28 Oktober 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu (pemimpin) menjalankan hukum antara manusia, jatuhkanlah hukuman secara saksama. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pemberi pedoman. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(Surah Ali ‘Imran 3: 58)

Pada 10 Oktober 2022, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Parlimen Malaysia ke-14 dibubarkan. Pada 20 Oktober 2022, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya ke-15 adalah pada 5 November, dan tarikh mengundi pada 19 November 2022.

Pilihan raya memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih kepimpinan negara. Tanggungjawab memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri kini diserahkan kepada rakyat. Wakil-wakil yang dipilih dirujuk sebagai wakil rakyat, iaitu orang-orang yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Selepas berakhirnya pilihan raya, kumpulan yang mendapat sokongan majoriti akan diberikan peluang untuk menyembahkan cadangan kepada Raja Pemerintah, menyampaikan hasrat mereka untuk mencalonkan seorang wakil menjadi ketua kerajaan, selanjutnya membentuk kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun peringkat negeri. Ketua kerajaan yang diperkenankan lantikannya dan kerajaan yang diperkenankan pembentukannya akan mengambil tanggungjawab mengurus tadbir negara ataupun negeri, untuk dibangunkan dan dimajukan, dengan harapan dapat melimpahkan nikmat kebahagiaan, kesejahteraan dan kesentosaan kepada rakyat jelata.

Islam memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan oleh ummah. Meskipun al-Quran dan hadis tidak memperincikan kaedah atau cara memilih pemimpin, tetapi al-Quran dan hadis serta para sarjana Islam telah memberikan gambaran tentang siapa yang seharusnya dipilih dan seterusnya ditaati, serta syarat yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin.

Pemimpin bermaksud orang yang memiliki kemahiran membina dan membangunkan orang lain. Pemimpin berkeupayaan menunjukkan panduan untuk mencapai matlamat dan mendorong pengikut melaksanakan tanggungjawab. Peranan dan tanggungjawab pemimpin lebih luas daripada pengurus, kerana pemimpin berusaha mempengaruhi gelagat seseorang insan atau kumpulan. Pemimpin yang baik lagi berkesan ialah pemimpin yang senantiasa berhubung rapat dengan pengikutnya.

Pemimpin yang dipilih dan dilantik mestilah mempunyai kemahiran membina dan membangunkan kemahiran orang lain.

Mengikut takrif para sarjana Islam, pemimpin dapat diertikan sebagai seseorang yang dilantik untuk menerajui suatu kepimpinan urusan pentadbiran awam, ataupun organisasi kemasyarakatan, dengan matlamat membawa kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Menurut pandangan sarjana Barat pula, pemimpin membawa erti seseorang yang dilantik atau wujud dalam suatu kumpulan yang dia berupaya mempengaruhi orang yang dipimpinnya untuk mencapai suatu matlamat bersama dan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya.

Menurut Imam al-Mawardi, selepas kewafatan Rasulullah SAW, penentuan sistem pemerintahan sesebuah negara merupakan kewajipan ummah dalam aspek menguruskan hal ehwal negara, menjaga kemurnian agama dan mengatur urusan ummah. Menurut al-Mawardi, pemimpin hendaklah berupaya membawa manusia lebih dekat kepada kemaslahatan (atau faedah) dan jauh daripada kebinasaan. Seorang pemerintah hendaklah bersifat tawaduk, adil dan saksama agar menjadi contoh teladan kepada rakyat jelata. Keadilan tidak hanya tertumpu kepada umat Islam, malahan semua rakyat yang berbilang agama dan kaum. Suri teladan pemerintah yang baik juga menjadi cerminan terhadap ketinggian akhlak rakyat jelata sesebuah negara bangsa.

Budaya politik yang sihat amat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat. Tujuan diadakan pilihan raya adalah untuk membolehkan rakyat memilih dan menyerahkan amanah kepada insan pilihan mereka. Calon-calon dibenarkan berkempen untuk memperkenalkan diri, sementara parti-parti politik akan memperkenalkan kepada rakyat manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika mereka diberikan peluang memerintah.

Lebih 21 juta rakyat layak dan berdaftar sebagai pengundi dalam Pilihan Raya ke-15. Lebih 10.7 juta pengundi berusia bawah 39 tahun, iaitu hampir 51 peratus pengundi. Daripada angka tersebut, hampir 1.5 juta orang, iaitu menghampiri 7 peratus pengundi berada dalam usia 18 ke 20 tahun. Hanya 18 peratus pengundi yang berada dalam kumpulan usia 60 tahun ke atas.

Dalam tempoh berkempen, calon, penyokong dan petugas parti diingatkan agar tidak mengamalkan budaya rasuah untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Oleh itu, umat Islam diperingatkan tentang perkara berikut:

Pertama: Penuhilah tanggungjawab untuk mengundi. Mengundi merupakan tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar rakyat melakukannya.

Kedua: Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.

Ketiga: Para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan dengan memberikan masa yang cukup dan membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi.

Keempat: Anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran agar menyempurnakan tanggungjawab mengundi dan mengundi dengan bertanggungjawab.

Dalam tempoh berkempen, calon, penyokong dan petugas parti dipesan agar mematuhi atau menghormati perkara yang berikut:

Pertama: Tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik sehingga menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

Kedua: Tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah demi mendapatkan sokongan pengundi kerana dibimbangi calon yang menggunakan pengaruh rasuah atau memberikan rasuah untuk mendapatkan sokongan akan mengamalkan sikap menerima rasuah apabila diserahkan amanah dan kuasa.

Ketiga: Tidak melakukan dosa menyebarkan fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen.

Keempat: Tidak memperdayakan rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang tidak dapat dikotakan, dan akhirnya rakyat berasa tertipu.

Kelima: Tidak melakukan perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau-bilau, atau mencetuskan sengketa mengganggu dan mengugut pihak lawan.

Keenam: Tidak menggunakan masjid, surau dan institusi agama Islam sebagai tempat berkempen.

Ketujuh: Mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan para petugas, antaranya termasuklah Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam, Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai Masjid dan Surau, serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Kurniai kami keadaan aman dan tenteram sepanjang tempoh negara menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. Kurniai kami cuaca yang baik agar membolehkan kami tidak menghadapi masalah untuk pergi mengundi. Berikanlah kami petunjuk dan pedoman agar kami dapat memilih pemimpin yang akan mengemudi nasib negara ini menuju keredaan-Mu, dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan keberkatan.

Ya Sami‘ Ya Basir! Limpahi semangat kesabaran dan ketabahan, kekuatan dan kegigihan kepada hamba-Mu yang ditugaskan mengendalikan pelbagai urusan pilihan raya, agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secara adil, saksama, telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat 28 Oktober 2022 bertajuk “Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah kepada Negara)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.