10 Jun 2022, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak RM211 527.37 telah diperuntukkan oleh Agrobank kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Cek contoh tersebut dipersembahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin kepada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin, semalam.

Upacara tersebut disekalikan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs dan juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. Selain itu, turut hadir  ialah Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Dato’ Johari Mohd Darus dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pihak Agrobank juga telah berbesar hati untuk turut menyumbangkan wang zakat berjumlah RM20 340 melalui pihak YTSP Perlis untuk diagihkan kepada 118 orang pelajar yang sedang menerima Biasiswa Kecil YTSP Perlis dan mempunyai akaun simpanan di Agrobank.

Tuanku Raja Muda selepas majlis tersebut menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi Agrobank atas keprihatinan untuk menyalurkan zakat mereka melalui program Biasiswa Kecil YTSP Perlis.

“Pemberian biasiswa kecil ini berdasarkan laporan yang telah dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri kepada pihak yayasan bahawa masih ramai terdapat pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka disebabkan masalah kemiskinan ibu bapa,” titah baginda.

Untuk rekod, sejak mula diperkenalkan dari tahun 1991 hingga 2021, seramai 2294 orang pelajar telah menerima Biasiswa Kecil YTSP Perlis dan menelan belanja sebanyak RM2.7 juta. Penerimanya pada tahun 2022 adalah seramai 219 orang dan 118 daripada mereka sedang menerima biasiswa tersebut melalui Agrobank.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.