Oleh Nur Saadah Khair
24 November 2022, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak dinafikan bahawa para agamawan dan ilmuwan di Nusantara dipelopori oleh kaum lelaki. Namun begitu, terdapat beberapa wanita yang memberikan sumbangan terhadap tradisi kelimuan di Kepulauan Melayu bermula pada akhir abad ke-19, dan kemunculan ulama wanita semakin berkembang sehingga kini. Antara ulama wanita yang terawal dan dikitiraf kelimuannya ialah Wan Fatimah al-Kalantani, dan beliau mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta menyumbang dalam penyebaran ilmu di bumi Nusantara.

Latar belakang Wan Fatimah

Nama penuh beliau ialah Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan al-Kalantani bin Abdul Ghafur bin Syeikh Izzuddin. Beliau merupakan anak kepada seorang ulama hebat, iaitu Syeikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan yang disegani di seluruh Nusantara. Ibunya bernama Aishah binti Wan Muhammad Salleh al-Fatani yang merupakan adik-beradik kepada Wan Cik binti Wan Muhammad Salleh al-Fatani, iaitu ibu kepada Syeikh Ahmad Fatani. Maka itu, beliau ialah sepupu kepada Syeikh Ahmad Fatani.

Menurut tokoh pengkaji sejarah dan agama kelahiran Riau yang telah berhijrah ke Malaysia sejak tahun 1988, Wan Mohd. Shaghir Abdullah, datuk nenek Wan Fatimah daripada pihak ibunya berketurunan Syeikh Safiyuddin al-Abbasi, iaitu keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu’tasim billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan kemudian berpindah ke Patani. Syeikh Safiyuddin al-Abbasi bersama-sama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa’id berjaya mengislamkan Raja Antira yang merupakan Raja Patani ketika itu. Islam berkembang dengan baik di Patani, dan seterusnya ke Kelantan.

Di Kelantan, jumlah ulama wanita pada abad ke-19 tidak dicatatkan. Malah tarikh lahir dan meninggal bagi Wan Fatimah al-Kalantani juga tidak direkodkan di mana-mana catatan. Namun begitu, jika bapanya meninggal dunia pada tahun 1913, berkemungkinan Wan Fatimah al-Kalantani dilahirkan pada akhir abad ke-19 dan hidup pada abad ke-20.

Wan Fatimah al-Kalantani merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang kesemuanya perempuan kecuali seorang sahaja lelaki, iaitu Wan Abdul Rahman. Saudara lelaki beliau ialah sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan yang banyak memberikan sokongan agar Wan Abdul Rahman memberikan sumbangan ilmu melalui penulisan. Wan Abdul Rahman berjaya menghasilkan tiga buah karya. Pertama, Seribu Satu Malam yang diterbitkan atas permintaan Datuk Nik Mahmud di Kelantan. Kedua, Syair Sifat Dua Puluh, iaitu naskhah yang terdiri daripada 50 bait syair dalam bahasa Melayu. Karya beliau yang ketiga bertajuk Syair Nasihat mengandungi 40 bait syair yang juga dalam bahasa Melayu. Ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Menurut Wan Mohd. Shaghir Abdullah lagi, beliau pernah membaca karya-karya tersebut semalam suntuk di rumah cucu Syeikh Wan Ali Kutan di Kampung Kutan pada tahun 1995.

Perkahwinan dan keluarga

Wan Fatimah dijodohkan dengan saudara sepupunya, seorang ulama besar Patani, iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani (1860-an – 1936) yang lebih dikenali sebagai Tok Daud Khatib. Suaminya merupakan satu daripada guru kepada Tok Kenali yang terkenal dengan kepakaran ilmu agamanya. Perkahwinan Wan Fatimah dan Tok Daud Khatib dianugerahkan dua orang cahaya mata.

Anak pertama beliau ialah Haji Wan Abdul Qadir yang pernah menjadi Penggawa di Pasir Mas, Kelantan. Beliau menerima ijazah amalan Lum’at al-Aurad daripada ibunya, dan Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Makkah.

Himpunan Wirid dan doa  amalan yang dibukukan, iaitu Kitab Lum’at al-Aurad.

Anak kedua Wan Fatimah bernama Tuan Guru Haji Wan Mahmud yang pernah berkhidmat di Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan dan juga merupakan seorang guru di Maahad al-Muhammadi Kelantan sekitar tahun 1930-an. Beliau juga aktif menulis dalam majalah dan menghasilkan beberapa buah buku, antaranya termasuklah Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan, yang telah diselesaikan penulisannya di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358H/1 Jun 1939M.

Tidak dicatatkan jumlah cucu beliau, namun menurut Wan Mohd. Shaghir Abdullah, salah seorang cucu Wan Fatimah al-Kalantani ialah Wan Khadijah binti Haji Abdul Qadir yang telah membina pusat pendidikan tahfiz bersama-sama suaminya Abdul Rahman bin Abdul Samad. Sekolah tersebut diberi nama Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hilmiah di Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan.

Wanita alim di Kota Makkah

Wan Fatimah ialah satu daripada wanita alim dan kuat beramal dalam keluarga besar ulama Patani dan Kelantan pada zamannya. Aktiviti ibadat yang dilakukan adalah membaca al-Quran, berwirid, berzikir, dan berselawat. Beliau menuntut ilmu secara langsung dengan bapanya sendiri.

Menurut beberapa catatan, bapanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan telah berjaya mendidik dan mengajar murid-muridnya sehingga mereka berjaya mempunyai kepakaran tersendiri dan menjadi ilmuan yang terkemuka di seluruh Nusantara. Antara ulama yang pernah berguru dengan beliau termasuklah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zayn al-Fatani, Syeikh Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali), Syeikh Uthman bin Haji Muhammad (Tok Bachok), Syeikh Ismail bin Haji Senik (Tok Kemuning), termasuklah anaknya Wan Fatimah yang menjadi wanita alim.

Wan Fatimah juga mengembara demi ilmu hingga ke Makkah dan menetap di sana beberapa ketika. Di sana, beliau aktif mengajar dan menyampaikan ilmu. Sebahagian besar wirid ayahnya terutama amalan-amalan yang termaktub dalam Lum’at al-Awrad yang bersambung sampai kini diijazahkan oleh Wan Fatimah. Kitab Lum’at al-Awrad diterbitkan pada 1311H/1894M dan telah diulang cetak beberapa kali pada tahun berikutnya. Kitab ini terkandung selawat, wirid dan pelbagai doa, serta banyak diamalkan oleh para ulama secara rutin kerana keberkesanannya dalam kehidupan harian. Banyak ulama yang menerima ijazah daripada Wan Fatimah untuk mengamalkan wirid dan doa seperti yang ditekankan dalam kitab ini.

Walaupun Wan Fatimah tidak menghasilkan karya atau penulisan sendiri, namun beliau bertanggungjawab ke atas penerbitan karya bapanya seperti al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, Zahratul Murid fi `Aqa’id al-Tauhid, Lum’at al-Awrad, Majma’ al-Qasaid wa al-`Awaid dan beberapa buku yang lain. Karya bapanya yang dihasilkan sama ada telah diterbitkan mahupun tidak diterbitkan telah membuktikan ketinggian ilmu beliau dalam bidangnya. Dikatakan bahawa amalan yang termaktub dalam karya bapanya telah diijazahkan kepada Wan Fatimah untuk disampaikan kepada orang lain.

Dari Kota Makkah ke Kota Bharu

Setelah bertahun-tahun di Kota Makkah, beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan mengikut suaminya, iaitu Tok Daud Khatib al-Kalantani. Menurut Wan Mohd Saghir, perpindahan mereka ke Kelantan adalah disebabkan pelaksanaan tugas bagi mendirikan syarikat pencetakan dan penerbitan bagi menyebarluaskan pelbagai jenis kitab ke seluruh alam Melayu. Kembalinya Wan Fatimah dan suaminya di Kelantan menyemarakkan lagi proses penyebaran ilmu dengan penghasilan penerbitan manuskrip Jawi yang mengandungi ilmu-ilmu agama untuk kegunaan di pusat-pusat pengajian.

Secara kesimpulannya, Wan Fatimah al-Kalantani merupakan satu-satunya ulama wanita yang disenaraikan oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah dalam karyanya, Koleksi Ulama Nusantara. Hal ini menunjukkan sumbangan besar Wan Fatimah al-Kalantani telah diiktiraf dalam tradisi keilmuan selari dengan ulama lain yang sezaman dengan beliau yang majoritinya adalah lelaki. Kewujudan ulama wanita amat penting bagi melahirkan generasi yang meneruskan kecintaan terhadap ilmu. Hal tersebut juga bertujuan untuk menyambung sejarah Islam yang telah mengiktiraf golongan wanita sebagai ilmuwan yang menyumbang dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.