25 Mei 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa rasuah perlu dipandang jijik oleh masyarakat dan berhasrat agar isu rasuah dapat dibanteras sekeras-kerasnya di negeri ini.

Masyarakat perlu belajar daripada sejarah keruntuhan pelbagai tamadun dan negara disebabkan oleh gejala rasuah. Oleh itu, perubahan pemikiran rakyat untuk menangani isu rasuah perlu diusahakan secara bersama pada segenap peringkat.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengambil bahagian dalam program Eksplorasi Berbasikal Santai sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke-79 di kawasan Kampung Nelayan Warna-warni Program Transformasi Diraja Seberang Ramai, Kuala Perlis, baru-baru ini.  

Turut berangkat dalam program tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, meminta kerjasama orang ramai agar melaporkan kepada ketua-ketua agensi berkaitan jika terdapat dalam kalangan pegawai agensi agama Islam di negeri ini yang dapat dibuktikan telah terlibat dengan kegiatan rasuah, supaya siasatan dan langkah pencegahan bagi menghentikannya dapat dilakukan dengan segera.

Hal ini diambil serius oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membanteras kegiatan rasuah di negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata bahawa pihak pengurusan MAIPs sentiasa memperkemas segala prosedur dan tindakannya sebagai langkah kawalan untuk cuba mengelakkan warga kerjanya daripada membuat salah laku rasuah yang bukan sekadar salah di sisi undang-undang, bahkan di sisi agama.

Untuk rekod, pihak MAIPs telah melaksanakan “Ikrar Bebas Rasuah (IBR)” pada 25 Mei 2017 dan menjadi antara agensi terawal melaksanakan IBR sejak diperkenalkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.