17 Oktober 2022, 19:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) telah dilaksanakan dengan jayanya  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan DBP Wilayah Timur.  Ceramah ini diadakan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan dan dihadiri oleh lebih 250 orang peserta dalam kalangan pelajar, pensyarah, pegawai pendidikan dari Institut Pendidikan Guru (IPG), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pegawai awam dari Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) serta orang awam. Program Ceramah Umum JKTBM pada kali ini telah mengundang penceramah khas dalam kalangan ahli JKTBM, iaitu Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Fauzilahyatun  Mustafa sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan program Ceramah Umum JKTBM.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya berkata, “Ceramah ini merupakan satu daripada usaha DBP untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM. Secara tidak langsung, ceramah ini menjadi wadah utama dalam memaklumkan kepada masyarakat tentang kepakaran serta sumbangan ahli JKTBM dan tokoh terpilih dari pelbagai bidang ilmu dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. Ceramah ini juga bertujuan menyemai rasa kecintaan dan keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi dalam kalangan masyarakat.”

Majlis Perasmian Ceramah Umum JKTBM tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Haji Nik Mohamad.  Memetik ucapan beliau pada pagi tadi, “Selain daripada kepentingan tuisan Jawi dalam peradaban Melayu, tulisan Jawi juga dilihat mampu memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dibuktikan melalui sejarah, pegawai British perlu mempelajari bahasa Melayu dan tulisan Jawi untuk berhubung dengan raja-raja dan pembesar Melayu. Selain itu, bahasa Melayu dan tulisan Jawi merupakan bahasa perantaraan masyarakat pelbagai bangsa pada ketika itu, dan menjadi lambang perpaduan kaum di Malaysia.

Timbalan Mufti Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Haji Nik Mohamad sewaktu berucap merasmikan program Ceramah Umum JKTBM.

Beliau juga berpendapat bahawa selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tulisannya ialah Rumi dan Jawi, negeri Kelantan telah membudayakan penggunaan tulisan  tulisan Jawi pada setiap papan tanda, premis perniagaan, papan iklan serta nama jalan bagi memastikan warisan penting ini terus kekal dan subur terutama untuk generasi kini dan masa hadapan. Usaha memartabatkan tulisan Jawi pada premis perniagaan ini turut diikuti oleh Kerajaan Negeri Pahang. Mulai bulan Ogos 2020, premis perniagaan di daerah Kuantan telah menggunakan tulisan Jawi. Beliau berharap agar usaha ini terus berkembang dan diikuti oleh negeri-negeri yang lain.

 Senjata paling ampuh untuk menyatukan ummah terutama masyarakat  Islam adalah melalui tulisan Jawi.  Malah sejak tahun 2019, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa hari Jumaat merupakan Hari Jawi sebagai usaha memartabatkan tulisan itu dan memperkasakan sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia pada hari ini.

 

Profesor Madya Dr. Adi Yasran  Abdul Aziz sedang menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Penyatuan Ummah melalui Pemasyarakatan Tulisan Jawi”

Demikianlah antara penerangan oleh Profesor Madya Dr. Adi Yasran semasa menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Penyatuan Ummah melalui Pemasyarakatan Tulisan Jawi” yang juga disiarkan secara langsung menerusi YouTube dan Twitter rasmi DBP. Program ini turut diserikan lagi dengan persembahan dikir barat oleh Kumpulan Suara Proton dengan dikirnya berjudul “Tulisan Jawi”.

 

Para peserta dan tetamu yang hadir mengikuti Ceramah Umum JKTBM.

Sebagai sorotan, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz merupakan seorang pakar bahasa di Malaysia dan sentiasa menjadi rujukan berkaitan hal-hal kebahasaan khususnya dalam tulisan Jawi. Kepakaran beliau sememangnya tidak diragukan dan terbukti beliau telah diberi kepercayaan menjadi Ahli Jawatankuasa buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan, pakar rujuk ejaan Jawi Kamus Dewan Perdana dan pembimbing tetap Rancangan Klinik Jawi di radio IKIMfm. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli JKTBM sejak 2019 oleh Menteri Pendidikan Malaysia.  Pada peringkat pertubuhan pula, beliau merupakan Yang  Dipertua Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan Penasihat Bahasa di UPM. Beliau merupakan pakar yang banyak memberikan sumbangan kebahasaan dan mempunyai iltizam yang tinggi demi kemajuan bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.