajar yang mengamalkan ilmu akan dapat memberikan manfaat terhadap individu lain seperti yang dinyatakan oleh Wahab bin Munabbih dalam kitab Hilyah al-Auliya’, “Permisalan orang yang memiliki ilmu lantas tidak diamalkan adalah seperti seorang doktor yang memiliki ubat, namun dia tidak berubat dengannya.” Tambahan lagi, sikap mengamalkan ilmu ini sememangnya dituntut lantaran ganjaran pahala yang akan diperoleh bagi umat Islam. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa mengajarkan suatu ilmu, maka dia mendapat pahala daripada orang-orang yang mengamalkannya dengan tidak mengurangi sedikitpun pahala orang yang mengerjakannya itu.” (Hadis riwayat Ibn Majah). Oleh itu, jelaslah bahawa resepi kejayaan sebenar seseorang pelajar datangnya daripada rasa hormat yang dipamerkan kepada guru serta terhadap ilmu yang mereka pelajari sekali gus dapat mewujudkan keseimbangan adab dan ilmu dalam diri mereka.

Kedua, kepentingan menyeimbangkan ilmu dan adab dalam diri pelajar adalah bagi melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis. Pelajar yang seimbang dan harmonis dilihat amat mementingkan aspek ilmu dan adab dalam kehidupan mereka. Hal ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu “Pendidikan di Malaysia merupakan satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

Melalui pernyataan tersebut, dapat dilihat dengan jelas bahawa setiap aspek yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan berpaksikan prinsip ketuhanan, iaitu penguasaan ilmu yang tidak boleh bertentangan dengan aspek keagaaman. Dalam hal ini juga, setiap aspek seharusnya saling berkaitan antara satu sama lain. Misalnya, aspek intelek, iaitu ilmu pengetahuan berkaitan rapat dengan aspek rohani yang merujuk akhlak yang terpuji atau adab yang perlu diberikan perhatian dalam diri setiap pelajar. Sebagai contoh, sejak berada di bangku sekolah rendah lagi, pelajar telah didedahkan dengan adab menuntut ilmu yang merupakan antara perkara penting dalam bidang pendidikan.

Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Belajarlah kalian ilmu untuk ketenteraman dan ketenangan serta rendah hatilah pada orang yang kamu belajar daripadanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani). Hadis tersebut menunjukkan bahawa menuntut ilmu dengan rendah hati merupakan adab yang perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar. Tambahan lagi, ilmu yang dipelajari tersebut tidak akan bermakna tanpa unsur rohani, iaitu adab dalam kehidupan seseorang individu. Oleh itu, jelaslah bahawa keseimbangan antara ilmu dengan adab amat penting untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis.

Secara keseluruhannya, ilmu dan adab sememangnya perlu diseimbangkan kerana mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam diri setiap individu, khususnya pelajar. Kedua-dua aspek ini sepatutnya berdampingan dan tidak boleh dipisahkan, bahkan saling melengkapi antara satu sama lain. Jika satu daripadanya tidak diberikan perhatian, maka berlakulah ketidakseimbangan dalam diri seseorang individu tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang berilmu tanpa adab dalam diri akan menjadi sombong dengan ilmu yang dimilikinya, manakala individu yang beradab pula tidak dapat memberikan manfaat jika tidak disertakan dengan ilmu. Oleh itu, setiap individu terutama pelajar seharusnya mempelajari ilmu pengetahuan tanpa mengetepikan adab disebabkan kedua-dua aspek ini perlu berjalan seiring bertepatan dengan pesanan Abu Zakariya al-Anbari, “Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar dan adab tanpa ilmu seperti jasad tanpa roh.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.