Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Program Sesi bersama-sama Editor Majalah Dewan Tamadun Islam (DTI) pada pagi ini mendapat sambutan ramai. Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Webex tersebut merupakan anjuran bersama antara Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diikuti hampir 80 orang peserta daripada pelbagai latar belakang. Hal ini memperlihatkan kelebihan program yang dianjurkan secara dalam talian kerena para peserta dapat mengikutinya walau di mana-mana mereka berada.
Menurut Yang Berusaha Dr. Shukri Hanapi selaku moderator program tersebut, para peserta yang mengikuti program ini terdiri daripada warga ISDEV, USM dan penulis umum. Program ini didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah ISDEV, iaitu Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan. Menurut beliau, untuk menhasilkn sesuatu penulisn perlu ada faktor penolakan yang mendorong seseorang untuk menulis. Baliau berkongsi pengalaman sewaktu dalam tempoh pengajian doktor falsafah, beliau telah dipaksa untuk menulis artikel dan perlu dihantar ke mana-mana syarikat penerbitan untuk disiarkan. Rentetan daripada itu, beliau menyarankan agar anak didik di ISDEV mengikut langkah yang sama.
Slot pertama merupakan sesi taklimat daripada Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Yang Berusaha Dr. Rosmani Omar. Dalam penjelasannya, Dr. Rosmani menegaskan bahawa:
Kita menerima banyak karya pada setiap hari. Jadi, seboleh mungkin, kita cuba mengelakkan dari menyiarkan karya daripada penulis yang sama. Dengan cara ini, lebih banyak karya penulis-penulis lain dapat disiarkan.
Demikian menurut beliau yang turut menerangkan tentang portal JendelaDBP yang menempatkan majalah dalam bentuk digital dan pengisian yang terdapat dalam portal tersebut.
Sesi selanjutnya diteruskan oleh editor majalah DTI, Puan Siti Zubaidah Sekak. Penyampaian beliau lebih berbentuk “santai tapi sampai” itu memberikan banyak ilmu dan maklumat kepada penulis dan bakal penulis. Secara umumnya, editor DTI memberikan menekankan terhadap penggunaan laras bahasa yang sederhana berbanding laras bahasa tinggi khususnya penggunaan istilah bahasa Arab bagi memudahkan pemahaman khalayak pembaca majalah DTI. Beliau juga menyatakan bahawa konsep yang diterapkan dalam majalah DTI kini lebih ringan dan bacaan santai untuk khalayak. Semoga program bermanfaat seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih meluas pada masa akan datang. Diharapkan penulis dan bakal penulis dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh melalui perkongsian ini bagi melahirkan penulis yang berjaya dalam usaha dakwah melalui penulisan.