3 Julai 2022, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap tahun seluruh umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha dan melaksanakan ibadat korban selama empat hari bermula 10 hingga 13 Zulhijah. Perayaan Aidiladha berbeza dengan perayaan Islam yang lain kerana terdapatnya seruan ibadat haji kepada setiap umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan untuk melaksanakannya. Ibadat korban pula merupakan perintah mengorbankan sebahagian daripada harta pada jalan agama melalui korban haiwan yang ditetapkan oleh syarak. Demikian ibadat haji dan korban, yang kedua-duanya signifikan dengan maksud pengorbanan harta bagi membuktikan keimanan serta meraih ketakwaan terhadap perintah Allah SWT. Persoalannya, benarkah mengerjakan ibadat korban dapat membentuk sifat mahmudah dalam diri umat Islam?

Ibadat korban dan pengorbanan harta merupakan dua perkara yang berbeza, tetapi membawa semangat dan nilai yang sama dalam Islam. Ibadat korban disyariatkan bermula daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang direkodkan dalam al-Quran melalui Surah al-Saffat. Kisah tersebut menunjukkan betapa pengorbanan seorang ayah mentaati perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, dan pengorbanan seorang anak, iaitu Nabi Ismail a.s. yang reda untuk disembelih oleh ayahnya demi meraih ganjaran nikmat yang besar daripada Allah SWT. Akan tetapi, dengan kuasa dan izin Allah SWT juga, tubuh badan Nabi Ismail a.s. telah bertukar menjadi seekor kibas. Peristiwa inilah menjadi syiar Islam yang agung dan ikutan umat Islam seluruh pelosok dunia untuk mengerjakan ibadat korban dengan laungan takbir memuji kebesaran Allah SWT.

Mengerjakan ibadat korban secara tidak langsung dapat membentuk sifat mahmudah bagi individu yang terlibat dan umat Islam seluruhnya. Ibadat korban bukan hanya perbuatan mengeluarkan harta bagi membayar sejumlah wang untuk sebahagian daging korban. Akan tetapi, makna tersirat daripadanya ialah keikhlasan yang terbentuk dalam diri seseorang apabila melakukan ibadat, khususnya mengerjakan ibadat korban. Hal ini dikatakan demikian kerana keikhlasan merupakan tunjang asas dalam melaksanakan ibadat. Tanpa keikhlasan, tentu sahaja ibadat yang hendak dikerjakan sah pada syarak, namun berkemungkinan tidak mendapat ganjaran pahala yang selayaknya. Tiada keikhlasan dalam beribadat ibarat meminum secawan air kopi tanpa gula, iaitu terasa pahitnya kopi, tetapi tidak pada nikmatnya rasa kopi tersebut.

Ibadat korban dilaksanakan sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

Seterusnya, ibadat korban juga dapat membentuk sifat sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Sememangnya ibadat korban bukanlah ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam, tetapi merupakan ibadat yang dituntut mengerjakannya (sunat muakkad). Oleh itu, bagi mereka yang berkemampuan terutamanya dari sudut harta untuk mengerjakan ibadat korban, seharusnya segera mengerjakannya sebagai tanda mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan kepadanya. Demikian maksud pengorbanan, iaitu mengeluarkan harta demi meraih nikmat kesyukuran atas segala nikmat kekayaan dan kemampuan yang dikurniakan.

Dalam pada itu, ibadat korban juga dapat membentuk sifat pemurah dalam diri pelaku dan juga seluruh umat Islam. Tidak dinafikan bahawa setiap individu berhak untuk mencari dan mengumpul harta yang diingini. Akan tetapi, jangan dilupakan bahawa individu lain juga mempunyai hak terhadap harta yang dimiliki. Jelaslah bahawa ibadat korban tidak hanya perbuatan berkorban mengeluarkan sedikit harta untuk ibadat korban, tetapi juga membentuk sifat pemurah berkongsi rezeki daging korban kepada semua lapisan masyarakat sama ada miskin atau kaya. Dalam erti kata lain, setiap harta yang kita miliki tidak semestinya semua hak kita, tetapi juga ada hak orang lain yang perlu kita agihkan seadilnya pada hak yang sebenar.

Ibadat korban dapat membentuk sifat pemurah dalam diri umat Islam.

Selanjutnya, ibadat korban juga dapat membentuk sifat kerjasama dan mengeratkan ukhuwah umat Islam. Kebiasaan budaya Melayu, ibadat korban akan dilaksanakan secara kenduri besar-besaran yang melibatkan seluruh komuniti berhampiran. Hal ini secara tidak langsung tentu sahaja akan membentuk kerjasama antara komuniti terlibat melalui amalan gotong-royong, seterusnya dapat mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam, juga masyarakat bukan Islam yang berhampiran. Amalan budaya sedemikian jelas memperlihatkan keindahan dan keharmonian ajaran Islam yang amat menitikberatkan kepentingan kerjasama dan ukhuwah dalam kehidupan umat Islam. Pepatah Melayu juga ada menyebut “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.

Selain itu, ibadat korban juga dapat menghakis sifat mazmumah seperti sifat takabbur, riak dan ujub dengan kekayaan yang dimiliki. Dengan adanya ibadat korban, secara tidak langsung kita dapat melihat tiada perbezaan antara warna darah binatang korban meskipun haiwan tersebut dibeli dengan sejumlah nilai wang yang tinggi atau murah. Perkara sedemikian sepatutnya memberikan keinsafan kepada setiap umat Islam agar tidak sombong dengan segala yang dimiliki. Malahan, sifat takabbur, riak dan ujub itu juga sebenarnya merupakan sifat yang dimiliki oleh iblis laknatullah yang amat dikeji oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam erti kata lain, tiada ganjaran selayaknya jika ibadat korban yang dikerjakan itu penuh dengan sifat takabbur, riak dan ujub dalam diri pelakunya ekoran memiliki kekayaan dan kemampuan berbanding dengan orang lain itu.

Ternyata bahawa ibadat korban bukan sekadar pengorbanan harta untuk membayar sebahagian binatang korban. Malahan, ibadat ini juga turut menjadi bukti keimanan dan ketakwaan pelakunya terhadap pembuktian melalui darah sembelihan yang mengalir dan agihan daging korban. Dalam erti kata lain, ibadat korban bukan semata-mata pengorbanan harta, tetapi bertujuan untuk membentuk sifat ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta berusaha meninggalkan kelalaian kecintaan harta dunia yang tidak kekal selamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amalan yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu …”  (Surah al-Hajj 22:37).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.