Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) komited melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa bersama Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) Indonesia dengan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) secara bersama di Kompleks Pentadbiran Negeri Perlis pada pagi ini.

Pengurusan Tertinggi KUIPs bersama-sama delegasi dari Universitas Muhammadiyah Riau, Indonesia.

UMRI yang dalam rangka lawatan mengadakan Kunjungan Hormat ke KUIPs telah mencapai kata sepakat untuk memeterai persefahaman tersebut sebagai satu langkah dalam merealisasikan hasrat untuk melaksanakan projek penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu melalui persidangan dan seminar antarabangsa termasuklah program pertukaran pelajar yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Dalam majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan untuk menyaksikan upacara menandatangani MoU tersebut bersama-sama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. merangkap Mufti Negeri Perlis Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs), YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) KUIPs; Rektor KUIPs, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle serta delegasi Pengurusan Tertinggi KUIPs dan Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat UMRI bersama delegasi mereka.

Antara bidang kerjasama lain yang telah dipersetujui oleh KUIPs dan UMRI melalui MoU ini adalah perkongsian kepakaran melalui program pembangunan dan pertukaran staf akademik dan bukan akademik, menjadi rakan kerjasama bagi program penyelidikan dan perundingan, menerbitkan bahan penyelidikan, buku dan jurnal, menjalankan program khidmat masyarakat serta kerjasama lain yang akan dibincangkan kelak. Kerjasama ini juga dijangka menyokong pembangunan pakar bidang bagi kedua-dua pihak untuk membangunkan serta memperkasakan usaha-usaha pendidikan dan penyelidikan secara khusus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.