Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPelancaran program Sekolahku SEJAHTERA yang telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin amat jelas bertepatan dengan kesediaan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan transformasi secara bersepadu sistem pendidikan negara yang lebih bersifat kebersamaan, kemakmuran dan inklusif seiring hala tuju pembangunan Malaysia berpandukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Dari sudut pandangan agama, jelas bahawa gagasan konsep Sekolahku SEJAHTERA amat signifikan dengan konsep maqasid syariah yang bertujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia dalam segala aspek kehidupan. Konsep SEJAHTERA dalam program Sekolahku SEJAHTERA yang berkonsepkan 14 elemen merangkumi makna selamat, seronok dan sihat, etika dan empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti dan terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi sebenarnya adalah signifikan dengan lima prinsip maqasid syariah.
Maqasid Syariah terdiri daripada lima prinsip, iaitu memelihara agama (hifz al-din), memelihara nyawa (hifz al-nafs), memerlihara akal (hifz al-`aql), memelihara harta (hifz al-mal) dan memelihara keturunan (hifz al-nas). Jika diperhatikan secara menyeluruh, 14 elemen SEJAHTERA amat bertepatan dengan lima prinsip maqasid syariah yang bertujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia menjadi keutamaan dalam kehidupan bersyariat. Prinsip maqasid syariah tidak hanya memberikan keutamaan penjagaan hak terhadap umat Islam semata-mata. Sebaliknya juga penjagaan hak penganut agama lain yang bernaung dalam sesebuah negara Islam. Oleh sebab itu, prinsip ini secara literaturnya adalah prinsip yang menekankan konsep kebersamaan dan kebertanggungjawaban semua pihak terhadap memelihara hak masing-masing.
Pertama, prinsip memelihara agama (hifz al-din) bermaksud mengelakkan apa-apa kemungkinan yang boleh memusnahkan asas kehidupan beragama murid. Elemen yang terkandung dalam program Sekolahku SEJAHTERA amat bertepatan dengan prinsip memelihara agama (hiz al-din) yang signifikan dengan elemen selamat dan harmoni. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan struktur Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Malaysia yang mempunyai keunikan latar majmuk pelbagai bangsa dan agama seharusnya dijaga keharmoniannya oleh semua warga sekolah. Prinsip memelihara agama (hifz al-din) tidak hanya mengutamakan hak memelihara agama Islam semata-mata, tetapi juga hak memelihara agama lain. Dengan kata lain, semua warga sekolah perlu memastikan kawasan sekolah berada dalam keadaan selamat dan harmoni tanpa mengira latar agama kerana semua warga sekolah berhak mendapatkan hak keselamatan dan keharmonian daripada semua pihak.
Seterusnya, prinsip memelihara nyawa (hifz al-nafs) bermaksud semua murid diberikan jaminan hak keselamatan tanpa mengira latar bangsa dan agama yang berbeza. Elemen seronok dan sihat daripada 14 elemen SEJAHTERA merupakan elemen yang bertepatan dengan prinsip memelihara nyawa (hifz al-nafs) kerana semua warga sekolah diberikan jaminan hak keselamatan dan kesihatan sepanjang mereka berada dalam kawasan sekolah. Apabila hak keselamatan mereka terjamin, secara tidak langsung mereka akan berasa seronok untuk menimba ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu, semua warga sekolah seharusnya tidak menafikan hak keselamatan dan kesihatan kepada mana-mana individu meskipun berbeza latar bangsa dan agama. Islam melarang keras umatnya yang tidak meletakkan hak pada tempatnya yang sebenar.
Selain itu, prinsip memelihara akal (hifz al-`aql) yang bermaksud pendidikan secara komprehensif untuk semua murid. Semua murid berhak mendapatkan akses pendidikan yang selayaknya tanpa mengira bangsa dan agama yang mereka anuti. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep SEJAHTERA memberikan penekanan elemen tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi dalam program ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada semua murid untuk meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran sepanjang berada di sekolah. Islam amat memberikan penekanan terhadap kepentingan menuntut ilmu kepada umatnya. Konteks ilmu dalam Islam yang dimaksudkan termasuklah apa-apa sahaja ilmu pengetahuan atau kemahiran yang menjurus ke arah kebaikan serta bermanfaat untuk kehidupan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah menjadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan bagi melahirkan generasi berminda kelas pertama.
Dalam pada itu, prinsip memelihara harta (hifz al-mal) bermaksud kebertanggungjawaban individu menjaga harta benda sekolah. Begitulah juga signifikan konsep SEJAHTERA pada elemen etika dan empati membawa maksud setiap murid perlu sentiasa mengamalkan etika dalam menjaga harta benda sekolah di samping para guru pula mengamalkan sifat empati membantu menyediakan keperluan asas pendidikan kepada murid, khususnya yang tidak berkemampuan dan berkeperluan khas. Hal ini dikatakan demikian kerana semua warga sekolah bertanggungjawab untuk melindungi harta benda sekolah secara beretika selain harta benda masing-masing. Islam amat memberikan penekanan terhadap konsep amanah pada diri setiap umatnya. Sikap amanah pada individu secara tidak langsung akan menzahirkan sikap kebertanggungjawaban dalam menjaga harta meskipun harta tersebut bukanlah miliknya.
Prinsip yang terakhir maqasid syariah ialah memelihara keturunan (hifz al-nas) yang bermaksud menjamin kesejahteraan dan keamanan setiap warga sekolah. Elemen jati diri amat bertepatan dengan prinsip terakhir ini kerana melalui program sekolahku SEJAHTERA ini murid diberikan penekanan dalam aspek membentuk jati diri yang teguh dengan pengamalan nilai agama, beradab sopan serta berakhlak mulia dalam kehidupan harian. Jati diri amat penting dalam menghadapi cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh semua murid. Jika jati diri mereka tidak teguh terutamanya dalam aspek jati diri beragama, nescaya mereka akan mudah terpengaruh dan terjerumus dengan masalah sosial. Oleh sebab itu, Islam amat menekankan pendidikan agama sejak mereka masih kecil agar mereka terbiasa mengamalkan nilai keagamaan dalam kehidupan harian.
Justeru, seluruh warga sekolah seharusnya memberikan sokongan sepenuhnya terhadap agenda program Sekolahku SEJAHTERA bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha mentransformasikan pembangunan negara merangkumi seluruh aspek termasuklah sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya yang berlandaskan nilai keagamaan. Program ini memberikan penekanan kepada 14 elemen yang berteraskan nilai murni yang diterapkan secara semula jadi dalam kehidupan harian warga sekolah, khususnya murid. Misalnya, guru sentiasa menggalakkan murid membudayakan amalan memberi salam kepada guru setiap hari yang kini dilihat semakin memudar dalam kalangan murid. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keberhasilan program Sekolahku SEJAHTERA tidak akan mencapai matlamatnya tanpa sokongan jitu daripada pihak pemegang taruh seperti ibu bapa atau penjaga dan komuniti.
Sememangnya pihak sekolah telah melaksanakan tanggungjawab mendidik dan membentuk jati diri murid. Namun begitu, tanpa sokongan ibu bapa atau penjaga serta komuniti dalam membantu pihak sekolah menzahirkan pengamalan nilai murni anak-anak ketika di rumah pastinya menjadi satu usaha yang sia-sia. Oleh sebab itu, pihak ibu bapa dan penjaga serta komuniti perlu sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya terhadap program dan agenda yang dilaksanakan oleh pihak KPM kepada pihak sekolah agar segala yang telah dirancangkan mencapai matlamat. Contoh paling mudah, ibu bapa atau penjaga di rumah mengingatkan anak-anak agar sentiasa menghormati orang yang lebih tua. Jika kedua-dua pihak kerjasama membimbing anak-anak, pastinya segala program yang dirancangkan mencapai matlamatnya di samping input tambahan dapat melahirkan generasi muda pewaris bangsa yang berpengetahuan, berketerampilan unggul dan beradab sopan.
Tamsilnya, segala program yang dirancang oleh pihak sekolah yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada murid terutamanya dalam aspek pembentukan nilai keagamaan wajar disokong oleh semua pihak. Matlamat kemenjadian murid tidak hanya diukur dari sudut kecemerlangan akademik semata-mata. Malah, diukur juga dari aspek lain meliputi akademik, ko-akademik dan sahsiah diri murid. Program Sekolahku SEJAHTERA merupakan satu inisiatif pihak sekolah untuk merealisasikan generasi pewaris negara yang mempunyai jati diri teguh dengan pegangan nilai agama dalam kehidupan harian mereka. Perkataan Islam itu sendiri membawa makna yang signifikan dengan nilai kesejahteraan dan keharmonian buat seluruh umat manusia.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah 2:30).
(Sumber gambar: Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia)