Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMutakhir ini, isu melibatkan penghinaan terhadap Islam semakin berleluasa dan seakan-akan tidak berkesudahan sehinggakan pelakunya dengan berani melakukan penghinaan secara terbuka di hadapan khalayak umum dalam majlis tertentu. Isu demikian jelas membuktikan bahawa keruntuhan akidah dan akhlak dalam kalangan generasi muda Islam kini semakin kritikal. Hal ini dibuktikan pula dengan pelakunya itu sendiri merupakan individu yang beragama Islam. Oleh sebab itu, isu ini perlu diselesaikan dengan tindakan segera berpandukan akal dan emosi yang rasional serta berhikmah agar tidak menjadi amalan kebiasaan mempersenda dan menghina Islam dalam kalangan generasi muda Islam akan datang.
Rentetan daripada isu ini, proses pengayaan dan pengukuhan nilai pendidikan agama pada peringkat pendidikan rendah dan pendidikan tinggi perlu dipertingkatkan keberkesanan pelaksanaannya dengan harapan generasi muda Islam akan datang lebih memahami, menghayati dan mendalami ajaran Islam yang sebenar, seterusnya dapat mengamalkannya dalam kehidupan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana segelintir ibu bapa seolah-olah tidak mengutamakan pendidikan keagamaan dan lebih cenderung mengutamakan pendidikan umum untuk anak-anak. Oleh sebab itu, semua pihak perlu bertindak segera mengambil inisiatif yang lebih drastik dalam melaksanakan proses pengayaan dan pengukuhan pendidikan agama generasi muda Islam kini.
Tidak dinafikan bahawa banyak usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk melaksanakan program ke arah memperkukuh akidah dan akhlak generasi muda Islam masa ini. Mereka perlu mempelbagaikan penganjuran program bermatlamat ke arah memperkukuh akidah dan akhlak di samping kekerapan penganjuran program merangkumi pendidikan peringkat rendah, peringkat tinggi juga peringkat umum yang menyasarkan penglibatan ibu bapa dan anak-anak. Dengan erti kata lain, program yang dianjurkan tidak hanya berkonsepkan dakwah tradisional semata-mata, tetapi hendaklah digabung jalin dengan konsep dakwah konvensional yang menepati cita rasa semasa dengan pengisian kepelbagaian aktiviti yang menarik minat sasaran untuk menyertainya dengan rela hati.
Sementara itu, ibu bapa juga perlu berkerjasama membantu pihak pendidik bagi meneruskan kelangsungan proses pengayaan dan pengukuhan agama ketika anak-anak berada di rumah. Rumah sepatutnya menjadi tempat pertama dan utama anak-anak mendapatkan didikan pengetahuan agama. Meskipun kebanyakan ibu bapa telah menyerahkan amanah tersebut kepada pihak pendidik, tetapi proses pengayaan dan pengukuhan haruslah dilakukan oleh ibu bapa ketika anak-anak berada di rumah sebagai kesinambungan pembelajaran anak-anak di sekolah. Tidak dinafikan segelintir ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak pendidik. Namun begitu, kepercayaan itu tidak akan mencapai matlamatnya jika ibu bapa tidak membantu anak-anak mengamalkan nilai keagamaan di rumah.
Misalnya, ibu bapa sentiasa melakukan ibadat solat secara berjemaah bersama anak-anak di rumah ataupun di masjid. Mesikpun amalan sedemikian kelihatan begitu mudah, tetapi sudah pasti sukar bagi segelintir ibu bapa untuk mengamalkannya dengan alasan mereka juga kurang ilmu pengetahuan agama. Hal demikian bukanlah alasan bagi ibu bapa untuk menidakkan amalan solat berjemaah disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan agama, sebaliknya cuba berusaha untuk menambahkan pengetahuan ilmu agama demi anak-anak dan keluarga yang tercinta. Pada hakikatnya, solat berjemaah bersama-sama keluarga membawa impak yang besar terhadap pengukuhan akidah dan akhlak anak-anak. Antaranya mereka dapat memahami, menghayati dan mendalami konsep kepatuhan manusia sebagai hamba yang patuh akan perintah Allah SWT, di samping dapat membentuk disiplin diri dengan menepati masa yang telah ditetapkan untuk beribadat.
Oleh itu, tidak seharusnya semua pihak saling menuding jari menyalahkan pihak lain kerana semua pihak perlu bertanggungjawab menyelesaikan isu ini dengan rasional dan sebaiknya. Tidak perlulah mencari punca isu sehingga boleh menimbulkan lebih banyak fitnah. Cukuplah semua pihak berkerjasama mencari alternatif dan inisiatif terbaik agar isu yang sama tidak berulang kembali bagi generasi muda Islam akan datang. Serahkanlah isu ini kepada pihak yang telah diberikan amanah untuk menyelesaikannya agar terhindar daripada fitnah ekoran emosi yang tidak rasional sehingga melemparkan kata-kata kesat dalam media sosial. Mempertahankan Islam daripada penghinaan biarlah dengan akal dan emosi yang rasional serta berhikmah agar dakwah Islam itu jelas tersebar bukan melalui mata pedang.
Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya dan menyelesaikan setiap masalah ummah yang berlaku dengan akal dan emosi yang rasional. Ketahuilah bahawa setiap kekuatan itu pasti ada tersembunyinya kelemahan yang tidak disedari. Begitulah juga dengan diri kita yang telah mengakui mempelajari ilmu pengetahuan agama yang tinggi sekali pun belum tentu lagi mampu untuk mengamalkannya dalam kehidupan harian. Perkara yang paling penting adalah terus istiqamah melakukan ibadat, seterusnya mengajak rakan-rakan lain terus mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan harian.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah dan rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Surah al-Ahzab 33:57).