7 Julai 2022, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkongsian daripada Prof. Dr. Fariza Md. Sham, Profesor di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM menerusi slot Pena Editor Bicara Karyawan, semalam telah mendedahkan bagaimana kajian yang dibuat oleh orientalis kepada ilmu psikologi manusia yang telah dipopularkan oleh kajian Barat pada era moden ini sebenarnya bersumberkan al-Quran al-Karim.

Prof. Dr. Fariza yg diundang khas bagi membicarakan buku berjudul Tingkah Laku Manusia dalam Al-Quran terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2021, menyatakan bahawa melalui al-Quran, Allah SWT menyampaikan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan seluruh umat manusia. Ilmu yang terdapat dalam al-Quran  meliputi semua bidang dan disiplin ilmu termasuklah  yang berkaitan dengan psikologi manusia.

Buku yang mengandungi 10 bab ini mengupas secara komprehensif berkaitan tingkah laku manusia seperti yang difirmankan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu-Nya.  Tingkah laku para nabi atau peristiwa umat terdahulu yang telah dirakamkan dalam al-Quran, mempunyai pemaknaan dan pelajaran yang tersirat. Sebagai Muslim, kita digalakkan untuk berusaha memahami tingkah laku manusia yg dikongsikan oleh buku ini.

Terdahulu, beliau telah berkongsi tentang pengkhususan kajian beliau dalam bidang psikologi remaja dan psikologi Islam. Melalui Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM serta Institut Islam Hadhari di bawah pimpinan beliau, usaha bagi menggiatkan kefahaman umum tentang ilmu psikologi Islam akan terus diperluas dan penghasilan buku ini juga telah dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari pusat kajian tersebut.

Prof. Dr. Fariza juga menjelaskan bahawa menerusi Modul Kaunseling Islam ini juga, beliau dan pasukannya mengembangkan ilmu psikologi  dalam melalui metode dakwah berlandaskan ajaran Islam. Psikologi Islam yang dilaksanakan dalam metod dakwah meliputi kaedah memujuk, mempengaruhi, berdakwah dengan lebih berhikmah dan nasihat sudah tentu akan dapat merealisasikan hasrat seluruh Keluarga Malaysia yang mempunyai penghayatan terhadap amalan kehidupan yang sejahtera dan aman, seterusnya dapat mewujudkan negara yang maju dan harmoni. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengisian buku ini, pembaca boleh mendapatkan naskhah ini di dbpniaga.my

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.