10 November 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam- Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang bakal memperlihatkan ramai golongan muda  keluar mengundi, iaitu pada 19 November 2022. Hal ini berikutan pengundi yang berumur 18 tahun telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai golongan yang layak mengundi dan telah berkuat kuasa sejak 15 Disember tahun lalu.

Bersempena dengan PRU15 yang akan diadakan tidak lama lagi, program Wacana Al-Quran telah mengadakan forum politik berteraskan pegangan Islam yang bertajuk “Undi Gen XYZ”. Forum ini dipimpin oleh moderator, Saudara  Khairul Haffiz Abd Halim dengan tiga ahli panel, iaitu Dr. Muhammad Razak Idris, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga selaku Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), panel kedua, Saudara Ahmad Farhan Rosli, Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia, dan panel ketiga, al- Fadil Ustaz Zainur Irsyadi yang juga merupakan naib johan tilawah al-Quran peringkat Negeri Sembilan 2020.

Forum “Undi Gen XYZ” ini dimulakan dengan bacaan Surah al-Tur ayat ke-21 dan Surah al-Anbiya’ ayat ke-59 yang dialunkan oleh Ustaz Zainur Irsyadi Zainal. Kedua-dua ayat daripada surah tersebut menjadi sandaran perbincangan forum pada kali ini.

Menurut Dr. Muhammad Razak Idris,  generasi muda pada masa kini  perlu melibatkan diri dalam proses memilih kepimpinan (mengundi) kerana amalan pemilihan pemimpin merupakan satu struktur yang penting dalam membangunkan tamadun kehidupan orang Islam. Beliau berpendapat bahawa politik keimanan harus berteraskan nilai-nilai mulia berlandaskan ajaran al-Quran yang boleh membawa masyarakat kepada suatu kehidupan yang penuh dengan kesejahteraan, kemakmuran, kesaksamaan, rahmah, prinsip keadilan dan kebajikan. Antara nilai-nilai utama yang perlu ada dalam arena politik dan kepimpinan termasuklah rahmah, ehsan dan amanah.

… untuk kita menjayakan suasana masyarakat yang beriman, salah satu terasnya  ialah kepimpinan yang utuh,” tegasnya lagi semasa penerangan forum “Undi Gen XYZ” yang ditayang menerusi Facebook langsung Wacana Al-Quran. 

Tambah Ustaz Zainur Irsyadi pula, golongan muda perlu menjalankan tanggungjawab keluar mengundi kerana hal ini merupakan satu amanah untuk memilih kepimpinan politik berteraskan iman bagi memimpin negara.

Saudara Ahmad Farhan Rosli mengulas isu ini dengan mengatakan bahawa pelibatan generasi muda untuk mengundi pada PRU15 akan datang disebabkan oleh kesedaran kenegaraan dan bukti kecintaan terhadap negara. Menurutnya lagi, keterlibatan generasi muda dalam politik ini bukan hanya untuk memilih pemimpin semata-mata, malah untuk melihat negara ini maju ke hadapan serta memastikan hak atau kewajipan sebagai seorang rakyat dipenuhi dalam keadaan yang harmoni.

“Kecintaan kepada negara itu adalah sebahagian daripada iman,” katanya ketika berhujah. Tambah beliau lagi, golongan pemuda kini menginginkan politik perubahan, politik kemanusiaan, politik polisi, dan politik khidmat yang membawa kepada pembangunan dan keharmonian.

Pada penghujung forum, Dr. Muhammad Razak Idris menyimpulkan bahawa sesungguhnya undi merupakan suatu proses bagi mengelakkan sebarang bentuk kemudaratan dan kerosakan yang boleh membawa kepada runtuhnya nilai-nilai keimanan.

Tegas beliau, “ Undi kita amat berharga untuk menegakkan perkara makruf dalam masyarakat dan memastikan negara kita kembali kepada idealisme yang dipanggil negara yang dirahmati dan mendapat kesempurnaan Ilahi.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.