4 Ogos 2022, 23:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Islam mengajar umatnya agar saling berkasih sayang dan mengikatnya dengan tali persaudaraan berlandaskan akidah. Hal ini amat tepat dengan tema Maal Hijrah yang diangkat pada tahun ini, iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”. Tema ini dilihat sangat signifikan dan mampu memberikan impak yang besar kepada umat Islam untuk menjalani kehidupan pada masa ini. Demikian titah Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1444H/2022M di Hotel Seri Malaysia, Kangar pada hari ini.

“Kebersamaan dan kemesraan antara kita mestilah diperkukuh khususnya dalam mendepani cabaran ketika ini. Sedarlah bahawa isu penghinaan terhadap agama, penyebaran maklumat palsu berkaitan dengan agama, penularan semula khurafat dan tahayul khususnya di media sosial sangat memerlukan kesatuan kita semua umat Islam dalam menanganinya. Untuk itu, umat Islam di negeri ini mestilah bersatu di bawah Manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah serta berpegang teguh dengannya,” titah baginda.

Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, jentera kerajaan negeri khususnya agensi-agensi agama negeri diseru supaya lebih komited untuk menyatukan dan mengeratkan struktur masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Agensi-agensi agama negeri pula mesti bergerak bersama di bawah payung Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha menggerakkan agenda dakwah dan pengurusan hal ehwal agama Islam di dalam negeri.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini dianugerahkan kepada Syeikh Hussin Yee, manakala Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radhi Othman menerima Anugerah Maal Hijrah, dan Dato’ Mohiyadin Che’ Jan menerima Anugerah Jaaizah Maal Hijrah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.